Pesanan CR7 Kepada Peminat Tegarnya: “Kamu Minat Cristiano, Tak Bermakna Harus Benci Messi”

Cristiano Ronaldo ternyata tidak gembira dengan segelintir peminat tegarnya yang suka mencaci dan membenci Lionel Messi.

Menurut Ronaldo, apabila seseorang itu menyokongnya tidak bermakna mereka harus membenci Messi.

Perdebatan antara Messi dan Ronaldo sebenarnya tidak pernah berakhir. Terbaru peminat Ronaldo mengecam Messi kerana komen Van Gaal yang menganggap Piala Dunia 2022 sudah diatur agar Messi menjadi juara.

Kenyataan itu dianggap sangat mengejutkan. Kapten Belanda, Virgin Van Dijk sendiri akui terkejut dengan pendapat itu dan menyatakan pemain pemain Belanda tidak setuju dengannya.

Seterusnya Patrice Evra mempertahankan kejayaan Messi dan Argentina. Rakan baik CR7 itu dalam kenyataannya berkata:

“Messi telah memikul Argentina di bahunya. Mereka yang memperlekehkan Messi memenangi Piala Dunia sebab dia menjaringkan 5 gol penalti. Saya nak cakap dengan mereka ini, kamu cuba pergi ke sana [tengah padang aksi Piala Dunia] dan jaringkan penalti itu.”

“Ianya penuh dengan segala tekanan, seluruh dunia sedang memandang kamu, seluruh negara kamu, jika kamu gagal menjaringkan penalti itu, mereka tidak akan memaafkan kamu.”

Menurut Evra bukannya mudah untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. Ianya memiliki tekanan yang sangat tinggi terutama sekali di peringkat tertinggi seperti Piala Dunia.

Kini Ronaldo pula meminta peminatnya lebih tenang dan menghargai jasa kedua dua pemain itu.

Perseteruan antara Messi dan Ronaldo sudah berakhir menurut Ronaldo, dan cuma media yang suka memainkan isu. Bekas pemain Real Madrid dan Man United itu sangat menghormati Messi.

Ronaldo mahu peminatnya tahu bahawa kedua duanya telah mencipta banyak sejarah indah dalam bola sepak.

“Perseteruan dengan Lionel Messi selama ini bagus, dan peminat menyukainya.”

“Namun jika kamu meminati Ronaldo, kamu tidak perlu untuk benci Messi.”

“Kami berdua telah mengubah sejarah bola sepak yang saya sendiri tak pernah melihat sesuatu seperti itu.”

“Saya tidak kata kami adalah kawan namun kami sangat menghormati antara satu sama lain. Perseteruan antara kami sudah berakhir.”

Seterusnya Ronaldo menjelaskan bahawa dia dan Messi kini sudah berada di tempat yang bagus di liga yang baharu.

Kedua duanya sedang menikmati bola sepak yang mereka mahukan.

“Saya dan Messi kini sudah baik baik sahaja di liga yang baharu,” tambah Abang Do.

Kedua dua Messi dan Ronaldo masih lagi ditagih keringat mereka oleh negara masing masing dan mereka terlibat dalam minggu antarabangsa.

Baca yang lain