Petronas Yamaha Terus Cipta Sejarah, Quartararo Bangga Kongsi Podium Dengan Idolanya VR46

Jika minggu lalu Petronas Yamaha SRT mencipta sejarah menjadi pasukan satelit Yamaha pertama memenangi perlumbaan.

Semalam mereka melebarkan rekod sebagai pasukan satelit Yamaha pertama memenangi 2 perlumbaan – dan secara berturut turut.

Fabio Quartararo, pelumba 21 tahun dari Perancis sebelum ini mengakhiri kemarau untuk pelumba Perancis dalam MotoGP sejak kemenangan Regis Laconi di Valencia pada tahun 1999.

Quartararo memenangi perlumbaan Grand Prix Andalusia, seminggu selepas kemenangan di litar yang sama – Jerez – dalam GP Sepanyol.

Sekaligus beliau mengutip mata sempurna dengan 50 mata daripada dua kemenangan.

Di tempat kedua adalah pelumba Monster Energy Yamaha iaitu Maverick Vinales. Manakala di tangga ketiga ialah Valentino Rossi.

Rossi dan Vinales sebelum ini melalui minggu sukar. Sehinggakan Rossi meminta pasukannya mempercayainya dalam usaha memperbaiki prestasi motosikal dan keputusan.

Malah dalam perlumbaan minggu lalu terlalu banyak konflik berlaku di kem Monster Energy Yamaha. Sehinggakan Rossi dan Maverick Vinales membuat keputusan memakai tayar lembut di litar panas.

Quartararo pelumba terbaik Perancis kelas Premier

Hanya dalam dua minggu sahaja Quartararo kini menjadi pelumba Perancis paling berjaya di kelas MotoGP dalam sejarah.

Beliau meraikan kemenangan itu dengan gaya atlet senegaranya, Kylian Mbappe.

Ternyata pelumba ini tengah menikmati momen terbaik di dalam hidupnya pada ketika ini.

Sebelum Quartararo, hanya ada tiga pelumba Perancis yang menang di kelas tertinggi. Ketiganya ialah Pierre Monneret, Christian Sarron dan Regis Laconi.

Tetapi ketiga-tiga nama di atas hanya merasakan satu kemenangan. Seperti yang diketahui, Quartararo kini telah memperoleh dua kemenangan di MotoGP dan sudah pasti ia akan terus berkembang.

Yang paling menarik ialah perbezaan usia antara pemandu yang berjaya merangkul podium di MotoGP Andalusia.

Tempat pertama, Fabio Quartararo dan pelumba di tempat ketiga, Valentino Rossi, dengan jarak 20 tahun.

Quartararo kini berumur 21 tahun. Sementara Rossi sendiri telah menginjak usianya 41 tahun.

Yang lebih menarik, pada masa lalu, Quartararo sangat meminati Valentino Rossi. Tetapi sekarang dia dapat berkongsi podium dengan idolanya itu.

Rossi juga mengucapkan tahniah kepada Quartararo sebaik sahaja tamat perlumbaan.

Quartararo menjadi pelumba kedua dalam sejarah memenangi perlumbaan secara berturut turut. Lebih menarik kerana beliau beraksi untuk pasukan satelit dan bukannya pengeluar.

Sebelum ini seperti yang kita semua ketahui, ada beberapa tokoh dalam MotoGP memperlekehkan pasukan satelit Yamaha SRT selepas Valentino Rossi dikatakan bakal menyertai mereka.

Menurut mereka Yamaha SRT hanyalah pasukan kelas bawahan.

Namun Quartararo dan Petronas Yamaha membuktikan mereka ada kualiti untuk bersaing. Kemenangan semalam juga ternyata memberikan emosi kepada kem Petronas Yamaha.

Quartararo di hadapan dengan masa kira-kira 7.5 saat mengatasi Maverick Vinales yang menduduki tempat kedua setelah memenangi pertarungan sengit dengan Valentino Rossi pada pusingan terakhir.

Melengkapkan lima teratas ialah Takaaki Nakagami dan Joan Mir.

Andrea Dovizioso, Pol Espargaro, Alex Marquez, Johann Zarco, dan Alex Rins berada di kedudukan keenam hingga kesepuluh.

Berikut adalah keputusan penuh:

Secara keseluruhan Quartararo 10 mata di hadapan Vinales dengan 40 mata di tempat kedua.

Andrea Dovizioso yang menduduki tempat keenam mendapat 10 mata tambahan dengan jumlah keseluruhan 26 mata.

Nakagami dan Pol Espargaro berada di tempat keempat dan kelima dengan mata yang sama, 19.

Rossi berada di tempat keenam dalam kedudukan MotoGP dengan 16 mata diikuti oleh Jack Miller (16 mata), Alex Marquez (12 mata), Johann Zarco (12 mata), dan Franco Morbidelli (11 mata). Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Brno, Republik Czech, 9 Ogos.