Piala Dunia Belia Malaysia 1997: Tempat Lahirnya Ramai Legenda Bola Sepak Dan Lagu OAG Yang Padu

Piala Dunia B-20 1997 di Malaysia, dianggap antara edisi yang paling banyak melahirkan bintang elit bola sepak.

Walaupun hanya digelar kejohanan beliau, namun ianya adalah proses penting bagi pemain dalam beralih ke alam profesional – bagi yang belum pernah debut di pasukan utama kelab – serta platform penting untuk mereka merasai pengalaman Piala Dunia peringkat fasa pembangunan karier.

Sebanyak 24 negara menyertai pusingan akhir dalam temasya yang dilangsungkan di enam stadium indah kebanggaan Malaysia ketika itu termasuk Stadium Negeri Sarawak, Stadium Darul Aman, Stadium Darul Makmur, Stadium Tuanku Syed Putra, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, dan Stadium Shah Alam sebagai tempat perlawanan akhir.

Penganjuran kejohanan ini sangat ikonik di hati rakyat Malaysia termasuk lagu OAG – Name Of The Game yang sangat kemas. Lagu yang kemudian menjadi salah satu lagi paling penting di hati peminat bola sepak. Kena pulak dengan iklan coca cola masa tu, tidur bola, makan bola, minum coca cola, lebih kuranglah. Semuanya kerana Piala Dunia Belia B-20 ini.

Argentina menjadi juara pada edisi itu dengan skuad muda mereka yang menjadi pelopor kepada generasi emas Pasukan Tango selepas itu. Perkara itu disebut sendiri dalam laman rasmi FIFA di mana mereka menganggap Piala Dunia Belia 1997 ini sebagai platform melahirkan generasi emas Argentina terutama sekali di bahagian tengah.

Nama-nama besar seperti Pablo Aimar, Walter Samuel, Esteban Cambiasso, Juan Roman Riquelme, sehinggalah pengurus Argentina pada hari ini, Lionel Scaloni telah membuat penampilan di bumi Malaysia.

Maka tidak hairanlah kenapa Pablo Aimar agak sentimental ketika dia menyertai JDT satu ketika dahulu. Kembali semula di tempat dia pernah bermula. Dia kemudian menjadi pujaan jutaan rakyat Argentina termasuk pemenang 7 Ballon D’Or, Lionel Messi yang menjadikan Aimar idolanya.

Aimar dianggap antara pemain terbaik dalam kejohanan ini. Walaupun dia tewas di tangan Nicolas Olivera untuk perebutan anugera pemain terbaik kejohanan.

Bukan itu sahaja, pemain muda berbakat dari negara lain turut menyertai acara tersebut, sebelum mereka dikenali dunia.

Salah seorang daripada mereka ialah Thierry Henry, yang ketika itu mencuri perhatian dengan tiga golnya sepanjang kejohanan. Setahun kemudian, Henry dibeli oleh Juventus dari AS Monaco. Sebelum disambar Arsenal dan menjadi pemain terbaik dalam sejarah The Gunners.

Pasukan Perancis juga boleh tahan hebatnya pada masa itu. Mereka juga membentuk generasi emas yang gemilang menerusi pemain pemain muda ini.

Beberapa nama besar lain yang bermain dalam acara itu Diego Placente (ARG), Jamie Carragher (ENG), Kieron Dyer (ENG), Danny Murphy (ENG), Michael Owen (ENG), Nicolas Anelka (FRA), William Gallas (FRA), Mikaël Silvestre (FRA), David Trezeguet (FRA), Peter Ofori-Quaye (GHA), Damien Duff (IRL), Benedict McCarthy (RSA), Miguel Angulo (ESP), Francisco Farinos (ESP), Gerard (ESP), Nicolas Olivera (URU), Marcelo Zalayeta (URU), John O’Brien (USA), Shunsuke Nakamura (JPN) dan ramai lagi.

Owen menjadi pemenang Ballon D’Or terakhir dalam sejarah England. Pemain berbadan kecil itu sangat lincah dan menjadi kegerunan lawan.

Malaysia turun sebagai tuan rumah. Dan prestasi pasukan negara tidak begitu cemerlang. Sangat sukar untuk bersaing dengan pasukan lain yang memiliki sistem bola sepak yang jauh di hadapan kita.

Namun pemain pemain Malaysia pada temasya itu ramai juga yang menjadi pemain penting di kelab masing masing dan kemudian menjadi pemain kebangsaan Malaysia.

Dalam kejohanan itu juga muncul nama Adailton Martin. Prestasi cemerlangnya dalam Piala Dunia Remaja 1997 membuatkannya diramal bakal menjadi gandingan berbisa Ronaldo untuk saingan Piala Dunia 1998 yang berlangsung di Perancis.

Adailton Martins meledak 10 gol, walau Brazil hanya berjaya sampai ke suku akhir, dimusnahkan oleh Gol hebat Scaloni.

4 perlawanan 10 gol nyata sesuatu yang hebat bukan? Beliau menjadi bintang yang menjadi tumpuan sepanjang kejohanan.

Beliau memiliki segala skil dan kualiti seorang penyerang prospek hebat. Kemampuan untuk membaca permainan dan juga teknik rembatan yang tajam.

Namun malangnya namanya terus menghilang. Apa yang pasti Piala Dunia Belia 1997 antara kejohanan peringkat belia yang terbaik pernah wujud.