Gerard Pique antara nama yang dituduh enggan menerima pemotongan gaji yang menyebabkan kelab gagal mendaftarkan Lionel Messi.
Tuduhan itu terus menghantui Pique apabila seorang wartawan terkemuka Sepanyol, Lluis Canut mendakwa bahawa dia ada menyimpan maklumat tentang gaji pemain pemain Barca.
Gerard Pique merupakan antara penerima gaji tertinggi dan masih enggan menerima pemotongan gajinya.
Lalu Pique dan beberapa pemain senior lain termasuk Jordi Alba dan juga Sergio Busquets dikecam hebat sebelum ini.
Mereka dituduh mementingkan diri sendiri dan tidak ada rasa simpati ke atas kelab yang sedang menderita secara ekonomi dan kehilangan pula permata pasukan iaitu Lionel Messi.
Status Pique adalah legenda kelab, itu membuatkan peminat Barca lebih kecewa.
Ada sahaja sindiran diterima oleh Pique di media sosial menuduhnya tamak haloba dan tidak mahu berkorban dengan Barcelona.
Lebih lebih lagi apabila wartawan yang berpengaruh dan terpercaya seperti Lluis Canut mendakwa kononnya dia ada akses ke atas maklumat gaji semua pemain Barcelona.
Pique kemudian memuat naik tangkap layar slip gajinya di Twitter. Dan ianya jelas memaparkan angka €2.329 juta sahaja ataupun RM11.14 juta je – diterimanya musim ini. Dan gaji itu dibayar pada 30 Disember yang lalu.
Pique menuduh Canut menipu seluruh dunia sambil menjelaskan bahawa angka itu adalah 50% daripada gaji sebenar beliau berdasarkan kontrak.
Pique berharap dengan bukti itu, namanya tidak dikaitkan lagi dengan berita fitnah kononnya dia tak mahu menerima pemotongan gaji.
Ini adalah cara terbaik dilakukan Pique untuk membunuh fitnah ke atas dirinya.
Barcelona menjadi kelab yang teruk dilanda masalah kewangan selepas pandemik melanda. Kerana mereka kehilangan kutipan wang tiket pada hari perlawanan. Pada masa yang sama mereka sudah berbelanja dengan boros membeli pemain lebih €100 juta setiap seorang seperti Coutinho, Dembele dan juga Antoine Griezmann.
Gaji pemain yang terlampau tinggi membuatkan Barcelona terus dirundung masalah. Messi mendapat sehingga €1 juta seminggu jika kesemua bonusnya berjaya dicapai.
Bintang antarabangsa Perancis, Antoine Griezmann pula menerima gaji sekitar €820k seminggu. Sangat banyak untuk seorang pemain.
Namun untuk Lionel Messi, ianya dianggap tidak mengapa kerana pemain itu daya tarikan utama peminat dan penaja ke Nou Camp.
Messi malah setuju untuk menerima pemotongan separuh daripada gajinya dalam kontrak baharu dengan syarat Barca setuju melanjutkan kontraknya selama 5 tahun lagi.
Kesepakatan secara verbal sudah dicapai, namun la Liga menghalang pendaftaran Messi kerana bil gaji pemain Barca terlalu tinggi.
Mereka cuba mengosongkan lagi bil gaji tersebut dan memutuskan untuk melepaskan Messi.
Messi menangis teresak esak dalam sidang media perpisahan dengan Barcelona. Sebelum dia memutuskan untuk menyertai PSG.
🥺💔 When Messi cries, we all cry. pic.twitter.com/7qhg87ZTsR
— beIN SPORTS USA (@beINSPORTSUSA) August 8, 2021
Ianya hari yang sukar diterima oleh penyokong Barca yang kehilangan pemain terbaik dalam sejarah kelab mereka.
Hutang Barcelona ketika Laporta mengambil alih dilaporkan sekitar €1.3 billion banyaknya. Semuanya berlaku kerana salah tadbir kewangan era Josep Maria Bartomeu yang berbelanja seperti membeli coki coki di kedai.
Tetapi hasil di atas padang pula tidak setimpal dengan perbelanjaan ratusan juta mereka.
Perlahan lahan mereka mengurangkan gaji pemain. Namun masalahnya kini Barca berdepan kesukaran untuk melanjutkan kontrak pemain seperti Dembele. Sebelum ini pemain muda mereka Illaix Moriba sudah memutuskan untuk tidak mahu meneruskan karier di Barcelona kerana kelab tidak dapat menawarkan gaji lebih besar.
Mujur pemain seperti Pedri dan Ansu Fati sudah setuju untuk terus kekal dengan mempersetujui kontrak baharu.