Plot Twist: Bayern Kini Mahukan Erik Ten Hag

Selepas ditolak oleh tiga pengurus sebelum ini, kini Bayern dilaporkan berminat mendapatkan Erik Ten Hag yang mengendalikan Manchester United.

Pengurus pertama yang menolak Bayern iala Xabi Alonso. Kerana pengurus itu mahu terus kekal bersama skuad Bayer Leverkusen sekurang kurangnya semusim lagi setelah membantu mereka menjuarai Bundesliga musim ini.

Alonso merupakan pilihan utama Bayern sebelum ini. Selain itu Alonso turut memiliki klausa pelepasan khas untuk menyertai bekas kelabnya jika dia mahu berbuat demikian. Kelab itu adalah Bayern Munich, Real Madrid dan Liverpool.

Tidak lama selepas itu muncul idea untuk membawa pulang Julian Nagelsmann semula. Pengurus itu sebelum ini akan tamat kontrak bersama DFB selepas Euro. Namun begitu Nagelsmann tidak berminat untuk kembali.

Malah melanjutkan lagi kontraknya bersama skuad kebangsaan Jerman.

Dan semalam, Ralf Rangnick mengesahkan sendiri bahawa dia menolak Bayern Munich. Dan fokus kepada skuad kebangsaan Austria.

Rundingan antara Bayern dan Rangnick disahkan sendiri oleh FA Austria bahawa ianya sedang berlangsung.

“Apabila kelab seperti Bayern mahukan beliau maka kami faham,” tegas presiden FA Austria dalam satu kenyataan yang memberitahu bahawa mereka memberikan kebenaran agar Rangnick berhubung dengan Bayern.

Rangnick dan Bayern berdepan kesukaran untuk mencapai kesepakatan apabila pengurus itu meminta kuasa sepenuhnya dalam jual beli pemain.

Bayern dikenali dengan polisi mereka yang meletakkan kuasa pengarah sukan yang sangat besar dalam mempengaruhi aspek jual beli pemain.

Bagaimana dengan idea untuk mengekalkan Tuchel? Idea yang tiba tiba muncul setelah Bayern terus bergelut untuk mendapatkan pengurus baharu. Pengarah Sukan Bayern, Mark Eberl mengesahkan bahawa ianya tidak akan berlaku. Tuchel tetap akan pergi akhir musim ini.

Dan kini Bayern meletakkan nama Erik Ten Hag sebagai calon yang mereka mahukan menggantikan Tuchel di Bayern.

Ten Hag dianggap sebagai pengurus yang berkebolehan tinggi oleh pengurusan tertinggi Bayern. Dan kelab itu yakin dia calon paling tepat untuk mengendalikan Bayern.

Masa depan Erik Ten Hag di United sendiri beberapa kali dibincangkan. Sir Jim Ratcliffe sebelum ini menyatakan dia akan terus menyokong Ten Hag. Namun laporan beberapa media di UK mendedahkan bahawa Sir Jim Ratcliffe turut sudah memiliki beberapa nama untuk menggantikan Ten Hag jika pengurus itu dilepaskan.

Kegagalan Man United layak ke UCL musim hadapan antara faktor yang sedikit mengganggu reputasi Ten Hag di United.

Selain Bayern, kelab Belanda, Ajax juga berminat untuk mendapatkan semula Erik Ten Hag. Namun ia kurang realistik ketika ini. Kerana Ajax memiliki kekangan kewangan untuk membayar gaji Ten Hag yang sangat tinggi.

Minggu lalu, Ajax menarik diri daripada rundingan dengan Graham Potter kerana permintaan gaji oleh pengurus itu.

Jadi, jika Ajax mahukan Ten Hag kembali ianya memerlukan pengurus itu sedia menerima gaji jauh lebih rendah.

Bayern Munich kini benar benar memantau Erik Ten Hag yang kontraknya akan berakhir pada 2025. Namun Red Devils sedia untuk melanjutkan kontrak pengurus itu sehingga 2028 menurut laporan yang lain. Terutama sekali jika dia berjaya membantu kelab itu menjulang Piala FA.

 

Baca yang lain