PM Australia Kecam TikTok Kerana Tak Mampu Halang Penyebaran Video Bunuh Diri

Badan pemantauan aktiviti internet Australia menolak kemungkinan bahawa mereka akan mengheret TikTok ke mahkamah kerana video bunuh diri yang disiarkan di platform digital.

Namun begitu, perdana menteri negara itu, mendesak agar syarikat media sosial untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk kandungan bersifat ganas atau negatif lain di platform digital mereka.

Platform media sosial milik China itu mengatakan bahawa pihaknya sedang berusaha membuang video bunuh diri seorang lelaki dengan senjata api dan menghalang pengguna TikTok daripada cuba menyebarkannya.

Perdana Menteri Scott Morrison mengatakan Julie Inman Grant, pesuruhjaya eSafety, pemantau aktiviti internet Australia, mengambil tindakan keras terhadap video yang mengejutkan itu.

“Mesej saya kepada syarikat media sosial adalah; benar produk anda mengubah dunia, tetapi dengan itu anda ada tanggungjawab besar dan anda perlu memikul tanggungjawab itu.”

“Adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan produk anda tidak membahayakan rakyat Australia. Kerajaan saya akan memastikan anda memikul tanggungjawab itu. ”

Australia tahun lalu menggunakan dasar perundangan yang luar biasa untuk membuang kandungan ganas dari platform internet.

Di bawah undang-undang baru, eksekutif media sosial boleh dipenjara jika platform mereka menyiarkan rakaman ganas yang disahkan video asli bukannya hasil suntingan.

Perundangan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap seorang lelaki Australia yang menggunakan kamera di topi keledarnya untuk menayangkan pembunuhan beramai-ramai di Facebook di dua masjid di New Zealand yang mengorbankan 51 orang.

Pejabat Pesuruhjaya eSafety mengatakan TikTok tidak boleh didakwa berdasarkan undang-undang baru.

“Video tersebut tidak boleh dianggap mengandungi konten dalam bentuk keganasan ganas, pembunuhan atau percubaan pembunuhan, pemerkosaan, penyiksaan atau penculikan,” kata pejabat itu melalui e-mel.

Pejabat itu bekerjasama dengan syarikat media sosial untuk membuang kandungan dan memantau keadaan, kata Inman Grant dalam satu kenyataan.

“Syarikat media sosial perlu menggunakan cara yang mereka ada untuk mengesan dan membuang kandungan itu dengan lebih cepat,” katanya.

Kecaman Morrison terhadap TikTok muncul beberapa minggu selepas menentang polisi AS terhadap syarikat yang dimiliki ByteDance.

Pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengancam untuk melarang penggunaan TikTok di AS dari pertengahan September.

AS memerintahkan ByteDance untuk menjual operasinya di AS, dengan alasan keselamatan nasional berkaitan dengan produk yang ada pemilikan China.

Namun Morrison kemudian menjadi bengang dengan TikTok selepas sebuah video memaparkan dua wartawan Australia yang bekerja untuk media Australia meninggalkan China kerana takut ditahan.

Mereka dilarang meninggalkan China. Ini kerana China mengaitkan mereka dengan penangkapan seorang warga Australia bernama Cheng Lei, seorang wartawan media negara China, yang ditahan kerana disyaki melakukan kegiatan jenayah yang membahayakan keselamatan negara China.

Kini semakin ramai ahli parlimen Australia mempertimbangkan usul untuk mengharamkan TikTok di negara mereka.

Morrison sendiri memberikan bayangan bahawa TikTok mungkin terpaksa diharamkan di Australia pada Julai lalu.

Ia mendapat respon daripada orang ramai. Ramai rakyat Australia mengecam cadangan itu.

Namun Morrison kemudiannya mengesahkan bahawa TikTok tak akan diharamkan di Australia.

Baca yang lain