Pogba Akhirnya Akui ‘Berdukun’ Untuk Tangkal Pelindung Kecederaan, Tapi Bukan Santau Mbappe

Semasa pendengaran kesnya, Paul Pogba mengesahkan kepada penyiasat bahawa dia memang ada mengupah dukun melibatkan kos berjuta euro, namun atas tujuan yang baik, untuk melindungi dirinya daripada kecederaan demi membantu melancarkan kariernya. Dan bukannya untuk menyantau rakan senegaranya Kylian Mbappe.

Nama Paul Pogba telah menjadi topik sensasi di Perancis dan di seluruh dunia. Kerana terdapat cerita mengenai manipulasi, ugutan, pemerasan dan lebih-lebih lagi wang.

Pada awal Ogos, satu siasatan juga dibuka di Perancis untuk “cubaan peras ugut dilakukan kumpulan jenayah terancang” ke atas pemain antarabangsa Perancis itu, yang akan diminta membayar 13 juta euro oleh pemeras ugutnya untuk “perkhidmatan yang diberikan”.

Dipercayai rakan rakan zaman kecil Pogba dan abangnya sendiri, Mathias Pogba telah menjadi sebahagian daripada gangster itu yang turut membawa senjata api ketika mengugut Paul Pogba.

Mereka menuduh Pogba sudah lupa daratan sejak menjadi pemain profesional. Tak mahu membantu mereka secara kewangan. Oleh itu mereka meminta Pogba memberikan mereka 13 juta euro. Ini termasuk bayaran perkhidmatan mereka melindungi Pogba secara senyap senyap selama ini.

Kemudian Mathias menuduh Pogba menggunakan dukun untuk menyihir Kylian Mbappé. Dalam video pertamanya, yang disiarkan pada hujung minggu ini, Mathias Pogba menyatakan dia akan membongkar dan mendedahkan wajah sebenar Pogba. Dan kemudian meminta orang ramai menilai, sama ada pemain itu berhak menjadi pemain utama di Juventus atau berada di kalangan rakan sepasukannya.

Mathias menambah: “Akan ada elemen dan banyak testimoni untuk mengesahkan kata-kata saya. Semua ini berkemungkinan meletup dan gempar.”

Seterusnya Mathias menyatakan Pogba menggunakan dukun untuk mendapatkan tangkal bagi mengelak kecederaan dan juga untuk menyantau Mbappe. Kenyataan Mathias itu malah diambil serius oleh keluarga Mbappe yang mahukan kebenaran tentang perkara itu.

Paul Pogba menafikan dia mahu menyihir Mbappe. Tetapi dalam satu laporan terbaru, Pogba mengakui dia ada membelanjakan sejumlah wang untuk membayar dukun khas. Ianya untuk melindungi dirinya daripada kecederaan ataupun tangkal pelindung kecederaan.

Paul Pogba menjawab tuduhan Mathias di dalam videonya yang berbunyi: “Demi untuk melindungi diri kamu daripada kecederaan, ia membuatkan kamu membayar berjuta-juta euro kepada dukun ini selama bertahun-tahun?.”

Mathias mempersoalkan tindakan adiknya itu yang menurutnya ternyata sia sia. Kerana tangkal pelindung kecederaan itu tidak dapat membantu adiknya mengelakkan kecederaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Misalnya, Pogba pulang semula ke Juventus, kemudian dia mengalami kecederaan lutut kanan, dia yang tidak bermain sebarang perlawanan rasmi sejak April.