Pogba Akhirnya Sedar Kehidupan Sebenar Ketika Dia Tidak Lagi Popular

Paul Pogba akui dia harus membiasakan diri untuk menjadi orang yang tak popular. Sebelum ini dia antara manusia paling popular di dunia.

Banyak acara fesyen dan jenama terkemuka mahu dia hadir ke acara mereka atau menjadi duta produk. Segalanya mulai berubah setelah dia disabitkan dengan kesalahan penggunaan barang terlarang tahun lalu.

Pogba juga kesal masih ramai tidak  faham tentang isu doping dalam sukan. Ada sesetengah atlet mereka bukannya sengaja mengambil barang terlarang. Namun berlaku pencemaran dalam makanan mereka secara tidak sengaja.

“Bercakap pasal doping, orang ramai terus fikir saya nak jadi macam Incredible Hulk ,” kata Paul Pogba.

“Ya itulah pandangan masyarakat kepada saya,” tegas Pogba yang menyatakan bahawa dia jauh sekali nak menipu dalam sukan, sebaliknya apa yang berlaku adalah kerana pencemaran dalam makanan yang diambilnya.

“Saya ambil supplement mengikut garis panduan seorang profesional. Dan saya akui saya silap, sebab saya tak buat triple check. Dan saya bertanggungjawab di atas kesilapan sendiri,” tambah Pogba lagi.

Kemudian dia terkejut apabila kes tersebut membuatkan ramai mulai memencilkan dirinya.

“Apabila penggantungan  doping itu berlaku, baru saya sedar erti kehidupan sebenar.  Tiada lagi Paul Pogba, lelaki yang popular. Kawan kawan saya tidak lagi lagi menelefon saya seperti mana mereka kerap hubungi saya sebelum ini.

“Orang ramai mengelakkan diri mereka daripada saya. Dulu saya selalu dijemput ke acara fesyen dan acara cara glamor yang lain. Sekarang mereka cakap: ‘Kita tak boleh pakai Pogba’,” luah Pogba kepada Daily Mail.

Dia merasa terasing kerana sebelum ini dia dikelilingi ramai orang yang mahu berdamping dengannya ketika dia popular.

Pogba kini dibebaskan daripada hukuman 4 tahun yang dijatuhkan mahkamah kepadanya. Dia boleh kembali beraksi pada Mac 2025.

Dan dia sudah sedia untuk bangkit. Terutama sekali mahu kembali semula ke pangkuan pasukan kebangsaan.