Polis UK Akan Serbu 1,000 Isi Rumah Kerana Penstriman EPL Haram Pakai Android Box

Di UK, polis telah mengumumkan bahawa mereka akan menyerbu kira kira 1,000 rumah kerana mengakses siaran Liga Perdana Inggeris secara haram.

Polis UK sudah memberikan amaran bahawa operasi serupa akan diteruskan lagi selepas ini.

Semua mereka yang menonton siaran EPL secara haram terutama sekali menerusi android box di rumah mereka akan berdepan hukuman berat.

Polis menyatakan, serbuan itu dibuat setelah mengenal pasti pelanggan daripada pangkalan data yang besar dalam penyiasatan jenayah utama yang sedang dijalankan ketika ini.

Polis sudah menegaskan bahawa mereka yang didapati bersalah akan terus dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan pelanggaran hak cipta.

Tindakan tegas terbaharu terhadap 1,000 individu ini dibuat selepas serbuan oleh Polis Mercia Barat terhadap kesalahan perkhidmatan penstriman haram yang berpangkalan di UK.

Di mana perkhidmatan haram tersebut menawarkan program hiburan dan sukan melalui kotak android yang diubah suai, yang dipanggil “fire stick”.

Usaha menggempur aktiviti haram itu memfokuskan kepada mereka yang cuba menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris, bola sepak dari seluruh Eropah dan sukan sukan lain serta filem dan drama dengan harga murah.

Polis telah bergabung tenaga dengan penyiasat anti-cetak rompak dari FACT dalam “Operasi Raider” dan sudah memberitahu rakyat di UK bahawa mereka perlu memberikan kerjasama jika pintu mereka diketuk.

Mereka berkemungkinan akan diberi notis, diarah berhenti serta-merta dan diberi amaran tentang akibat yang serius untuk kesalahan yang pertama.

Dan jika mereka terus menonton atau ianya kesalahan berulang, maka satu tindakan berat akan diambil.

Dilaporkan UK memiliki hukuman denda dan hukuman paling berat di Eropah untuk kesalahan penstriman haram.

Dua individu, Paul Faulkner dan Stephen Millington, dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan kerana menonton strim haram pada 2021.

Penyiasat berkata terdapat kaitan yang jelas antara perkhidmatan penstriman haram dengan penipuan serta kumpulan jenayah terancang.

Tindakan keras itu dilakukan dengan sokongan organisasi utama seperti Liga Perdana Inggeris dan penyiar seperti Sky, BT Sport dan Amazon.

Namun operasi bersepadu itu telah diketuai oleh polis dan FACT, yang ditubuhkan untuk menghentikan aktiviti cetak rompak dalam industri TV dan filem.

Inspektor Detektif Matt McNellis, dari Operasi Pakar Jenayah Siber West Mercia, berkata: “Kami dapat menggunakan taktik digital termaju untuk mengenal pasti dan mengesan orang yang melanggar undang-undang sebelum menjalankan aktiviti penguatkuasaan bersama rakan kongsi kami.”

“Selalunya, penstriman haram digunakan untuk membiayai Jenayah Terancang Serius dan Unit Jenayah Siber Mercia Barat komited untuk menghalang sumber hasil jenayah ini dan mengurangkan bahaya yang boleh dilakukan oleh kumpulan jenayah terancang kepada komuniti kita.”

Ketua Detektif Inspektor Gary Robinson, Unit Kepolisian Jenayah Harta Intelek, berkata: “Mengakses filem, siri TV dan acara sukan secara langsung daripada sumber yang tidak dibenarkan adalah menyalahi undang-undang, boleh mendedahkan pengguna kepada risiko seperti kecurian data dan perisian hasad, dan boleh membantu membiayai kumpulan penjenayah terancang.”

Ketua Eksekutif FACT, Kieron Sharp, menambah: “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Rangkaian Perisikan Agensi Kerajaan (GAIN), Unit Jenayah Harta Intelek Polis (PIPCU), Polis Mercia Barat dan pasukan polis lain di seluruh negara, atas sokongan mereka kepada membantu memastikan orang ramai dimaklumkan tentang bahaya menggunakan perkhidmatan penstriman haram dan, yang lebih penting, mereka memahami bahawa terdapat risiko pendakwaan jenayah.”

Baca yang lain

Xavi Sedia U-Turn Dan Kekal Di Barca

Beberapa minggu lalu Xavi menyatakan bahawa dia akan tetap meninggalkan Barcelona walaupun kelab itu menjulang UCL sekalipun. Sebelum itu Xavi sudah menyatakan