Postecoglu Sindir Pundit: “Ya Mereka Akan Tetap Kutuk Taktikal Saya Walaupun Menang”

Pengurus Spurs, Ange Postecoglou menghalakan peluru sindiran ke arah pundit di Sky Sports selepas Spurs mara ke separuh akhir Piala Carabao berikutan kemenangan mendebarkan 4-3 ke atas Manchester United pada Khamis.

Spurs mendapati diri mereka mendahului 3-0 hasil dua gol Dominic Solanke dan jaringan Dejan Kulusevski sebelum dua kesilapan Fraser Forster ketika bermain di bahagian belakang membolehkan United kembali bangkit dengan jaringan Joshua Zirkzee dan Amad Diallo.

Heung-Min Son menjadikan kedudukan 4-2 apabila dia menewaskan penjaga gol pilihan kedua United, Altay Bayindir terus dari sepakan sudut ataupun olimpico, sebelum Jonny Evans mengurangkan defisit dengan tandukan lewat.

Spurs kini akan menentang Liverpool dalam dua perlawanan di separuh akhir selepas menang dalam keadaan yang mereka sendiri buatkannya sulit.

Ange Postecoglou telah menembak pengkritik  di studio yang menurutnya, di mana mereka akan tetap mencari salah beliau dari segi taktikal.

Dia bercakap sendiri di hadapan wartawan Sky Sports dengan berkata: “Saya suka keseluruhan permainan ini.

“Adakah anda tidak terhibur?! Apa yang anda mahukan? Adakah anda mahukan 1-0 yang berhempas-pulas? Studio mungkin akan huru hara kerana kekurangan taktikal saya tetapi saya suka dengan hakikatnya kami pergi ke sana dan melawan walaupun sebenarnya kami kehilangan beberapa pemain ketika ini – penjaga gol, kedua-dua bahagian tengah, bek kiri – kami mempunyai budak budak di bangku simpanan.

“Namun budak-budak ini mengekalkan prinsip mereka tentang cuba bermain bola sepak yang kita inginkan. Saya fikir jika kita berjaya melalui tempoh ini, kita akan mendapat perkembangan yang besar daripadanya.

“Saya sangat menyukai cara kami bermain malam ini. Jelas sekali dua detik itu mencemarkan keseluruhan dan ia sesuatu yang berlaku tahun ini sebelum ini. Ia tidak membantu kami dari segi mendapatkan momentum dan konsistensi kami tetapi dari segi mentaliti, saya sukakannya.”

Jamie Carragher telah mengkritik Spurs dan bagaimana mereka telah menjadi arkitek kejatuhan mereka sendiri pada banyak kesempatan. Legenda Liverpool itu menyifatkan bahawa temuramah itu sebagai “hebat” tetapi sekali lagi menyatakan perasaannya dengan jelas mengenai pendekatan Spurs, tidak bersetuju dengan cara mereka bermain dengan cara yang sama dalam setiap minit permainan.

Pundit berusia 46 tahun itu menggesa pemain Spurs supaya mengabaikan arahan dan mengubah taktik apabila pengurusan permainan di atas padang diperlukan.

Carragher berkata: “Apa yang kita cipta sekarang ialah robot di atas padang. Saya bukan pemain yang hebat dari segi teknikal atau fizikal, tetapi saya faham permainan itu. Beberapa perkara yang saya lihat malam ini saya tidak akan benarkan berlaku.

“Pengurus telah memberitahu anda untuk bermain dengan cara tertentu tetapi seseorang perlu mendapatkan cengkaman dan berkata ‘tidak, kami akan bertukar untuk lima atau 10 minit akan datang’.

‘Ia mengecewakan saya apabila pemain tidak dapat melihat bagaimana keadaan permainan berubah dan menyedari bahawa mereka perlu mengubah pendekatan mereka agar sesuai dengannya.”

Spurs kembali beraksi pada hari Ahad, menerima kunjungan Liverpool dalam satu lagi aksi yang menarik di Stadium Tottenham Hotspur.