Selepas kecewa dikencing Mycujoo pada musim lalu, pengurusan TRW mengambil pendekatan drastik dengan membuat PPV (bayar per tontonan) untuk pasukan mereka dalam aksi Liga Premier.
Di mana terdapat dakwaan menyatakan bahawa TRW cuma mendapat RM400 daripada MyCujoo musim lalu. Dan paling sedih berita UKM FC yang cuma mendapat RM25.
Inisiatif itu diambil untuk menjana keuntungan tambahan daripada pasukan. Dan PPV ini sudah dilaksanakan Kelantan pada pra musim. Walaupun terdepat sedikit isu, biasalah tu, namun ianya keseluruhannya berjaya.
Terbaru Zamsaham menerusi Facebook beliau mengumumkan bahawa hasil daripada PPV perlawanan Kelantan vs Perak II, mereka berjaya meraih hampir RM44k ataupun lebih tepat RM43,972. Selain itu pendapatan itu turut diraih menerusi penjualan tshirt khas hari perlawanan.
Dengan stadium yang masih tidak dibenarkan berpenonton, ini adalah satu cara yang bagus digunakan untuk mendapatkan wang tambahan. ZamSaham berkata: “Jualan ticket termasuk Tshirt Khas semalam berjumlah RM43,972.Lepas Tolak kos penyiaran,bayar stadium dan Referee secara kasar masih untung.”
Namun begitu, pemilik pasukan TRW itu jelas kecewa kerana masih ada ramai penonton yang menonton secara haram siaran langsung tersebut. Beliau dengan nada sinis berkata: “Semalam ada beberapa orang buat curi dan buat siaran semula scra haram. Saya tahu, tapi biarkan dulu,kasi lemak.”
Isu penyiaran melibatkan MSL sudah dimeterai. Namun tidak ada perkembangan lebih untuk Liga Premier. Jika MPL tiada penyiar rasmi, maknanya, langkah TRW ini adalah inisiatif yang sangat baik untuk kesemua pasukan bertanding.
Perjuangan ZamSaham
Sebelum ini ZamSaham pernah bising bertanya wang hak penyiaran pasukan Kelantan dan pasukan lain. Zamsaham turut mempersoalkan tunggakan gaji pengadil?
“Mohon FAM, biar lebih bijak dari biasa. Hutang-hutang MFL siaran perlawanan belum bayar! Hutang MFL duit referee pun belum bayar! Apa perjuangan FAM? Renovate office?”
Pertikaman lidah antara pemilik kelab bola sepak Kelantan (Kelantan FC) Norizam Tukiman dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akhirnya juga beberapa hari kemudian.
FAM menerusi laman Facebooknya hari ini, memaklumkan pertemuan lebih sejam itu dihadiri Timbalan Presidennya Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, Norizam serta wakil Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diketuai naib presidennya, Ahmad Muzakkir Hamid.
Perang mulut antara Norizam dengan FAM dan MFL sebelum ini dipercayai tercetus selepas terdapat laporan mendakwa Kelantan FC boleh dikenakan pemotongan tiga mata akibat masalah tunggakan gaji pemain, sekali gus menimbulkan tidak puas hati Norizam yang bertindak membidas badan induk bola sepak itu.
Stuart, bagaimanapun menafikan bahawa Kelantan FC bakal dipotong tiga mata. Selain itu, Norizam turut dilapor membangkitkan beberapa isu termasuk bayaran hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M) serta elaun pengadil yang belum dibayar.
Konflik di antara FAM dan pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman (popular dengan nama ZamSaham) telah menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan.
Segalanya bermula apabila ZamSaham mengamuk kerana Kelantan FC diancam akan dipotong 3 mata jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji pemain mereka.
Menurut ZamSaham, FAM telah bertindak tidak bijak kerana seolah olah menjatuhkan hukuman di atas kesalahan KAFA ke atas Kelantan FC yang kini menjadi kelab swasta.
Namun FAM tampil menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan kenyataan mereka diputar belitkan oleh media.
ZamSaham kemudian mendedahkan surat oleh FAM dan membangkitkan isu bayaran penajaan dan juga bayaran pengadil oleh MFL.
Perkara itu mendapat perhatian oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Di mana beliau mahukan kemelut yang melanda diselesaikan dengan cara terbaik sebagai satu keluarga bola sepak.
Dipetik daripada Sinar Harian, Yusoff berkata: “Elok selesai dengan cara keluarga. Orang macam Zamsaham (Norizam) tidak ramai. Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit mereka sendiri dengan banyak.
“Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai dan membantu industri bola sepak negara.”
“Eloklah kita selesaikan salah faham ini dengan cara baik. Saya diberi mandat untuk menjemput Norizam berbincang dengan baik bersama (Setiausaha Agung FAM) Stuart (Ramalingam) dan Datuk Ghani (Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan) dalam tempoh terdekat.”
“Sebab itu saya serahkan kepada FAM dan MFL untuk berbincang dengan elok seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak,” tambah beliau lagi.