Presiden Atletico Kecam Taktikal Zaman Batu Guardiola, Parking Bas Depan Gol

Presiden Atletico Madrid Enrique Cerezo telah membuat dakwaan pelik di mana dia mendakwa Manchester City bermain bola sepak zaman batu ataupun ‘pra-sejarah’ ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah pada malam Rabu.

Ianya satu kritikan yang agak pedas ke atas taktika Pep Guardiola yang menurut Cerezo sebagai berkampung di kawasan sendiri seperti park the bus.

City terpaksa bertahan dengan kental untuk seri tanpa jaringan di Wanda Metropolitano bagi memastikan kemenangan agregat 1-0.

Tetapi malam tersebut juga akan diingati untuk adegan jelek menjelang penghujung babak perlawanan, dengan Felipe dari Atletico dibuang padang.

Atletico melonjakkan tekanan ke atas City pada peringkat akhir permainan, dengan John Stones membuat hadangan yang sangat penting untuk menafikan Matheus Cunha sebelum Ederson menyelamatkan percubaan deras dari Angel Correa pada minit akhir masa kecederaan — ketika anak buah Guardiola mempamerkan aksi pertahanan kental.

Walaupun Guardiola menegaskan selepas perlawanan hari Rabu dia tidak pernah mengkritik gaya Atletico, berkata: “(Simeone) boleh bermain seperti yang dia mahu.”

Atletico tidak terkesan dengan komen selepas perlawanan pertama di mana bos City bercakap tentang taktikal ‘pra-sejarah’ ketika membincangkan mereka bermain dengan formasi 5-5-0.

Perkara yang sama disebut oleh Kevin De Bruyne yang menyatakan dia terkejut kerana pertama kali melihat formasi 5-5-0 di depan matanya.

Atletico Madrid bermain dengan sangat defensif ketika berkunjung ke Etihad. Hanya memiliki 29% penguasaan bola dan tanpa sebarang percubaan ke arah gol.

Kritikan daripada Guardiola dan De Bruyne itu mungkin masih membekas di dalam hati Cerezo. Ketika bercakap kepada Radio Marca, Cerezo membalas kritikan itu dengan menuduh Pep Guardiola turut memakai taktikal zaman batu ketika bertandang ke Wanda Metropolitano.

Cerezo mengakui mereka agak tersinggung dengan kata kata Guardiola sebelum ini.

Cerezo juga menganggap pasukannya tak menang sebab nasib tak memihak kepada mereka.

“Ia adalah perlawanan yang, jika ada sedikit nasib, ia akan membawa kami ke separuh akhir. Kami tidak bernasib baik untuk tidak menjaringkan gol dan bermain di masa ekstra.”

“Kami adalah pasukan yang mempunyai banyak status sehingga seseorang boleh menyinggung perasaan kami dan akhirnya telah ditunjukkan bahawa setiap orang mempunyai gaya prasejarah mereka tersendiri.”

“Kami bermain dengan baik, menyerang, dan City semalam bermain dengan taktikal prasejarah zaman batu, bertahan dan meletakkan tembok di hadapan gawang mereka supaya kami tidak menjaringkan gol.”

“Semua orang telah melihatnya. City adalah pasukan yang bertahan sepenuhnya dalam perlawanan ini.”

“Pada separuh masa kedua mereka merembat ke arah gol hanya sekali. Semalam telah ditunjukkan bahawa masing-masing mempunyai gaya pra-sejarah mereka.’

Cerezo turut menyatakan sokongannya kepada pengurus Atleti Diego Simeone selepas kekalahan tipis di tangan Manchester City

Ini kerana Simeone telah dua kali membawa gelaran LaLiga kepada Atletico dan dua kali mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.

Cerezo berkata: “Dalam aspek sukan dan kemanusiaan, Simeone tidak boleh dikritik,” kata Cerezo.

“Dia tahu bagaimana untuk berada dalam semua situasi. Dia akan terus bersama kami, kisahnya sudah tertulis, dia seorang pemenang dan akan bersama kami selagi dia mahu.”

Walaupun Cerezo menuduh Manchester City sekadar datang untuk bertahan ramai ramai depan gawang mereka. Statistik pula menunjukkan City masih memiliki penguasaan bola 61% berbanding 39% oleh Atletico Madrid.

Citt tetap melakukan 605 hantaran berbanding 399 hantaran oleh Atletico Madrid.