Presiden Demirspor Sahkan Newcastle Mahu Dapatkan Balotelli

Newcastle United meneruskan pemburuan pemain di pasaran perpindahan. Dan kali ini mereka dikaitkan dengan penyerang nakal Mario Balotelli.

Newcastle sebelum ini sudah mendapatkan Chris Wood. Namun ianya tidak cukup bagi mereka dalam usaha Newcastle mahu memperbaiki ketajaman di hadapan gol.

Newcastle berbelanja kali pertama dalam bursa perpindahan selaku kelab terkaya di dunia. Ini selepas Newcastle menjadi milik konsortium dana Arab Saudi iaitu PIF.

Berdasarkan laporan oleh The Guardian sebelum ini, Newcastle boleh membelanjakan secara bersih sehingga GBP165 juta untuk jendela perpindahan kali ini.

Newcastle pastinya masih ada banyak baki wang untuk dibelanjakan di bawah had maksimum yang ditetapkan. Ini kerana mereka baru berbelanja GBP32 juta sahaja untuk Wood dan Kieran Trippier.

Trippier dibeli dari Atletico dengan nilai GBP12 juta. Sementara Chris Wood menyertai Newcastle selepas kelab memutuskan untuk mengaktifkan klausa pelepasan GBP20 juta pada pemain tersebut.

Burnley sendiri terkejut dengan tindakan Newcastle yang membayar klausa pelepasan penyerang mereka sedangkan kelab itu memiliki wang yang banyak untuk mendapatkan bintang lain.

Beberapa bulan lalu, asukan yang dimiliki oleh saudagar Arab itu dikaitkan dengan ramai pemain termasuk Eden Hazard, Kylian Mbappe dan ramai lagi.

Namun situasinya kini Newcastle tidak semudah yang disangka untuk mendapatkan pemain. Newcastle cuba mendapatkan pemain seperti Anthony Martial. Tetapi pemain itu lebih berminat untuk ke Sevilla.

Lantas Newcastle menjadikan Balotelli sebagai salah seorang pemain yang dipertimbangkan untuk dibawa masuk jika gagal mendapatkan bintang yang lebih besar.

Balotteli merupakan pemain yang dianggap masih ada kualiti penyudah di hadapan gol. Dan boleh menjadi penyerang buat sementara waktu untuk Newcastle dalam usaha mereka mahu mengelak terjerumus penyingkiran pada akhir musim ini.

Bekas pemain Manchester City dan Liverpool itu kini bermain untuk kelab Turki, Adana Demirspor.

Berita tentang minat Newcastle itu disahkan sendiri oleh presiden kelab Adana Demirspor iaitu Murat Sancak.

Bercakap keapda Fanatik, Murat berkata: ” Newcastle mempertimbangkan untuk mendapatkan Balotelli. Tetapi tiada tawaran rasmi dibuat.”

“Ada klausa pelepasan dalam kontrak Balotelli. Tetapi buat masa ini saya tak akan beritahu kamu berapa angkanya.”

Bekas penyerang AC Milan itu baru sahaja menyertai Liga Turki Julai tahun lalu. Jadi, memang difahami kenapa presiden kelab tidak mahu melepaskannya pergi.

Balotelli sudah menjaringkan 7 gol daripada 18 penampilan setakat ini pada musim ini. Beliau turut melakukan 2 assist.

Newcastle bukan hanya ada nama Balotelli dalam senarai mereka. Kehadiran Wood lebih kepada tambahan kepada skuad berbanding dengan menggantikan Callum Wilson yang cedera.

Oleh sebab itu mereka masih mencari penyerang pada ketika ini untuk squad depth mereka.

Adakah Balotelli akan kembali semula ke England? Dengan menerima gaji yang lebih besar sekali lagi?

Selain daripada posisi penyerang, Newcastle juga masih cuba mencari pertahanan baharu untuk memperbaiki barisan pertahanan mereka yang agak rapuh.

Sven Botman dari Lille antara pemain yang berada dalam radar Newcastle. Namun kelab Perancis itu masih berkeras tidak mahu melepaskan pemain tersebut.

Newcastle masih kekal tenang dalam usaha mereka mahu mendapatkan Botman. Ini kerana mereka yakin pemain itu akan tertarik dengan tawaran gaji yang lebih besar di St James’ Park.

Newcastle banyak kali mendahului dalam perlawanan. Namun selepas itu mereka gagal menang dan keciciran mata.

Ianya adalah kerana kelonggaran di barisan pertahanan mereka.

Baca yang lain