Presiden Optimis Kedah Tiada Tunggakan Gaji Musim Depan, Budget Maksimum RM22 Juta Je

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) optimis pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, tidak akan dibelenggu dengan isu tunggakan gaji pemain pada musim depan seperti yang dihadapi musim ini.

Presidennya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata penghijrahan keluar beberapa pemain yang memperoleh gaji tinggi sebelum ini, akan membantu KDA FC mengurangkan bajet pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

“Kos yang mahal adalah (pembayaran) gaji (pemain), yang kita tak mampu dan berhutang (sebelum ini) adalah disebabkan gaji, kalau gaji mampu bayar semua tidak ada masalah.

“Ada pasukan belanja tak sampai RM12 juta atau RM13 juta, tapi kedudukannya dalam Liga Super baik. Untuk gaji pemain saya harap kita dalam lingkungan yang mampu kita cari (dana), bila ia berada dalam lingkungan yang sukar dicari itu jadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Kongres KFA ke-46 di sini hari ini.

Menurutnya, KDA FC meletakkan bajet pasukan maksimum RM22 juta bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022, berbanding sekitar RM30 juta pada musim ini.

Muhammad Sanusi menjelaskan KDA FC sebenarnya tidak menghadapi masalah mendapatkan dana bagi membayar gaji pemain pada musim ini, namun masalah timbul apabila pasukan dibebani dengan hutang lama sekali gus memberi kesan kepada gaji pemain.

Dalam pada itu, beliau berkata KFA akan mewujudkan liga tempatan yang dinamakan sebagai K-League 2022, dan bercadang menganjurkan enam kejohanan bagi memeriahkan kembali acara bola sepak di negeri ini pada tahun depan.

Katanya, enam kejohanan itu ialah Piala Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Piala Menteri Besar Kedah, Piala KFA, Kedah Grassroot League B-12, Liga Futsal Kedah dan Langkawi International Beach Soccer.

“Enam kejohanan ini akan menyemarakkan bola sepak Kedah selepas suram dua tahun akibat pandemik Covid-19. Saya berjumpa dengan beberapa pihak yang berminat menaja kejohanan tersebut, dan Alhamdulillah beberapa syarikat bersetuju untuk menjadi penaja yang akan dimuktamadkan beberapa hari lagi,” katanya. – BERNAMA