Presiden RFEF Hina Dan Kutuk 3 Kelab Sepanyol, Diminta Membuat Permohonan Maaf

Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales, telah dituntut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka daripada Sevilla, Valencia dan Villarreal.

Dakwaan ini timbul berikutan kebocoran kandungan perbualan WhatsApp yang didakwa datang daripada Luis Rubiales dan diterbitkan oleh media Sepanyol, El Confidencial.

Dalam siri mesej itu, Rubiales membincangkan tiga kelab Liga Sepanyol iaitu Sevilla, Valencia dan Villarreal.

Bagaimanapun, ucapan Rubiales adalah negatif dan mengaibkan kelab kelab tersebut.

Satu contoh ialah dalam sembang dengan keluarganya, Rubiales berharap Sevilla tewas kepada Real Madrid pada 2020.

“Mari kita lihat sama ada kita boleh mengemop lantai dengan Sevilla. Pasukan itu adalah yang paling saya tidak suka,” tulis Rubiales dalam perbualan tersebut.

Satu lagi contoh sembang adalah antara Rubiales dan bapanya.

Dalam perbualan peribadi, bapanya berkata dia tidak menyukai Sevilla dan Valencia. Rubiales bersetuju.

“Senarai tiga kelab yang paling saya tidak suka ialah Villarreal, Sevilla dan Valencia,” kata Rubiales yang dianggap sangat tidak profesional selaku orang yang menaungi RFEF.

Ketiga-tiga kelab yang menjadi bahan gosip itu akhirnya mengeluarkan kenyataan bersama. Meminta Rubiales tampil membuat permohonan maaf terbuka.

“Sevilla, Valencia dan Villarreal bergabung tenaga untuk mengecam kelakuan memalukan Presiden RFEF, Luis Rubiales, dalam perbualan yang diterbitkan pada 11 Oktober 2022 oleh El Confidencial,” kata kenyataan tersebut, seperti yang dilaporkan The Athletic.

“Dalam semua perbualan ini, Rubiales bercakap dengan penuh kebencian, permusuhan dan keangkuhan terhadap ketiga-tiga kelab, dan sukar diterima kerana dia berasal daripada seorang yang memegang jawatan tinggi dan wajib menjaga kepentingan semua kelab di Sepanyol secara sama rata. ”

Kelab kelab tersebut bimbang bahawa kebencian Rubiales itu akan mewujudkan konflik kepentingan ke atas 3 kelab tersebut pada satu hari nanti.

“Sevilla, Valencia, Villarreal mengecam kebencian Luis Rubiales dan kurangnya rasa hormat yang ditunjukkannya kepada ketiga-tiga kelab, terutamanya kepada penyokong.”

“Kami juga menunjukkan kebimbangan bahawa akan ada akibat daripada kata-kata Rubiales untuk kelab, kerana sikap Rubiales tidak kondusif kepada ketelusan Liga Sepanyol.”

“Sevilla, Valencia dan Villarreal menuntut Luis Rubiales membetulkan keadaan dan memohon maaf secara terbuka kepada ketiga-tiga kelab dan penyokong,” tegas kenyataan itu lagi.

Buat masa ini Rubiales masih tidak melayan tuntutan daripada 3 kelab tersebut.