Presiden Torino Melenting Baca Kritikan Netizen Yang Tak Puas Hati Dia Campur Tangan Urusan Jual Beli Pemain

Presiden kelab Torino, Urbano Cairo mengecam balik penyokong yang mempersoalkan tindakannya menjual Raoul Bellanova ke Atlanta. Peminat tidak puas hati kerana tuan presiden kelab masuk campur dalam urusan jual beli pemain.

Sebelum ini Torino menjual Buongiomo ke Napoli dan kini Bellanova pula hampir pasti menyertai Atalanta.

Ramai peminat mengecamnya di media sosial dengan menyatakan bahawa dia adalah perosak kepada kelab itu. Hantaran di media sosial itu dilaporkan sampai ke pengetahuan Urbano Cairo yang terus memberikan respon.

Menurutnya, kelab menerima tawaran menarik untuk Bellanova dan kemudian pemain itu sendiri berminat untuk menyertai Atalanta. Maka dia pun mengarahkan agar pemain itu dijual. Ini untuk membantu kewangan kelab.

Ketika peminat berterusan mempersoalkan peranannya dalam perpindahan itu, Urbano Cairo berkata: “Saya pakai duit saya sebanyak €72 juta melabur dalam kelab ini. Ingat duit tu dari sumber yang tak pandai habis ke?”

Urbano Cairo menyatakan bahawa, kelab menjual pemain itu untuk meraih pendapatan yang membantu kelab meneruskan kelangsungan operasi mereka. Bola sepak juga harus diuruskan dengan bijak dari sudut perniagaan, bukannya kesukanan semata mata.

Terutama sekali kelab seperti Torino. Mereka harus terbuka menerima dan mendengar tawaran kelab lain ke atas pemain mereka. Risau peristiwa Belotti dulu berulang. Ketika itu hampir kesemua kelab besar di Eropah dikaitkan dengan Belotti.

Di mana mereka pernah meletakkan tanda harga €100 juta untuk Belotti pada masa itu. Banyak tawaran diterima mereka untuk Belotti dengan nilai bidaan mencecah €70 juta, namun semuanya ditolak. Belotti sendiri pernah bersuara bahawa nilai harga dia bukan €100 juta pada pandangannya.

“Saya rasa nilai itu agak melampau untuk harga saya. Namun dalam bola sepak nilai pemain itu memang meningkat mendadak dan tak masuk akal pada hari ini. Tetapi saya masih bukan pemain pada angka tersebut [€100 juta],” tegas Belotti.

Pakar perpindahan ketika ini menganggap Torino terpengaruh dengan harga Gonzalo Higuain yang dibeli Juventus dengan nilai €94 juta.

Urbano Cairo kali ini mahu kelab lebih bijak dalam menjana keuntungan. Terutama sekali menjual pemain yang terang terangan sudah tak mahu bermain untuk kelab mereka dan mahu bermain untuk kelab lain.

Urbano Cairo menambah: “Pemain itu sendiri yang mahu pindah ke Atalanta. Saya dah letak tanda harga, dan mereka memberikan tawaran yang memuaskan hati kami. Saya tak mahu memiliki pemain yang nak berambus daripada kelab ini.”

Atalanta dan Torino dilaporkan setuju dengan harga €20 juta untuk pemain bek kanan itu. Sebelum ini Atalanta sudah berjaya mendapatkan Mateo Retegui dan Marco Brescianini dalam jendela perpindahan yang sama. Namun dia tidak bermain langsung dalam kejohanan itu. Meluangkan masa di bangku simpanan dalam kesemua 4 perlawanan Itali.

Bellanova merupakan salah seorang pemain yang dipanggil untuk menyertai skuad Itali di Euro 2024 yang lalu. Dia sudah memiliki 2 kaps bersama dengan Itali.

Menurut Fabrizio Romano, Torino sudah mengenalpasti pengganti Bellanova iaitu pemain Feyenoord, Marcus Pedersen yang musim lalu bermain di Sassuolo secara pinjaman.