Presiden UEFA, Aleksander Ceferin telah mengutuk corak perbelanjaan kelab kelab dari Arab Saudi sebagai membazir dan tidak membantu membangunkan bola sepak di negara itu.
Kelab kelab dari Arab Saudi berbelanja sangat besar untuk mendapatkan pemain pemain yang disifatkan Ceferin sebagai kuda tua, hanya akan merugikan pembangunan bola sepak di negara itu.
Ceferin percaya bahawa Arab Saudi kini persis China, yang tidak berkembang dalam bola sepak selepas merekrut pemain terkenal dengan menawarkan mereka gaji tak masuk akal.
Presiden UEFA Aleksander Ceferin menegaskan beliau tidak bimbang pertandingan di rantau Eropah akan kehilangan ramai pemain bintang, susulan fenomena perbelanjaan pemain oleh kelab Arab Saudi.
Pasaran perpindahan musim panas tahun ini telah mengaitkan beberapa pemain dengan kelab Arab Saudi, seperti Lionel Messi, Luka Modric dan Romelu Lukaku. Yang akhirnya, Karim Benzema secara rasminya diperkenalkan pemain baharu Al Ittihad.
Ketibaan Benzema adalah menyusuli bekas pemain Real Madridnya, Cristiano Ronaldo, yang bermain untuk Al Nassr.
Ceferin berkata, aliran dana yang dikeluarkan oleh Arab Saudi tidak menyebabkan dia berasa bimbang bahawa liga di eropah akan terancam.
Menurut Ceferin, Eropah tetap menjadi pilihan bakal pemain bintang yang ingin mencipta nama dalam bola sepak dunia kerana ianya pentas tertinggi berbanding Arab Saudi.
“Namakan hanya seorang pemain terbaik dunia, pada usia puncak, dan siapa yang memulakan kerjayanya, dan bermain di Arab Saudi?” tanya Ceferin kepada media Belanda NOS di luar perlawanan Akhir Liga Negara Negera Eropah yang diadakan di Land of Windmills.
“Ia bukan hanya soal wang. Pemain mahu memenangi pertandingan teratas, dan pertandingan teratas berada di Eropah. Kami sebenarnya tidak kehilangan mereka. Mereka masih bermain bola sepak. Pada penghujung karier mereka, beberapa pemain pergi ke suatu tempat untuk mendapatkan wang semata mata.”
Tambah Ceferin, dasar perbelanjaan pemain di Arab Saudi akan memusnahkan bola sepak negara itu. Ceferin memberi contoh kegagalan China pada 2010-an, yang telah membawa beberapa nama terkenal.
Didier Drogba menjadi salah seorang pemain bintang Liga Super China pada 2012 ketika beberapa kelab di sana membeli penyerang yang berpangkalan di Eropah, seperti Nicolas Anelka dan Frederic Kanoute. Bagaimanapun, liga China dan pasukan kebangsaan mereka telah mencapai sedikit kemajuan di peringkat antarabangsa sejak itu.
“Pada pendapat saya, ia adalah satu kesilapan untuk bola sepak Arab Saudi. Mengapa ia menjadi masalah kepada mereka? Mereka harus melabur dalam akademi, mereka harus berusaha membawa masuk jurulatih berkualiti dan mereka harus membangunkan pemain mereka sendiri,” kata Ceferin.
“Sistem membeli pemain yang berada di penghujung karier mereka bukanlah sebahagian sistem yang membangunkan bola sepak.”
“Ia seperti kesilapan yang sama di China apabila mereka membawa masuk pemain yang berada di penghujung karier mereka.”