Presiden UEFA Sindir City: “Kami Dah Tau Dah”

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin tidak hairan kenapa Man City kini didakwa melakukan 115 kesalahan pengurusan kewangan oleh EPL.

Dan beliau menegaskan itu juga bukti bahawa UEFA sebelum ini betul, kerana pada 2020, UEFA pernah mengenakan City hukuman penggantungan 2 musim daripada UCL kerana melanggar kesalahan FFP, dan turut didenda €30 juta.

Namun beberapa bulan selepas itu, City berjaya dalam rayuan mereka di CAS. Denda mereka dikurangkan kepada €10 juta sahaja dan penggantungan mereka dalam UCL dibatalkan.

Hal ini kerana kes tersebut dikatakan sudah terlalu lama iaitu lebih 5 tahun. Ada satu peraturan dalam UEFA yang menganggap untuk kes lebih 5 tahun ianya dianggap sudah tamat tempoh atau lapuk.

Pada Februari 2023, Premier League pula mendapati Man City melakukan 115 kesalahan pengurusan kewangan dalam 9 musim dari 2009 sehingga 2018. Berbeza dengan UEFA, Premier League tidak ada tarikh luput untuk kes tersebut.

Dalam tempoh tersebut Man City memenangi 3 kejuaraan Liga Perdanan Inggeris.

CEO Premier League, Richard Masters mengesahkan bahawa tarikh untuk pendakawaan akan ditetapkan. Man City dengan konsisten menafikan mereka bersalah.

Kini Ceferin mengungkit balik kesalahan Man City yang lalu di bawah UEFA. Di mana menurutnya, siasatan Premier League ini bukti bahawa UEFA sebelum ini ada asas kukuh dalam pendakwaan mereka ke atas City.

“Kami tahu kami betul,” tegas Ceferin.

“Kami tak sewenang wenang mengambil tindakan jika kami rasa ianya belum tentu betul,” tambah beliau lagi.

“Sebagai peguam dan pendakwaraya yang sudah bertugas selama 25 tahun, saya tahu, kadangkala kamu boleh menang kes yang kamu dianggap sudah pasti kalah. Dan kadangkala kamu kalah dalam kes yang kamu sangat yakin kamu menang.

“Jadi, kamu cuma harus akur dan menghormati demokrasi yang serius dibuat di mahkamah.

“Saya tak nak cakap pasal kes di England. Namun saya percaya keputusan daripada suruhanjaya bebas yang kita lantik adalah tepat. Saya langsung tak campur tangan dalam hal itu.”

Selain City, kelab Nottingham Forest dan Evernton turut berdepan dengan pertuduhan. Everton sebelum ini sudah dikenakan pemotongan 10 mata kerana kesalahan melibatkan angka keuntungan dan kestabilan.

Jika didapati bersalah, Everton bakal dikenakan pemotongan mata sekali lagi.

Selepas tindakan yang mereka ambil ke atas Everton, Premier League kini dalam tekanan untuk konsisten dalam melaksanakan hukuman mereka.

Dan peminat mahu tahu apa tindakan mereka ke atas Man City. Hal ini kerana siasatan ke atas City mengambil masa sangat lama.

Premier League sudah menjelaskan bahawa, kes City dan Everton adalah berbeza.