[Preview Euro 2020] Belgium: Peluang Terakhir Skuad Emas Menjulang Trofi

Kami di Axello.Net akan membawakan siri preview mengenai satu pasukan pilihan yang akan bertanding di Euro 2020 setiap hari sehingga bermulanya pertandingan pada 12 Jun 2021.

Kejayaan menamatkan Piala Dunia 2018 di Rusia di tempat ke-3 bolehlah dianggap sebagai pencapaian terbaik Belgium dalam arena bola sepak antarabangsa.

Namun adakah pencapaian itu sudah cukup bagi skuad yang dipenuhi bintang itu?

Kejohanan Euro kali ini sepatutnya menjadi peluang terbaik mereka untuk memenangi kejuaraan major pertama memandangkan rata-rata pemain sudah sampai ke puncak permainan mereka.

Pusingan Kelayakan

10/10. Itu rekod kemenangan mereka sepanjang pusingan kelayakan. Tidak tercabar, tidak terlawan, tidak terkalahkan. 40 gol dijaringkan manakala hanya bolos 3, bukti mereka berada di kelas tersendiri.

Menjuarai Kumpulan I yang turut dibarisi Rusia dan Scotland dengan mudah. Kemenangan terbesar direkod ketika menewaskan San Marino 9-0 di Brussels.

Formasi & Taktikal

Seperti semua tahu, Martinez gemar menggunakan formasi 3-4-3 dengan 2 wing back untuk memuatkan lambakan pemain pertahanan tengah berkualiti yang dimiliki Belgium.

Trio Alderweireld-Denayer-Vertongen diberi kepercayaan untuk mengemudi barisan belakang. Thibaut Curtois akan menjadi tembok terakhir The Red Devils.

Penjaring gol kemenangan Leicester City dalam final Piala FA tempohari, Youri Tielemans akan bergandingan bersama Axel Witsel di bahagian midfield. Yannick Carrasco dan Thomas Meunier mempunyai tugas khas untuk memberi width sebagai wing back.

Kecergasan menjadi isu buat 2 pemain bintang, Eden Hazard dan Kevin de Bruyne. Jika Hazard boleh menunjukkan aksi seperti di Chelsea dan de Bruyne sempat pulih, Belgium bukan sahaja berpeluang cerah untuk memperbaiki pencapaian layak ke suku akhir di edisi yang lalu, malah untuk menjuarai kejohanan Euro kali ini.

Penjaring gol terbanyak Belgium, Romelu Lukaku sekali lagi akan mengetuai barisan serangan Belgium dalam penyertaan ke-4 nya dalam kejohanan major.

Rekod 49 gol dalam 50 penampilan terakhir skuad kebangsaan bukti pedigree beliau di peringkat antarabangsa.

Senarai Pemain

Penjaga gol: Thibaut Courtois (Real Madrid), Simon Mignolet (Club Brugge), Matz Sels (Strasbourg)

Pertahanan: Toby Alderweireld (Tottenham), Dedryck Boyata (Hertha Berlin), Jason Denayer (Lyon), Thomas Vermaelen (Vissel Kobe), Jan Vertonghen (Benfica)

Tengah: Timothy Castagne (Leicester), Nacer Chadli (Istanbul Basaksehir), Yannick Carrasco (Atletico Madrid), Kevin De Bruyne (Manchester City), Leander Dendoncker (Wolves), Thorgan Hazard (Dortmund), Thomas Meunier (Dortmund), Dennis Praet (Leicester), Youri Tielemans (Leicester), Hans Vanaken (Club Brugge), Axel Witsel (Dortmund)

Penyerang: Michy Batshuayi (Crystal Palace), Christian Benteke (Crystal Palace), Jeremy Doku (Rennes), Eden Hazard (Real Madrid), Romelu Lukaku (Inter Milan), Dries Mertens (Napoli), Leandro Trossard (Brighton)

Pemain Tumpuan: Romelu Lukaku

Peningkatan mendadak ditunjukkan oleh penyerang gergasi ini sepanjang musim. Memenangi Serie A bersama Inter sambil menggondol gelaran Pemain Paling Bernilai Serie A.

Kemahiran hold up ball yang semakin baik serta mempunyai pergerakan off the ball yang sangat tajam, disamping kelajuan dan kekuatan badan yang dimiliki menjadikannya sebagai salah seorang penyerang terbaik di dunia ketika ini.

Berjaya menjaringkan 24 gol dan mencatat 11 asissts dalam saingan liga. Tidak pelik jika beliau menambah koleksi gol jika berjaya menyudahkan hantaran yang disuap oleh de Bruyne dan Hazard.

Lukaku akan menjadi salah satu penyerang yang perlu diberi perhatian pada kejohanan Euro kali ini.

Ramalan: Suku akhir.

Baca yang lain