[Preview Euro 2020] Portugal: Selecao Kembali Pertahan Kejuaraan Dengan Skuad Yang Lebih Mantap

Kami di Axello.Net akan membawakan siri preview mengenai satu pasukan pilihan yang akan bertanding di Euro 2020 setiap hari sehingga bermulanya pertandingan pada 12 Jun 2021.

Pada kempen Euro 2016, Selecao dilimpahi dengan nasib baik, dikuatkan pula dengan fakta bahawa mereka hanya memenangi salah satu daripada tujuh perlawanan mereka dalam masa 90 minit.

Selain dari beberapa nama terkenal seperti kapten, Cristiano Ronaldo, Pepe dan Raphael Guereiro, skuad Portugal dilihat kurang berkualiti dan kemenangan mereka dibina berdasarkan taktikal yang pragmatik dan terlalu bergantung pada Ronaldo.

Fernando Santos kali ini hadir dengan skuad yang lebih solid dan dipenuhi dengan juara. Mempunyai depth pemain di setiap posisi dengan kebanyakannya menamatkan musim dengan rekod yang memberangsangkan.

Pusingan Kelayakan

Portugal menamatkan pusingan kelayakan Kumpulan B di tempat kedua dibelakang Ukraine dengan 17 mata. Mencatatkan 5 kemenangan, 2 seri dan tewas sekali kepada Ukraine di Kiev.

Selecao berjaya menjaringkan 22 gol dan hanya bolos 6 dalam 8 perlawanan. Kemenangan terbesar mereka adalah ketika menentang Lithuania dengan keputusan 6-0.

Formasi & Taktikal

Mengubah taktikal dari rigid 4-4-2 yang digunakan pada Euro 2016 kepada 4-3-3 yang lebih fluid namun masih kental bertahan pada UEFA Nations League membuahkan hasil apabila berjaya memenangi kejohanan sulung tersebut. Beliau mengekalkan formasi tersebut hingga kini.

Rui Patrício kekal menjadi pilihan sebagai penjaga gol utama. Pemain Terbaik EPL, Rúben Dias akan menggalas tugas utama bersama Pepe di bahagain pertahanan tengah dan diapit oleh rakan sepasukan Dias di City, João Cancelo dan Raphael Guerreiro di posisi bek sisi.

Di bahagain holding midfielder akan menjadi rebutan di antara Danilo Pereira dan William Carvalho. Pemain Terbaik Manchester United, Bruno Fernandes ditugaskan sebagai perancang utama pasukan. Satu lagi slot di midfield akan diisi oleh Rúben Neves atau Sérgio Oliviera.

Selecao mempunyai barisan serangan yang menggiurkan dengan pulangan yang menakjubkan bersama kelab masing-masing. Ronaldo semestinya akan menjadi penyerang utama hadir dengan 29 gol, André Silva 28 gol dan Pedro Gonçalves dengan 23 gol dalam saingan domestik.

Penyerang sayap dijangka akan diisi oleh Bernardo Silva dan Diogo Jota dengan João Felix dan Gonçalo Guedes boleh masuk jika diperlukan.

Senarai Pemain

Penjaga gol: Anthony Lopes (Lyon), Rui Patrício (Wolves), Rui Silva (Granada)

Pertahanan: João Cancelo (Manchester City), Nélson Semedo (Wolves), José Fonte (LOSC Lille), Pepe (Porto), Rúben Dias (Manchester City), Nuno Mendes (Sporting CP), Raphael Guerreiro (Dortmund)

Tengah: Danilo Pereira (Paris), João Palhinha (Sporting CP), Rúben Neves (Wolves), Bruno Fernandes (Manchester United), João Moutinho (Wolves), Renato Sanches (LOSC Lille), Sérgio Oliveira (Porto), William Carvalho (Real Betis)

Penyerang: Pedro Gonçalves (Sporting CP), André Silva (Eintracht Frankfurt), Bernardo Silva (Manchester City), Cristiano Ronaldo (Juventus), Diogo Jota (Liverpool), Gonçalo Guedes (Valencia), João Félix (Atlético Madrid), Rafa Silva (Benfica)

Pemain Tumpuan: Cristiano Ronaldo

Walaupun berusia 36 tahun, Ronaldo masih lagi merupakan salah satu penyerang yang paling menggerunkan di dunia.

Beliau mungkin tidak selincah dahulu namun Ronaldo masih memiliki off the ball yang mantap, penyudah yang padu sementara kemampuannya di udara hampir tidak dapat ditandingi.

Ronaldo menamatkan pusingan kelayakan sebagai penjaring terbanyak Portugal dengan rekod 11 gol.

Beliau juga telah berjaya menjaringkan gol dalam 8 kejohanan major antarabangsa berturut-turut menunjukkan beliau adalah big games player dan tunjang utama Selecao dalam usaha mempertahankan kejuaraan Euro 2016 yang lalu.

Ramalan: Final.

Baca yang lain