Previu: Chelsea Mahu Tamatkan Badi Final, Liverpool Mahu Sahkan ‘Domestic Double’

Chelsea dan Liverpool akan berentap dalam aksi final Piala FA Inggeris 2021/22 pada malam ini waktu Malaysia.

Ini bukan pertama kali Liverpool dan Chelsea bertemu dalam aksi final pertandingan piala domestik musim ini. Sebelum ini kedua duanya bertemu dalam aksi final yang sangat sengit dalam Piala Carabao. Di mana perlawanan hanya dapat ditentukan dengan penentuan penalti yang dimenangi oleh Liverpool.

Untuk Chelsea, piala FA menjadi satu satunya piala yang tersedia untuk mereka menangi musim ini. Sedangkan Liverpool sudah ada 1 dalam kabinet dan kekal bersaing dalam 3 pertandingan lagi.

2 minggu lagi Liverpool akan bertemu dengan Real Madrid dalam aksi final Liga Juara Juara Eropah di Paris.

Namun tumpuan buat masa ini ke arah Piala FA Inggeris untuk edisi ke-141.

Klopp sebelum perlawanan final menyatakan bahawa sangat mustahil untuk Liverpool memenangi quadruple.

“Lihatlah sendiri betapa tidak realistiknya untuk mendapatkan quadruple, sebab itu masih belum ada pasukan memenaginya,” tegas Klopp.

Liverpool bergelut dalam aksi separuh akhir kedua menentang Villarreal dalam aksi Liga Juara Juara Eropah. Mujur aksi blunder penjaga gol Villarreal sedikit sebanyak membantu mereka kembali berada di hadapan dan mara ke final.

Liverpool perlu kembalikan rentak

Seterusnya dalam aksi berdepan Aston Villa, Liverpool tidak begitu fluid dalam permainan mereka. Begitu juga ketika berdepan Spurs. Liverpool secara matematiknya sudah sukar untuk memenangi EPL. Kerana Man City kembali dengan prestasi luar biasa dan menjarakkan lagi kelebihan dalam kiraan perbezaan jaringan serta 3 mata di hadapan mereka.

Prestasi yang sukar itu membuatkan Klopp tidak mahu meletakkan tekanan tambahan.

Chelsea, walaupun bergelut dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Namun mereka berjaya juga mendapatkan rentak mereka kembali ketika menentang Leeds menjelang aksi final ini. Ianya sangat penting buat The Blues.

Di mana Christian Pulisic menyatakan bahawa, menamatkan saingan musim ini dengan Piala FA akan menjadi penamat yang sempurna buat The Blues.

Musim ini dalam kalendar Piala FA, Liverpool berdepan dengan kelab bawahan Shrewsbury Town, Cardiff City dalam 2 penampilan awal mereka. Kemudian berdepan pasukan EPL, Norwich City, diikuti giant killer, Nottingham Forest.

Lawan sebenar mereka adalah Manchester City pada aksi separuh akhir. Di mana Liverpool hampir hampir diikat oleh City pada minit akhir perlawanan.

Kali terakhir Liverpool menang Piala FA adalah pada 2006. Ketika Steven Gerrard menjelmakan magisnya secara solo menyelamatkan Liverpool dan memberikan kejuaraan.

Final menentang West Ham itu dianggap final Steven Gerrard.

Liverpool masih tak kalah dalam 15 perlawanan mereka sejak kali terakhir kalah di tangan Inter Milan dalam saingan UCL di Anfield.

7 daripada perlawanan terakhir mereka berakhir dengan kemenangan. Namun agak mendebarkan apabila memikirkan mereka kini sudah 3 perlawanan tanpa clean sheet.

Liverpool kini berpeluang mengesahkan penamat double piala domestik buat pertama kali sejak 2000/10.

Chelsea mahu tamatkan badi final

Chelsea turun dalam final ini dengan rekod mara ke final buat kali ketiga berturut turut.

Namun dua final sebelumnya Chelsea kalah kedua duanya. Pierre-Emerick Aubameyang menjadi pemusnah harapan mereka pada 2020. Di mana Aubameyang mengikat Chelsea 1-1 dengan penalti beliau dan menjaringkan gol kejuaraan dengan satu chip.

Pada edisi musim lalu Youri Tielemans melakukan wonder strike yang membolehkan Leicester mencipta satu lagi kisah klasik dalam sejarah bola sepak mereka.

Chelsea masih lagi bergelar juara Eropah untuk beberapa minggu lagi sebelum ianya akan diserahkan kepada pasukan lain, sama ada Liverpool atau Real Madrid.

Timo Werner menyatakan bahawa dia tidak mahu berada dalam sebahagian sejarah tidak diingini menjadi pasukan yang kalah kesemua 3 final berturut turut.

Era baharu di Chelsea sudah pun disahkan dengan Todd Boehly mengetuai konsortium yang membeli Chelsea.

Chelsea menamatkan 3 perlawanan tanpa menang mereka dengan kemenangan 3-0 ke atas Leeds dengan Mason Mount, Christian Pulisic dan Romelu Lukaku berada dalam senarai penjaring.

Chelsea menyingkirkan Chesterfield, Plymouth Argyle, Luton Town dan Middlesbrough dalam saingan sebelum ini.

Kini mereka mengintai peluang untuk menjadi pasukan ketiga paling berjaya dalam saingan Piala FA jika mereka memenangi Piala FA kesembilan dalam sejarah mereka.

Sejak kali terakhir Liverpool menjuarai Piala FA pada 16 tahun lalu, Chelsea sudah menjuarai Piala FA sebanya 5 kali iaitu pada edisi 2007, 2009, 2010, 2012 dan 2018.

Mereka malah menewaskan Liverpool pada 2012.

Prestasi Chelsea dalam Piala FA musim ini sangat memberangsangkan. Mereka menjaringkan sekurang kurangnya 2 gol dalam setiap perlawanan.

Chelsea mahu menamatkan musim ini sebagai juara piala FA selepas hampir pasti ke UCL musim hadapan.

Dari segi taktikal, aksi Chelsea dan Liverpool sentiasa menjadi sukar terutama sekali pada era Tuchel dan Klopp.

Musim ini Liverpool dan Chelsea terikat dalam 2 perlawanan mereka dalam EPL. Liverpool malah gagal menewaskan Chelsea ketika beraksi 10 pemain.

Dalam aksi final Piala Carabao, Liverpool boleh dikira bernasib baik kerana tak kalah dalam perlawanan tersebut. Apabila 3 gol Chelsea dibatalkan kerana ofsaid dan kemudian Kelleher melakukan beberapa saves kelas dunia ketika pertahanan Liverpool terleka.

Siapakah akan menjadi juara Piala FA kali ini?