Previu LS2: Pahang Masih Ada Kesebelasan Terbaik, PJC Dalam Proses Penyesuaian Ramai Pemain Baharu

Petaling Jaya City akan menanti kunjungan Pahang pada perlawanan ke-2 Liga Super Malaysia 2020.

Apa yang berlaku pada LS1?

Pada perlawanan pertama, pasukan Devan Kuppusamy berjaya mengutip 1 mata di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, Pahang selepas mengikat Felda United 1-1.

Pada perlawanan tersebut, Petaling Jaya City menarik nafas lega apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mahali Jasuli ketika perlawanan berbaki 16 minit.

Mahali menjaringkan gol penyamaan Petaling Jaya City dan membantu pasukan ini meraih 1 mata

Sebelum itu penyerang import mereka dari Guinea, Aboubacar Camara gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil perlawanan Suhaimi Mat Lazim.

Di kem Pahang pula, skuad Dollah Salleh gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri –Stadium Darul Makmur- apabila dikejutkan Selangor dengan keputusan 2-1.

Walaupun Pahang mendominasi 58% perlawanan dan mempunyai 2 kali ganda percubaan kearah gawang gol lawan berbanding Selangor, namun mereka tetap tewas.

Jaringan awal dari Ivan Carlos selepas 20 minit perlawanan dipadamkan oleh Ifedayo Olusegun dan Brendan Gan memastikan kekalahan pertama Pahang 3 minit sebelum tamat perlawanan.

Sebagai pasukan pilihan yang lebih kuat berbanding Petaling Jaya City, Stadium UiTM Shah Alam perlu dijadikan medan wajib 3 mata buat pasukan Tok Gajah.

Gelanggang ini akan menjadi rumah kepada Petaling Jaya City selepas Stadium Kelana Jaya masih belum menepati piawaian dari Malaysia Football League (MFL).

Bagaimana susunan pemain pada LS1?

Pahang menurunkan 6 pemain baharu yang dibawa masuk dalam kesebelasan utama. Sharbinee Allawee mengawal gawang gol. Pemain sayap menyerang yang dipinjam dari JDT II dijadikan penyerang kanan, menggantikan kehilangan Matthew Davies.

Pertahanan dari Lubnan, Khalil Khamis digandingan dengan Herald Goulon di pertahanan tengah.

Adam Reed menjadi gandingan baru Azam Azih di bahgaian tengah dan Gopi Rizki menampung ketiadaan Mamadou Sumareh.

Akhir sekali Ivan Carlos menjadi pasangan kepada Dickson Nwakaeme.

Pada perlawanan tersebut Dollah Salleh tidak terlalu respon dengan pelan taktikal walaupun pasukan Selangor mula meningkatkan ancaman di hujung perlawanan.

Dollah hanya menggunakan 3 pertukaran biasa, untuk menambah tenaga tanpa meningkatkan mana-mana bahagian sama ada bahagian pertahanan atau serangan.

Shahrul dan Sharif lebih bersifat pertukaran untuk pendedahan dan Pahang kekurangan ‘game changer’ di bangku simpanan.

Berikut adalah pertukaran 3 pemain yang dilakukan Pahang.

  1. Muslim Ahmad-Herard Goulon
  2. Shahrul Nizam-Gopi Rizki
  3. Sharif Haseefy-Ivan Carlos

Sementara itu Petaling Jaya City hanya membariskan 3 pemain pada musim lepas pada barisan permulaannya. Ia menunjukkan pasukan ini mengalami perubahan besar di barisan utama.

Rajesh Perumal di bahagian pertahanan kiri, pertahanan tengah import Elizu dan pemain tengah Barathkumar Ramalo.

Isu keserasian akan timbul tetapi Devan Kuppusamy boleh menarik nafas lega apabila berjaya membawa pulang 1 mata.

Sepanjang musim lepas Devan banyak menggunakan sistem pertahanan bertiga dan pada perlawanan pertamanya musim ini beliau kembali kepada back 4.

Jangkaan

Walaupun Pahang tidak mempunyai saiz skuad yang baik selepas gagal mengekalkan beberapa pemain terbaiknya pada musim ini namun isu ini bukan masalah besar kepada pasukan ini.

Pahang masih menyenaraikan 11 pemain terbaik untuk dimulakan.

Petaling Jaya City mempunyai 2 musim berturut-turut merombak pasukan dalam skala yang besar sehingga menampilkan 7-8 pemain baru dalam kesebelasan utamanya.

Walau bagaimanapun, Petaling Jaya City masih merupakan pasukan terkuat di bottom 4 berbading UiTM, PDRM dan Sabah.

Pasukan ini diperkuatkan dengan pengalaman dari pemain seperti Mahali Jasuli dan Gurusamy Kandasamy. Membawa masuk pemain muda Pahang seperti Solomon Raj dan Kogileswaran Raj boleh membantu pasukan ini.

Peluang. Pahang 70%, Petaling Jaya City 30%.

Lain-lain: Thinagaran Baskeran sedang melalui detik-detik sukar.

Berikut adalah kenyataan di halaman rasmi pasukan. Semoga beliau cepat sembuh.

Tinagaran Baskeran merupakan seorang pemain pertahanan tengah yang beraksi bersama MISC-MIFA & PJ City FC pada 2014 sehinggalah 2019.

Namun kini beliau tidak dapat meneruskan karier kerana mengalami kanser tulang peringkat keempat (Ewing Sarcoma PNET Femer Bone).

Kini beliau sedang menjalani proses kimoterapi keempat di Penang Adventist Hospital, kos rawatan yang telah dikeluarkan mencecah RM 100,000.

Tambahan pula, kos bagi pembedahan selepas rawatan kimoterapi keemam mencecah RM80,000 dan baki lapan rawatan kimoterapi berjumlah RM107,000.

Hari ini Presiden PFAM Safee Sali dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berada di Pulau Pinang untuk melawat saudara Tinagaran. Safee turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada beliau.

Kami di PFA Malaysia menyeru kepada semua warganegara yang perihatin supaya membantu saudara Tinagaran menerusi kutipan derma melalui nombor akaun RHB 26403000007880.

Pihak PFA Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain PJ City FC dan rakan-rakan Tinagaran yang telah memberi sumbangan sebanyak RM25,000 setakat ini.

Semoga dengan usaha ini saudara Tinagaran kembali aktif bermain bola sepak dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Baca yang lain