Previu LS3: Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perak Dan PJC

 

Kedua-dua pasukan mendapat fasa yang baik dalam 2 perlawanan awal dengan masing-masing berjaya meraih 4 mata.

Salah satu pasukan mungkin akan ditamatkan kecemerlangannya atau terus kekal dengan catatan seri.

Perak pasukan tunggal Liga Super yang bermain 2 perlawanan di gelanggang lawan

Selepas 2 perlawanan hanya 1 pasukan yang bermula 2 kali di gelanggang sendiri dan gelanggang lawan.

Perak bermain di Terengganu pada perlawanan pertama dan di Selangor (diganti ke Bukit Jalil selepas Shah Alam tidak menepati piawai Malaysian Football League).

JDT pula menjadi pasukan tunggal bermain di gelanggang sendiri 2 kali, menentang Kedah dan UiTM. Bagaimanapun Perak boleh dikatakan baik apabila berjaya mengutip 4 mata walaupun bermula di tempat lawan.

Dalam peraturan Malaysia Football League, sesebuah pasukan tidak boleh dijadualkan bermain di tempat lawan 3 kali berturut-turut.

Pada musim lepas pasukan ini pernah bermain 3 kali berturut-turut di LS11, LS12 dan LS13 kerana perlawanan menentang Kuala Lumpur ditangguhkan ke LS11 (sepatutnya LS3).

Leandro perlu lebih berhati-hati

Terdapat laporan, sebelum Perak turun menentang Selangor pada 7 Mac lepas, Sathianathan Baskaran mahu pemain ini dipantau oleh pengadil.

Leandro mendapat kad kuning seawal minit ke-4 dalam perlawanan tersebut sehingga memaksa Mehmet Durakovic membuat pertukaran awal.

Kenny Pallraj digunakan oleh Mehmet untuk menggantikan Leandro yang semakin mendapat perhatian dari pengadil

Kenny Pallraj menggantikannya pada minit ke-37 ketika keputusan terikat 1-1, keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada perlawanan pertama Leandro juga dilayangkan kad kuning oleh pengadil Zamzaidi Katimin. Leandro akan digantung 1 perlawanan jika mengutip 1 lagi kad kuning.

Pemain yang dianggap keras ini mengumpul 8 kad kuing di Liga Super 2019, 2 di Piala Fa dan 3 di Piala Malaysia. Digantung 3 kali kerana kad kuning.

Peluang Nasrullah Aziz

Sejak 4 musim lepas tiada nama penjaga gol lain yang mendapat peluang bermula dengan pasukan Perak. Kecederaannya memberi peluang kepada Nasrullah untuk membuat penampilan pertama.

Nama penjaga gol yang berusia 22 tahun ini mula muncul dalam senarai pemain Perak pada 14 Mei 2019. Beliau disenaraikan sebagai penjaga gol simpanan ketika menentang PKNP di Stadium Perak, Ipoh.

Selepas itu nama beliau kekal berada di dalam senarai penjaga simpanan dalam 2 perlawanan seterusnya sebelum posisi nombor 2 ini dikembalikan kepada Kahirul Amri Salehuddin.

Nasrullah kembali pada musim ini dengan mengenepikan Khairul Amri untuk menjadi penjaga utama dalam 2 perlawanan awal.

Kemunculan manis bagi Nasrullah Aziz di Liga Super ketika Hafizul Hakim mengalami kecederaan

Lebih manis buat bekas penjaga gol Piala Presiden 2018 ini, beliau berada dalam pasukan yang mencatat 1 menang dan 1 seri dan hanya melepaskan 2 jaringan ketika pasukan menjaringkan 4 gol.

Perak lebih banyak dikasari namun lebih banyak mengutip kad

Walaupun Leandro dikatakan salah seorang yang paling agresif di Liga Super, namun pasukan ini lebih kerap dikasari oleh pasukan lawan.

Perak dikasari sebanyak 27 kali pada perlawanan pertama dan 10 kali pada perlawanan ke-2. Sementara itu Perak melakukan 19 dan 9 kekasaran dalam tempoh tersebut namun pasukan ini sudah mengumpul 6 kad kuning secara keseluruhan dan menghadiah 4 kad kuning kepada lawan.

Pada musim sebelumnya Perak mengumpul 86 kad kuning dan 2 kad merah dalam 37 perlawanan yang diharungi oleh pasukan ini.

  • 50 (1)* kad di Liga Super
  • 17 (1)* kad di Piala FA
  • 13 kad di Piala Malaysia
  • 6 kad di kelayakan Liga Juara Asia

*(x) kad merah

Leandro menjadi pemain yang paling banyak mengutip kad dengan 13 keping diikuti Amirul Azhan Adnan dengan 9 keping dan Kenny Pallraj 7 keping.

Apa yang kita perlu ketahui tentang Petaling Jaya City

Devan Kuppusamy dengan trio penyerang import dan back 3

Pada musim sebelumnya, ketua jurulatih ini Washington Brandao, Pedro Henrique dan Serginho sebagai trio utama bahagian serangannya.  Safee Sali menjadi pemain simpanan kepada 3 penyerang tersebut.

Sebelum itu Giancarlo sempat bermain 3 kali sebelum dipinjamkan ke PKNP, Safee Sali mengisi kekosongan yang ditanggalkannya sebelum kehadiran Brandao di jendela perpindahan ke-2.

Pemain dari Brazil ini menjaringkan 6 gol dalam 16 perlawanan termasuk 6 di Piala Malaysia, dan dikekalkan pada musim ini.

Kini Brandao sudah 2 kali digandingkan dengan 2 penyerang baru iaitu Mark Hartmann dan Aboubacar Camara. Brandao terlepas 1 sepakan penalti pada perlawanan pertama sementara itu Camara sudah mempunyai 1 jaringan dalam akaunnya.

Elizu, Annas Rahmat dan Thinagaran Baskeran merupakan trio pertahanan tengah Devan sepanjang musim lepas.

Thinagaran Baskeran antara tonggak utama pertahanan bertiga Devan Kuppusamy pada musim lepas

Annas mendapat perhatian dari pasukan lebih besar dan menyertai Melaka United pada musim ini, Thinagaran pula mendapat detik sukar apabila disahkan menghidapi kanser dan perlu mendapat rawatan yang memerlukan kos hampir RM200 ribu.

Devan cuba membentuk 3 pertahanan tengah baru yang melibatkan Elizu (yang dikekalkan), Syazwan Saipol Bahari (Perak) dan Aaron Kumar Ramaloo (N.Sembilan). Sebelum ini Aaron Kumar adalah pemain pertahanan sisi.

Pasukan yang kerap ofside dan tidak menguasai perlawanan

Petaling Jaya City merupakan salah satu pasukan yang tidak gemar menguasai bola dan cuba membuat hantaran terus kepada 3 penyerang hadapan.

Dalam 2 perlawanan pertama, skuad Devan hanya menguasai 48% dan 42% pelawanan dan mempunyai 14 kali ofside. Hantaran panjang tersebut menghasilkan 1 penalti namun tidak dimanfaatkan oleh pasukan.

Menentang 5 pasukan baik secara berturut-turut

Selepas 2 perlawanan, Devan boleh dikatakan cemerlang dengan mengutip 4 mata. Menumbangkan Pahang 3-2 dalam masa kecederaan dan bangkit mengikat Felda United 1-1. Selepas ini Devan mempunyai 4 perlawana yang agak mencabar. Berapa mata yang mampu dipungut olehnya?

  • LS1: Felda United (1-1)
  • LS2: Pahang (3-2)
  • LS3: Perak
  • LS4: Terengganu
  • LS5: Selangor
  • LS6: Kedah

Rumusan

2 pasukan yang meraih 4 mata dalam 2 perlawanan pertama. Perak cemerlang melakukannya di 2 tempat lawan dan Devan meraih mata dengan pasukan yang lebih baik darinya.

Pasukan mana yang akan terus mengutip mata atau kedua-duanya akan berkongsi mata?

Kredit foto: Halaman rasmi Perak dan Petaling Jaya City

Baca yang lain