PSG Pujuk Mbappe, Jika Dia Pergi Secara Percuma, Ramai Pemain Dan Staf Terpaksa Dilepaskan

Pengurusan tertinggi PSG sebelum ini menggunakan tindakan yang keras terhadap Mbappe termasuk melarangnya daripada beraksi walaupun seminit jika dia tak mahu melanjutkan kontrak.

Mereka juga mahu Mbappe menerima tawaran daripada Al Hilal yang sedia membayar kelab itu €300 juta untuk membeli pemain antarabangsa Perancis itu dengan kontrak hanya setahun.

Mbappe turut diarahkan berlatih berasingan daripada pasukan skuad utama kerana dia tiada dalam perancangan pasukan selagi lagi dia enggan melanjutkan kontrak.

L’Equipe melaporkan bahawa, Mbappe sudah memberitahu kelab dia sedia untuk duduk di bangku simpanan dan makan gaji buta untuk sepanjang musim 2023/24 yang akan bermula.

Usaha PSG untuk menjual Mbappe semakin sukar kerana pemain itu masih tidak mahu berpindah.

Dia mahu menjadi ejen bebas pada musim hadapan. PSG sudah mengesyaki Mbappe memiliki perjanjian verbal dengan Real Madrid untuk menyertai kelab itu secara percuma musim akan datang.

PSG kemudian bercakap dengan Mbappe dengan lembut. Menegaskan bahawa pemain itu harus mempertimbangkan untuk dijual ke kelab lain kerana kelab tidak boleh kehilangan dia secara percuma.

Hal ini kerana pemergian Mbappe secara percuma akan memberikan impak yang besar kepada pemain dan staf di PSG yang lain.

PSG berpotensi kehilangan beberapa penaja eksklusif mereka jika Mbappe tidak melanjutkan kontrak dengan kelab itu.

Kegagalan untuk menjana hasil jualan atau melanjutkan kontrak Mbappe akan membuatkan kelab terpaksa menjual beberapa pemain mereka selepas ini.

Kemudian ianya akan memberikan impak kepada staf dan pegawai kelab yang mungkin akan terpaksa dilepaskan atau dipecat.

Kelab juga akan merombak semula polisi intergrasi pemain akademi ke pasukan utama.

Ianya pasti akan memberikan kesan kepada akaun FFP PSG yang ketika ini memiliki beban gaji yang tinggi.

PSG sebelum ini sudah kehilangan Lionel Messi secara percuma sebaik sahaja mereka menabur ratusan juta untuk membiayai kontrak pemain itu selama ini.

Kehilangan Messi turut memberikan impak komersial kelab itu. Jadi mereka tidak rela kehilangan Mbappe secara percuma,

Mbappe sudah pun layak menerima bonus kesetiaan €60 juta sebaik sahaja dia melapor diri ke pusat sukan kelab pada 1 Ogos.

Mbappe sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia tidak pernah merancang untuk kekal lebih lama daripada 2024 di PSG.

Dia merasakan PSG hanyalah kelab yang mana setiap orang berjuang untuk diri sendiri dan bukan berpasukan.

Dia menganggap budaya itu tidak akan membantunya dalam usaha dia mahu memenangi Ballon d’Or.