PSG Serius Mahu Dapatkan Ronaldo Secara ‘Free’ Untuk Digandingkan Dengan Messi Dan Neymar

Paris St Germain baru sahaja menggantikan Juventus sebagai pakar perpindahan percuma yang baru di bursa perpindahan.

Mana tidaknya, mereka mendapatkan tiga pemenang UCL, Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma dan juga Messi secara percuma. Hanya membelanjakan EUR70 juta untu Achraf Hakimi.

Lionel Messi disambut meriah di Kota Paris sebagai pemain terbaik dunia dengan memiliki enam Ballon d’Or.

Messi dihalang FFP

Messi gagal mendapatkan kontrak dengan Barcelona kerana isu FFP yang menghalang Barca mendaftarkan pemain itu.

Barcelona hari ini mengadakan majlis perpisahan degan Lionel Messi setelah pemain itu terpaksa dilepaskan kerana peraturan FFP.

Messi yang berada di Barcelona minggu ini untuk menandatangani kontrak rasmi selepas memeterai perjanjian secara verbal.

Malangnya ketika tiba di pejabat, Messi diberitahu bahawa Barcelona terpaksa untuk tidak melanjutkan kontraknya kerana dihalang oleh FFP.

“Sangat sukar untuk mencerna semuanya. Ketika di rumah, ianya lebih sukar, namun paling penting, saya terus bermain bola sepak. Itu yang paling saya mahukan berbanding perkara lain,” kata Messi.

Ditanya adakah Messi akan terus berjuang untuk kekal sehingga ke saat akhir jendela perpindahan seperti mana semangatnya yang selalu berjuang sehigga ke wisel penamat.

Messi menjelaskan bahawa pihaknya tidak mahu memberikan harapan palsu di atas perkara yang memang mustahil berlaku.

Messi menjawab: “Macam yang saya katakan sebelum ini, kelab ini dalam situasi hutang sangat banyak. Ianya mustahil. Dan saya pada masa yang sama harus memikirkan soal karier saya.”

“Saya sudah menawarkan bayaran gaji dikurangkan 50%. Mereka tidak meminta apa apa lagi selain itu. Banyak perkara yang orang cakap di luar sana adalah tak betul. Saya sudah melakukan segalanya yang saya mampu untuk terus kekal.”

Beliau sangat sedih kerana terpaksa meninggalkan Barcelona. Messi berkata: “Beberapa hari ini, saya memikirkan apa yang harus saya katakan hari ini. Hakikatnya, saya tak mampu memikirkan apa apa. Ini realiti yang pahit untuk saya selepas bertahun tahun saya di sini sepanjang hidup saya. Saya tak sedia untuk realiti seperti ini.”

“Tahun lalu saya berdepan dengan burofax [isu cukai], kelab meyakinkan saya untuk terus kekal. Namun kali ini situasinya berbeza. Keluarga saya mahukan saya terus kekal di rumah saya di sini, itu adalah harapan kami melebihi segalanya.”

“Kami semua memikirkan bahawa kami akan terus kekal di Barcelona. Kami melalui masa masa yang hebat di sini. Dan, hari ini, saya harus mengucapkan selamat tinggal untuk semua ini.”

“Saya sudah berada di sini sepanjang hidup saya sejak berusia 13 tahun. Selepas 20 tahun di sini, saya pergi meninggalkan kelab ini bersama anak dan 3 orang anak saya.”

“Saya sangat berterima kasih dengan segalanya, untuk semua rakan sepasukan, bekas rakan sepasukan dan semua yang sentiasa menyokong saya. Sangat ramai untuk saya sebutkan.”

“Inilah rumah saya, melalui banyak sekali pengalaman di kelab ini. Sangat banyak detik indah berlaku. Dan juga ada beberapa detik sukar. Semua ini membantu saya membesar menjadi insan yang saya ada pada hari ini.”

“Saya belum mengucapkan selamat tinggal kepada semua mereka di sini, kerana saya masih belum terfikir akannya, dan saya tak pernah membayangkannya.”

“Saya meninggalkan kelab ini tanpa berjumpa dengan para penyokong sudah hampir setahun setengah. Saya dapat bayangkan saya mahu mengucapkan selamat tinggal di Camp Nou dengan membayangkan stadium itu penuh dengan penyokong. Namun buat masa ini, beginilah caranya.”

“Saya berharap suatu hari nanti saya akan kembali dan menjadi sebahagian kelab ini, membantu kelab ini untuk menjadi terbaik.”

Ramos gagal dapat kontrak

Sergio Ramos pula gagal mendapatkan kontrak dengan Real Madrid selepas berlaku salah faham dalam perbincangan kontraknya.

Real Madrid terus menutup rundingan ketika Ramos meminta kontrak 3 tahun. Real ketika itu cuba menawarkan setahun dengan gaji lebih rendah.

Ramos di hadapan Perez sendiri, ketika ucapan perpisahan menyatakan, sebenarnya dia mahu terus kekal di Real Madrid.

Ramos mengatakan dalam sidang media bahawa dia telah cuba sedaya upaya untuk meminta kelab melanjutkan kontrak dua tahun demi karier dan keluarganya.

Ramos turut menyatakan bahawa dia mengalah demi Real Madrid untuk memastikan dia terus kekal. Malangnya, kelab tersebut sudah  membuat keputusan.

Kelab memberitahu Ramos bahawa mereka kekal dengan polisi memberikan kontrak setahun sahaja untuk pemain di atas 30 tahun.

Ramos yang masih mempertimbangkan tawaran setahun itu kemudian menegaskan dia terkejut ketika diberitahu bahawa rundingan kontrak antara mereka sudah berakhir dan menemui tarikh luput ‘seminggu yang lalu’.

Ramos: Saya sedia persetujui kontrak setahun dan gaji lebih rendah

Ketika itu Ramos sudah setuju untuk menerima sahaja tawaran setahun itu dengan gaji lebih rendah.

Pemain berusia 35 tahun itu, yang akan menjadi ejen bebas pada 1 Julai, menegaskan dia pastinya akan menolak bergabung dengan kelab seperti Atletico atau Barcelona kerana cintanya kepada Real Madrid. Ramos malah menyatakan dia tak terfikir untuk kembali ke Sevilla – yang bermain dalam satu liga dengan Real Madrid.

Ramos bergabung dengan Real Madrid dari Sevilla dengan harga 27 juta euro pada tahun 2005 dan kemudian menjadi salah seorang pemain terbaik kelab itu di dalam sejarah. Ramos bermain 671 perlawanan dan memenangi 22 trofi, termasuk lima di La Liga dan empat Liga Juara-Juara Eropah.

Meskipun telah menyatakan kekecewaannya atas rundingan yang gagal dengan Real Madrid, Ramos enggan mengkritik presiden Florentino Perez secara langsung, menggambarkan hubungan mereka seperti “ayah dan anak”.

Perez dan Ramos menyampaikan ucapan selamat tinggal pendek dan berpelukan mesra semasa upacara selamat tinggal di Valdebebas, dengan keluarga Ramos di antara mereka yang hadir dalam jumlah kecil kerana SOP.

Ramos mengatakan bahawa mengucapkan selamat tinggal kepada Real Madrid adalah salah satu “saat paling sukar” dalam hidupnya.

Selepas itu, dia menjawab sendiri pertanyaan dari media di ruang sidang media. “Saya tidak pernah mahu meninggalkan Real Madrid,” katanya.

“Saya kembali ke musim semasa lockdown ketika kami memenangi gelaran liga. Kelab itu menawarkan untuk melanjutkan kontrak saya tetapi kerana pandemik ini, ia ditangguhkan.”

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kelab membuat saya tawaran kontrak lanjutan satu tahun, dengan gaji yang lebih rendah, dan saya ingin menekankan bahawa wang tidak pernah menjadi isu dalam rundingan ini. Saya mahukan dua tahun untuk kesinambungan, untuk saya dan keluarga. Tidak pernah ada masalah berkaitan isu wang.”

“Ketika akhirnya saya memutuskan untuk menerima tawaran satu tahun itu dan gaji yang lebih rendah, saya diberitahu bahawa tawaran itu mempunyai tarikh luput yang saya tidak sedar.”

Ramos menegaskan dia tidak tahu mengapa tawaran itu tamat dan mengatakan dia “benar-benar terkejut”.

Mahu Ronaldo

PSG tidak terhenti di situ, kerana mereka masih menanam minat kepada Ronaldo, di mana pemain itu akan menjadi ejen bebas selepas tamat musim ini.

AS melaporkan, PSG tidak pasti dengan masa depan Kylian Mbappe. Pemain itu masih belum melanjutkan kontraknya.

Dan jika Mbappe memutuskan untuk terus tidak melanjutkan kontraknya, maka PSG akan mendapatkan Ronaldo secara percuma pada musim panas 2022.

Ini bukan kali pertama PSG mahukan Cristiano Ronaldo. Mereka berusaha mendapatkan pemain itu sejak meninggalkan Real Madrid lagi. Namun Ronaldo memilih Juventus.

Dan musim lalu, PSG sekali lagi dikaitkan dengan Ronaldo selepas Juventus berdepan dengan isu kewangan. Namun Ronaldo memutuskan untuk terus kekal dan menepis dakwaan beliau mahu keluar dari Juve.

Jika Kylian Mbappe kekal sekalipun, Ronaldo masih dilihat berpeluang untuk ke PSG. Kerana PSG dianggap destinasi yang mampu menawarkan gaji tinggi berdasarkan kekuatan kewangan mereka.

Namun ianya memerlukan PSG melepaskan beberapa pemain untuk berbuat demikian.

Agak menarik jika Ronaldo ke PSG, kerana sebelum ini Angel Di Maria menegaskan bahawa, Messi adalah pilihan jauh lebih baik daripada Ronaldo untuk dibawa ke PSG.