Raiola Masuk ICU Kerana Sakit Jantung Dan Darah Tinggi

BILD melaporkan bahawa Super agent iaitu Mino Raiola dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi kerana masalah tekanan darah tinggi.

Raiola yang berusia 54 tahun, sudah berada di hospital sejak Rabu minggu lalu. Dan Telegraph melaporkan bahawa keadaannya semakin tenat ketika ini. Raiola tidak dapat melakukan sebarang aktiviti.

Minggu lalu, menerusi akaun Twitternya, admin kepada akaun media sosialnya menyatakan bahwa Raiola diberikan bius ketika berada di hospital.

Seterusnya terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa Mino Raiola menjalani pembedahan kecemasan kecil.

Laporan yang sama juga melaporkan bahawa Raiola mengalami sakit jantung dan perlu dirawat di unit rawatan rapi untuk beberapa hari.

Namun selepas lebih seminggu di hospital, keadaannya semakin teruk dan sudah dipindahkan ke unit kritikal.

Rakan baik Raiola iaitu Damiano Er Faina yang juga merupakan seorang influencer menafikan Raiola masih dalam keadaan kritikal. Dia menyindir BILD sebagai memandai mandai.

Er Faina mengesahkan bahawa Raiola memang menerima rawatan rapi di hospital namun keadaan Super Agent itu semakin membaik dan bukannya semakin teruk.

Bercakap menerusi IG, Er Faina berkata: “Tunggulah nanti dia [Raiola] akan memberikan maklum balas kepada sesiapa yang bercakap dengan teruk sekali tentang berita ini,” kata Er Faina merujuk kepada BILD.

Er Faina meminta semua pihak menghentikan spekulasi tentang situasi kesihatan Raiola.

Menurut laporan di Itali, Mino Raiola sudah bersetuju bahawa dia akan terus berada di hospital untuk beberapa minggu lagi bagi menjalani rawatan. Kemudian dia akan menyambung rehabilitasinya di rumah menerusi bantuan dan bimbingan pakar perubatan.

Raiola sang super agent

Raiola merupakan super agent yang menjadi ejen kepada pemain seperti Zlatan Ibrahimovic, Erling Haaland, Paul Pogba, Mario Balotelli dan Matthijs De Ligt.

Raiola ketika ini terpaksa melupakan seketika isu kontrak pemain walaupun pemain seperti Haaland dan De Ligt hangat diperkatakan akan berpindah pada jendela perpindahan akan datang.

Raiola masih lagi menjadi ejen yang menerima bayaran ejen tertinggi untuk seorang pemain ketika membantu Pogba berpindah ke Manchester United.

Di mana Raiola dikatakan mendapat sekitar £20 juta. Raiola dikenali dengan kemampuannya mempengaruhi pemain dalam urusan kontrak.

Walaupun dia seringkali tidak disukai oleh kelab dan pengurus, namun Raiola dianggap sebagai ejen yang hebat oleh kliennya. Pavel Nedved pernah menceritakan bagaimana Raiola seorang yang benar benar setia dan juga menjaga kebajikan pemainnya.

Pengaruh Raiola membuatkan FIFA sendiri terpaksa membincangkan isu komisen yang diterima ejen dalam perpindahan pemain. Di mana FIFA sedang membincangkan bahawa ejen perlu menerima sekitar 6%-10% daripada yuran perpindahan pemain.

Ianya selepas Mino Raiola dikatakan merancang untuk meminta sekurang kurangnya €40 juta bayaran untuk agensi beliau dan ayah Haaland sekiranya ada pasukan mahukan Haaland dari Borussia Dortmund.

Peraturan baru yang mahu dilaksanakan FIFA nanti akan memastrika bahawa bayaran ejen itu harus dikongsi di antara kelab dan juga pemain. Dan semua transaksi haruslah melalui saluran FIFA.

Buat masa ini, ianya masih lagi dalam proses perbincangan. Belum lagi diwartakan sebagai peraturan FIFA berkaitan dengan bayaran khidmat ejen.

Beberapa tahun yang lalu, Serie A pernah mengharamkan Mino Raiola daripada campur tangan dalam urusan pemain dalam liga mereka. Namun Raiola membawa kes itu ke CAS dan menang.

Itulah kisah betapa berpengaruhnya Raiola.

Apapum, semoga cepat sembuh kepada Mino Raiola.