Ramos Tawarkan Diri Kepada Real Madrid Namun Perez Tak Layan

Sergio Ramos dilaporkan telah menghubungi Real Madrid dan menawarkan dirinya kepada kelab itu untuk mengisi skuad tersebut yang dilanda krisis kecederaan serius terutama sekali di barisan pertahanan.

Ramos yang dianggap kapten legenda kelab itu antara watak yang disanjung peminat Real Madrid. Ini kerana dia sentiasa menunjukkan komitmen sepenuh hati sepanjang mewakili kelab itu.

Dan dia beberapa kali menyatakan dia sayangkan kelab itu lebih daripada segalanya.

Ramos sebelum ini meninggalkan Real Madrid untuk menyertai PSG secara percuma. Ini selepas dia gagal mencapai kesepakatan kontrak baharu dengan Real Madrid.

Dilaporkan ketika itu Madrid tidak setuju dengan permintaan kenaikan gaji oleh Ramos yang dianggap terlalu tinggi.

Ramos akui dia meminta kenaikan gaji namun dia agak terkilan kerana kelab tidak memberitahunya bahawa mereka sudah ada nilai mereka sendiri untuk gaji Ramos.

Ramos turut mendedahkan kelab terus menutup rundingan dengannya membuatkan dia terpaksa meninggalkan kelab itu.

Kini Ramos sedia untuk kembali ke Real Madrid. Ramos masih belum ada kelab setelah meninggalkan PSG.

Namun idea Ramos untuk kembali dan membantu kelab itu telah ditolak oleh Florentino Perez dan CEO kelab, Jose Angel Sanchez.

Real Madrid masih mencari solusi lain untuk mengisi kekosongan di barisan pertahanan. Ini termasuk mempertimbangkan untuk membuat pembelian atau penandatanganan pada Januari akan datang.

Antara nama yang dikaitkan dengan Real Madrid ialah Aymeric Laporte yang kini bermain untuk Al Nassr.

Pemain itu sendiri menyatakan bahawa dia berbesar hati dikaitkan dengan kelab sebesar Real Madrid.

Laporte sebelum ini menyertai Al Nassr dengan nilai perpindahan €7.5 juta. Dengan kontrak semasanya akan tamat Jun 2025.