Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick mengkritik penyudah pasukannya dalam perlawanan menentang Watford.
Pengurus asal Jerman itu menyatakan bahawa, apabila sesebuah pasukan itu melakukan 20 percubaan ke arah gawang lawan dan tiada gol terhasil, itu bukan berkaitan dengan nasib pasukan Watford, tetapi tentang ketumpulan pasukannya sendiri.
Manchester United sangat dominan dalam aksi berdepan Watford. Mencipta banyak sekali peluang gol. Sekitar 9 daripada peluang tersebut disifatkan Rangnick sebagai berpotensi gol
Bercakap kepada BBC Sport selepas tamat perlawanan, Rangnick berkata: “Ini sangat mengecewakan. Kita melakukan segalanya hari ini kecuali menjaringkan gol. Sukar nak menelan keputusan ini. Kami mengawal sepenuhnya perlawanan untuk hampir keseluruhan perlawanan.”
“Kami perlu lebih tajam di hadapan gol. Ini adalah petang yang mengecewakan.”
“Kalau ada orang tanya, adakah kami mencipta peluang terbuka yang banyak? Saya akan kata ya, peluang peluang itu cukup untuk kami menjaringkan sekurang kurangnya 1 atau 2 gol. Tapi malangnya, kami gagal.”
Rangnick menepis pandangan yang menyatakan bahawa Watford bernasib baik seri menentang Manchester United. Sebaliknya ia adalah kerana kelemahan Manchester United sendiri yang tak tahu menjaringkan gol.
Dua kali bola percubaan Man United dikeluarkan dari atas garisan. Ben Foster kemudian memainkan peranan besar dalam menafikan peluang 1 lawan 1 dengan Bruno Fernandes.
Penjaring gol dalam aksi UCL menentang Atletico Madrid, Anthony Elanga juga menyaksikan percubaannya dihadang. Percubaan Ronaldo pula terkena tiang. Dan satu satunya percubaan mereka yang menerjah gawang adalam menerusi Ronaldo, tetapi ofsaid.
Rangnick berkata: “Pada separuh pertama kami ada 5 peluang sangat baik dan kemudian ada 3 atau 4 lagi pada separuh masa kedua. Hari ini kita mencipta peluang yang cukup untuk memenangi perlawanan ini.”
“Kadangkala kami kurang bernasib baik misalnya, apabila Cristiano Ronaldo melakukan percubaan terkena tiang. Namun kami ada peluang 1 lawan 1. Ini bukan soal nasib, ini soal ketajaman, kecekapan dan aspek klinikal [di hadapan gol].”
“Jika saya imbas balik dalam 3 bulan ini, kami membazirkan banyak sekali peluang dan membuang banyak mata dengan seri, kami sepatutnya memiliki 4 atau 6 mata tambahan lagi – dan situasinya pasti akan berbeza sama sekali.”
Manchester United kini ada tabiat mencipta banyak peluang namun tidak menyempurnakannya – gejala itu berlaku sejak beberapa minggu ini.
Bruno Fernandes senada dengan Ralf Rangnick dan menggesa pasukannya untuk lebih klinikal di hadapan gol.
“Kami harus menjaringkan gol. Ini adalah salah satu hari di mana kami boleh berada di sini lama lama tanpa menjaringkan gol. Keputusan perlawanan ini adalah buruk untuk kami.”
Today's captain shares his thoughts on #MUNWAT 💭#MUFC
— Manchester United (@ManUtd) February 26, 2022
Manchester United akan kembali semula minggu hadapan berhadapan dengan Manchester City dalam derbi setempat. Perlawanan yang sangat penting untuk kedua dua pasukan. City mahu memastikan mereka terus berada di puncak liga. United pula mahu kembali ke top 4.
Kemudian, Man United akan berdepan dengan Tottenham, Atletico Madrid dan Liverpool dalam senarai lawan mereka pada perlawanan berikutnya selepas itu.