Rangnick Letak Jawatan, Adakah Kerana Ten Hag Tak Perlukan Beliau?

Berita mengejutkan dari Old Trafford. Apabila Ralf Rangnick hanya beberapa hari menggalas tugasan sebagai tuan penasihat pembangunan kelab, dia sudah membuat keputusan untuk meletak  jawatan.

Mengikut kontrak, Ralf Rangnick memang akan bertugas sebagai penasihat pembangunan kelab. Ini meliputi hal pembangunan pemain muda dan DNA bola sepak.

Namun oleh kerana dia sudah menerima jawatan pengurus pasukan kebangsaan Austria, Rangnick terpaksa melepaskan jawatan di Old Trafford.

Menurut Fabrizio Romano, Pok Nik terpaksa berbuat demikian kerana tuntutan kerjanya membuatkan dia tidak boleh fokus dalam 2 kerja untuk satu masa.

Pasti akan ada berlaku konflik kepentingan pada satu hari nanti.

Fabirizio Romano berkata: “Ralf Rangnick meninggalkan Manchester United atas sebab tuntutan kerja daripada peranan baharunya sebagai pengurus pasukan kebangsaan Austria, seperti diumumkan oleh laman rasmi kelab.

“Atas pesetujuan bersama, Ralf sekarang akan fokus sepenuhnya kepada peranan baharu dia dan tidak akan menggalas peranan sebagai penasihat di  Old Trafford.”

Berita itu agak mengejutkan kerana Ralf Rangnick boleh dikatakan masih belum sempat melakukan apa apa tugasan sebagai penasihat penuh kelab itu.

Rangnick sudah menjelaskan bahawa dia tak akan kembali semula ke Old Trafford pada pra musim 2022/23 ini.

 

Sepanjang menjadi interim, Rangnick gagal memperbaiki prestasi  Man United. Malah dia mencatatkan rekod nisbah kemenangan paling rendah pernah dicatatkan mana mana pengurus ManUnited dengan hanya 1.5 mata per perlawanan serta 42% kemenangan sahaja.

Beberapa bula lalu, Rangnick menyatakan dia komited akan terus berbakti kepada United walaupun sudah menjadi pengurus baharu Austria.

Menurutnya dia dilantik untuk menjadi penasihat kelab dan dia akan bekerjasama secara dekat dengan Eric Ten Hag.

Ten Hag tak perlukan Rangnick

Tetapi ketika perlantikan Ten Hag, pengurus Manchester United itu membayangkan bahawa ada konflik dalam membuat keputusan di antara dia dan Rangnick jika benar Rangnick diberikan kuasa menganalisis prestasi pasukan dan prestasi Ten Hag sendiri.

Menurut Ten Hag: “Saya menganalisis pasukan ini dan prestasi saya sendiri. Saya tidak memerlukan analisis Ralf Rangnick.”

Ditanya tentang peranan Rangnick sebagai penasihat pembangunan dan dia memang ditugaskan menganalisis pasukan Ten Hag dan pengurus United, Ten Hag menjawab: “Peranan itu [penasihat pembangunan] adalah peranan dia dengan kelab.”

Ten Hag memaksudkan, dia tidak pasti bagaimana Rangnick boleh dibenarkan menganalisis pasukannya. Oleh sebab itu dia menganggap peranan Rangnick itu adalah antara Rangnick dengan pemilik kelab.

Ten Hag menjelaskan bahawa, dia sendiri yang menilai keperluan pasukannya berdasarkan prestasi semasa. Dan daripada analsis Ten Hag sendiri dia akan menentukan pemain sasarannya untuk dibawa masuk ke dalam pasukan.

Rangnick pernah menyatakan bahawa Manchester United memerlukan 10 orang pemain baharu untuk dibawa masuk. Dan dia menjelaskan dia sudah ada senarai sasaran untuk diserahkan kepada kelab demi membantu Ten Hag.

Tetapi Ten Hag tidak setuju dengan birokrasi seperti itu yang seolah olah membuang masa. Ianya akan melambatkan lagi proses pembelian pemain.

Ten Hag malah berkata dia berharap United akan bertindak pantas dalam urusan jual beli pemain bagi membolehkan mereka fokus kepada pra musim dan persiapan yang terbaik.

Ten Hag turut menyatakan dia ada garis panduan dia sendiri untuk menguruskan pasukan. Kenapa dia perlukan penasihat?

Walaupun begitu, ramai juga peminat Man United berterima kasih kepada Rangnick kerana mendedahkan beberapa siri kelemahan pengurusan United.

Pok Nik terkenal dengan sikapnya yang jujur itu. Misalnya dia mendedahkan bahawa Manchester United tidak mengendahkan nasihatnya untuk mendapatkan seorang pemain penyerang baharu sekurang kurangnya.

Menariknya 3 nama yang discout Rangnick benar benar tersenarai untuk dijual oleh kelab tersebut. Mereka ialah Julian Alvarez, Vlahovic dan Luis Diaz.

Tetapi kesemua pemain itu disambar kelab lain.

Selain itu Rangnick turut mendedahkan bahawa pengurusan tertinggi Manchester United terlalu memanjakan pemain yang dianggap bintang. Dia pernah berkata: “Kelab sebesar ini, kalau pemain nak pergi, biarkan, kita tak perlu merayu.”