Rangnick Terkejut Pogba Dirawat Sampai Ke Dubai

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick, mempersoalkan keputusan kelab itu membenarkan Paul Pogba memulihkan kecederaannya sehingga ke Dubai.

Kenapa sampai perlu ke Dubai? Itulah reaksi Rangnick ketika mendapat tahu akan perkara tersebut.

Pemain tengah Manchester United Paul Pogba sedang pulih daripada kecederaan di Dubai dan keadaan ini telah menarik perhatian khusus Ralf Rangnick.

Pogba mengalami masalah pada otot quadriceps di paha kanan semasa sesi latihan bersama pasukan kebangsaan Perancis beberapa minggu lalu. Bekas pemain termahal dunia itu dijangka pulih selepas Tahun Baru akan datang.

Selaku jurulatih baharu Manchester United, Ralf Rangnick mengakui telah berkomunikasi dengan Pogba. Bagaimanapun, perbualan itu hanya dilakukan dari jauh kerana bintang Perancis itu masih berada di Dubai.

Rangnick mendakwa Pogba masih memerlukan kira-kira 2 minggu untuk kembali berlatih bersama pasukan, ditambah 2 minggu tambahan untuk mencapai tahap kecergasan maksimum untuk kembali beraksi. Dan ketika itu Pogba akan cuba diserapkan ke dalam sistem permainannya.

“Saya bercakap dengannya 15 minit melalui telefon beberapa hari lalu,” kata Rangnick pada sidang media menjelang perlawanan Liga Perdana menentang Norwich hujung minggu ini.

“Dia boleh menjadi pemain penting dalam pasukan, saya amat menyedari perkara itu, tetapi ini terpakai kepada semua pemain yang kami ada.”

“Cita-cita saya adalah untuk menjadikan mereka lebih baik, untuk membangunkan setiap pemain secara individu,” tambah Rangnick lagi.

Rangnick turut mengkritik keputusan kelab membenarkan Paul Pogba menjalani pemulihan kecederaan di Dubai.

Alasannya adalah kerana memerlukan matahari panas yang didakwa mempercepatkan proses pemulihan.

Dan di Eropah ketika ini adalah musim sejuk. Tetapi Rangnick masih tidak bersetuju dengan perkara ini. Alasan itu agak tidak cukup munasabah untuk melakukan perkara yang menurut Rangnick sebagai tidak berfaedah itu.

Menurutnya, setiap pemain yang cedera perlu terus menjalani rawatan di kelab itu agar terus dipantau sepenuhnya oleh petugas medikal kelab itu sendiri.

Dengan pemantau yang rapi dari jarak dekat, pemain dan staf akan dapat berkomunikasi dengan lebih baik. Selain itu, secara psikologi, pemain akan sentiasa mendapat sokongan dan berinteraksi dengan rakan sepasukannya.

Lebih lebih lagi Manchester United merupakan kelab yang sangat besar. Kenapa perlu menghantar pemain mereka ke tempat lain. Malangnya polisi itu wujud sebelum kedatangan Rangnick lagi.

Seterusnya, apa guna Manchester United melabur jutaan dollar untuk jabatan perubatan mereka serta fasiliti perubatan yang canggih kalau tidak digunakan dengan sebaiknya.

“Kelab lama saya sebelum ini, akan sentiasa cuba memastikan pemulihan kecederaan perlu dilakukan di kelab itu sendiri,” kata bekas jurulatih RB Leipzig itu.

“Jabatan perubatan [di Man United] sangat, sangat baik, dengan banyak pendekatan untuk pemulihan dan peralatan yang canggih.”

“Saya tidak mahu pemain pulih di luar negara atau di tempat lain, tetapi keputusan mengenai Paul telah diambil sebelum saya tiba.”

Masa depan Paul Pogba di Manchester United turut menjadi topik panas pada ketika ini. Rangnick menegaskan bahawa beliau tidak mengawal sepenuhnya soal kontrak pemain.

Namun sebagai sebuah kelab sebesar Manchester United, mereka tidak perlu memujuk mana mana pemain untuk kekal. Kerana setiap pemain seharusnya ingin dan bangga beraksi bersama Manchester United.

“Saya tidak kata ianya tak berbaloi untuk cuba memujuk mereka yang mahu pergi, namun sepatutnya, tak perlu pun untuk mana mana orang di Manchester United memujuk untuk meyakinkan pemain untuk kekal.”

“Ini kelab yang sangat besar dan semua pemain mahu bermain di sini.”