RASMI: AFF Sahkan Vietnam-Thailand (B-19) Tidak Mencabuli Mana Mana Prinsip Fairplay

AFF memutuskan bahawa perlawanan Piala AFF B-19 2022 antara Vietnam dan Thailand berlangsung dengan adil atau dengan fairplay.

Keputusan tentang siasatan AFF dikeluarkan pada Sabtu dan sudah disahkan PSSI bahawa mereka sudah menerimanya.

Sebelum ini, PSSI pernah menghantar surat bantahan berhubung dakwaan aksi ‘main sabun’ antara Thailand vs Vietnam dalam Piala AFF B-19 2022.

Aduan itu dihantar sendiri menerusi Ketua Umum / KETUM PSSI,  Mochamad Iriawan pada 12 Julai yang lalu.

Perlawanan antara Vietnam B-19 vs Thailand B-19 yang berkesudahan seri 1-1 dalam Kumpulan A memang mengundang kecaman kem Indonesia. Ini kerana keputusan seri 1-1 itu membuatkan Indonesia tersingkir di peringkat kumpulan atas peraturan head to head.

Jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong antara yang lantang bersuara. Dia mempersoalkan nilai fairplay dan juga sistem penentuan tie breaker menggunakan head to head. PSSI mencadangkan agar sistem head to head digantikan terus dengan perbezaan jaringan.

Jika dengan perbezaan jaringan, Indonesia akan mara kerana memiliki perbezaan jaringan luar biasa.

Tidak cukup dengan tuduhan bahawa Vietnam dan Thailand mencabuli nilai Fairplay, PSSI malah mengugut akan meninggalkan AFF dan menyertai EAFF.

AFF akhirnya mengeluarkan keputusan rasmi perlawanan Vietnam Vs Thailand yang diisytiharkan fairplay.

Dalam surat jawapan yang diterima PSSI, AFF telah melantik Sports Radar untuk mencari tanda-tanda penipuan.

AFF juga berunding dengan pakar analisis teknikal untuk mengkaji laporan penyelia dan daripada pegawai perlawanan.

Bukan itu sahaja, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib AFC turut terlibat dalam membuat keputusan.

Akhirnya, AFF membuat kesimpulan bahawa tiada peraturan dilanggar dalam 12 minit terakhir perlawanan Vietnam Vs Thailand. Di mana ianya sudah menjadi kebiasaan mana mana pasukan yang merasakan mereka mara akan cuba melengahkan perlawanan atau menjaga kepentingan mereka.

Steve Darby antara yang memberikan komennya. Dengan menegaskan langsung tiada kesalahan dalam perlawanan antara Thailand dan Vietnam. Di mana kedua dua pasukan mendapat keputusan yang sah.

Sebaliknya ada juga yang meminta Indonesia menyalahkan diri sendiri kerana gagal memenangi salah satu aksi menentang Thailand dan Vietnam.

Dari awal, matlamat PSSI adalah untuk mempersoalkan sama ada perlawanan Vietnam Vs Thailand adalah fair play.

“Kami berterima kasih kepada AFF kerana telah membalas surat rasmi daripada PSSI,” kata pengurus pasukan kebangsaan Indonesia, Endri Erawan, menerusi laman web rasmi PSSI.

“Selepas surat rasmi daripada AFF, kami (PSSI) menerima keputusan itu.”

“Pada asasnya surat itu hanya ingin mempersoalkan sama ada perlawanan itu adil atau tidak.”

“Kini semuanya sudah jelas dan tiada lagi masalah,” tambahnya.

 

Baca yang lain