RASMI: Bundesliga Kembali 16 Mei Ini

Bundesliga sudah rasmi dan sah akan kembali pada 16 Mei di tengah-tengah krisis kesihatan global. Persatuan Bola Sepak Jerman (DFL) berharap dapat menyelesaikan musim 2019/20 pada 30 Jun.

Pentadbiran Angela Merkel pada Rabu telah memberi lampu hijau untuk Bundesliga kembali dan menyerahkan keputusan tarikh sambungan liga kepada DFL.

Merkel mengumumkan perkara itu dalam telesidang beliau dengan rakan kongsi Bundesliga. Di mana kerajaan Jerman sudah berbincang tentang sukan terutama sekali bola sepak.

Dalam mesyuarat mingguan pada Khamis, 36 kelab dari dua divisyen teratas bersetuju pada tarikh seawal mungkin, 15 Mei untuk sepak mula dan cuva menamatkan musim ini pada 30 Jun.

Bundesliga ditangguhkan pada malam hari perlawanan pada 13 Mac dan DFL bersetuju untuk meneruskan kalendar bola sepak seperti biasa.

Semua perlawanan akan diadakan di dalam stadium kosong kerana larangan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Jerman sehingga 31 Ogos.

Antara perlawanan yang akan dimainkan ketika Bundesliga kembali pada 16 Mei adalah Revierderby antara Borussia Dortmund dan FC Schalke 04, dengan kedua-dua ultras mereka selalunya menimbulkan suhu panas luar biasa.

Pendahulu liga, Bayern Munich akan pergi ke Union Berlin. Sementara itu, perlawanan penting Der Klassiker di antara Dortmund dan Bayern akan dimainkan pada 26 atau 27 Mei.

Bayern Munich sedang berusaha untuk meraih gelaran kelapan berturut-turut dan kini sedang mendahului empat mata ke atas Borussia Dortmund.

Bayern sebelum ini sudah mengesahkan kontrak baharu untuk pengurus mereka Hansi Flick dan legenda kelab, Thomas Muller.

Borussia Dortmund masih berharap dapat menamatkan dominasi Bayern Munich di dalam Bundesliga.

RB Leipzig, Bayer Leverkusen dan Borussia Monchengladbach pula masih bersaing untuk ke Liga Juara Juara Eropah pada musim hadapan.

Schalke, Wolfsburg, Freiburg, Hoffenheim dan Cologne bertarung untuk dua tempat Liga Europa.

Walaupun DFL berharap dapat melengkapkan liga menjelang 30 Jun, playoff antara kelab Bundesliga yang berada di tempat ke-16 dan kelab Bundesliga 2 yang berada di ketiga dijadualkan berlangsung pada bulan Julai.

Sementara itu, La Liga telah mengucapkan tahniah kepada Bundesliga kerana berjaya menetapkan semula sambungan liga mereka pada musim ini.

Kelab-kelab di Jerman sudah melakukan pemeriksaan dan ujian berterusan kepada para pemain mereka. Para pemain juga diminta untuk terus mengasingkan diri daripada orang ramai dalam usaha mengelak daripada dijangkiti.

Bundesliga akan menjadi penanda aras penting kepada liga lain yang turut berhasrat untuk menyambung semula musim mereka.

Setakat ini Eredivisie dan Ligue 1 adalah liga besar di Eropah yang sudah menamatkan musim mereka lebih awal.

Di Belanda, tiada juara untuk liga mereka musim ini selepas dua pasukan teratas terikat pungutan mata.

Sementara di Perancis, Paris St Germain disahkan sebagai juara Ligue 1 pada musim ini.

Baca yang lain