RASMI: Coutinho Ke Aston Villa Secara Pinjaman Dengan Klausa Beli Tetap

Bekas playmaker Liverpool, Phillipe Coutinho akhirnya rasmi menjadi pemain Aston Villa.

Coutinho menyertai Aston Villa secara pinjaman dengan Villa membayar sebahagian besar gajinya sepanjang tempoh pinjaman.

Pemain antarbangsa Brazil itu bergabung semula dengan bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard selepas meninggalkan Anfield ke Nou Camp dalam perjanjian £142 juta pada 2018.

Coutinho bermain dengan Gerrard dalam dua setengah musim terakhirnya sebagai pemain di Liverpool. Coutinho sebelum ini membuat 201 penampilan untuk The Reds selama lima tahun, menjaringkan 54 gol.

Selepas berhijrah ke kelab idamannya dari kecil, Barcelona, pemain berusia 29 tahun itu mengalami kesukaran untuk mendapatkan prestasi terbaiknya.

Dia malah dipinjamkan ke Bayern Munich. Tetapi kelab gergasi Jerman itu tak sanggup membayar klausa pembelian tetap £100 juta untuk Coutinho walaupun dia membantu Bayern menjulang trofi Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara pada 2020.

Barcelona terus cuba menjual Coutinho untuk mengosongkan bil gaji pemain mereka. Namun Barca kesukaran mendapatkan pembeli kerana Barca engga menjual pemain itu dengan harga terlalu rendah.

Coutinho kemudian diberikan peluang untuk merebut tempat dalam pasukan era Koeman. Namun beliau terus bergelut untuk melakukannya.

Barcelona yang berusaha mendapatkan beberapa lagi pemain telah berusaha mengeluarkan pemain pemain bergaji besar dari pasukan mereka.

Akhirnya mereka melepaskan Coutinho ke Aston Villa. Itupun Barcelona masih membayar sebahagian daripada gaji pemain itu pada musim ini.

Gerrard yang baru mengendalikan Aston Villa sejak beberapa bulan lalu, memainkan peranan besar dalam memujuk Coutinho untuk datang ke Villa Park.

Sebagai tambahan, Villa turut mengumumkan bahawa kontrak pinjaman ini terselit klausa pembelian tetap di dalamnya. Ia berita baik buat Aston Villa.

Coutinho akan melengkapkan proses akhir perpindahan rasminya dalam masa 48 jam.

Selain Villa, pemain itu sebelum ini dikaitkan dengan Leicester dan juga Arsenal.

Pemain yang dikenali dengan corak permainan lincah dan kreatif ini menikmati musim musim luar biasa di Liga Perdana Inggeris.

Beliau memang sudah bertekad mahu kembali ke EPL. Perkara itu disahkan oleh ejennya sendiri.

Baca yang lain