RASMI: Koulibaly Milik Chelsea – “Mendy Dan Jojo Mudahkan Urusan Saya”

Chelsea secara rasmi mengumumkan perpindahan bek tengah baharu mereka, Kalidou Koulibaly, yang telah menandatangani kontrak selama empat tahun.

Pengumuman perpindahan Kalidou Koulibaly itu dimuat naik oleh Chelsea melalui akaun media sosial dan laman web rasmi kelab.

Koulibaly adalah pembelian kedua Chelsea pada jendela perpindahan musim panas tahun ini selepas Raheem Sterling.

Ketibaan Koulibaly sangat penting untuk mengisi kekosongan di bek tengah Chelsea yang baru sahaja ditinggalkan Antonio Ruediger dan Andreas Christensen.

Chelsea juga berdepan dengan isu bahawa mereka harus segera mencari pengganti Thiago Silva untuk jangka masa panjang. Ini kerana pemain Brazil itu sudah agak lanjut usia.

Tuchel merupakan pengurus yang sudah lama meminati Koulibaly yang dianggap sebagai antara bek tengah moden yang paling lengkap.

Koulibaly mampu membaca permainan, boleh menjadi ancaman kepada pihak lawan, dan mampu mengekalkan penguasaan bola dengan berkesan. Selain itu dia juga boleh merencana gerakan serangan dari bawah.

Oleh sebab itu Chelsea tanpa berlengah terus setuju membayar £35 juta untuk pemain tersebut.

Koulibaly terus terbang ke Amerika Syarikat menyertai Chelsea dalam jelajah pra musim.

Bek tengah Senegal itu menyatakan kegembiraannya selepas berjaya menyempurnakan perpindahan ini.

“Chelsea adalah kelab yang hebat dan saya sentiasa mahu bermain dalam Liga Perdana Inggeris,” kata Koulibaly.

Koulibaly pernah menjadi sasaran Chelsea beberapa kali sebelum ini. Dia mengakui bahawa Chelsea pernah cuba menandatanganinya pada 2016. Namun perpindahan gagal direalisasikan.

Kini Chelsea datang lagi mahu membawa masuk beliau menyertai mereka. Koulibaly tidak mahu melepaskan peluang keemasna pada kali ini.

“Mereka mendekati saya pada 2016 tetapi gagal merealisasikan perpindahan itu, jadi apabila tawaran itu datang lagi, saya terus menerimanya,” tambah Koulibaly.

Sebelum berpindah ke Chelsea, Koulibaly mengakui bahawa dia terlebih dahulu sudah bercakap dengan Edouard Mendy dan Jorginho.

Menurut beliau, dua pemain tersebut telah memudahkan lagi keputusannya dalam memilih Chelsea sebagai destinasi beliau seterusnya

Mendy merupakan rakan sepasukannya di pasukan kebangsaan Senegal manakala Jorginho pernah bersama dengannya ketika di Napoli.

Kedua-dua pemain Chelsea itu segera meyakinkan pemain pertahanan tengah itu untuk segera menyertainya.

Baca yang lain