RASMI: MotoGP Batal Sesi Ujian Di Sepang, Razlan Razali Anggap Ia Tak Jejas Persiapan SRT

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Pembatalan dua ujian MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan hadapan, tidak akan memberikan impak besar terhadap persediaan pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), sebelum pusingan pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP 2021 di Grand Prix Qatar dari 26-28 Mac 2021.

Prinsipal pasukan itu Datuk Razlan Razali berkata, mereka menghormati keputusan dibuat Dorna Sports berikutan pengumuman baru-baru ini oleh Kerajaan Malaysia, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula hari ini di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Selangor, Melaka, Penang, Sabah dan Johor bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Razlan turut mendedahkan yang beliau akan berbincang dengan pengurus pasukan Johan Stigfelt, mengenai rancangan mereka melakukan tiga ujian persendirian di negara Eropah, bergantung kepada kelulusan daripada Jabatan Imigresen negara-negara yang termasuk dalam rancangan itu.

“Saya difahamkan yang Dorna Sports berkemungkinan membatalkan satu lagi ujian MotoGP yang sepatutnya diadakan di Sirkit Jerez (di Sepanyol) dari 16-18 Mac akibat COVID-19.

“Bagaimanapun saya percaya yang ujian di Qatar (dari 10-12 Mac) adalah lebih daripada mencukupi untuk pasukan kami memperbaiki motosikal kami, terutamanya aerodinamik termasuk mengurangkan berat motosikal, sebelum perlumbaan sebenar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Dorna Sports pemegang hak eksklusif iklan dan siaran televisyen MotoGP telah mengumumkan yang ujian musim sejuk Kejuaraan Dunia MotoGP 2021, yang sepatutnya diadakan di SIC pada 19-21 Feb, dibatalkan akibat pandemik COVID-19 di Malaysia.

Dorna turut mendedahkan ujian ‘shakedown’ yang dijadualkan pada 14-16 Feb di SIC juga dibatalkan atas alasan yang sama.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, yang mereka telah memutuskan untuk menangguhkan kesemua aktiviti permotoran sewaktu tempoh PKP.

Ini katanya, termasuklah pusingan kedua dan akhir Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) yang sepatutnya diadakan dari 20-22 Jan.

“Kami bercadang untuk melihat aksi daripada Ujian Rasmi sebelum musim ini bermula. Namun dengan kenaikan jumlah COVID-19 baru-baru ini, keselamatan dan kesihatan mereka yang terlibat, kekal menjadi keutamaan kami, dan kami tidak boleh mengambil risiko terhadap kesihatan mereka,” katanya.

Namun sesi ujian pada tarikh (mungkin diubah sedikit) tersebut tetap akan diteruskan. Dorna Sports mencari lokasi baru untuk acara ini dan akhirnya memutuskan untuk menjalankannya di Qatar.

Litar Losail, yang juga merupakan siri pembukaan MotoGP 2021, akhirnya menjadi tempat baru untuk mengadakan percubaan pra-musim.

Sumber: BERNAMA

 

Baca yang lain