Sri Pahang FC mencipta satu rekod yang sukar dijelaskan apabila mengumumkan bahawa mereka melepaskan 14 pemain pasukan utama mereka meninggalkan pasukan Pahang selepas tidak ada kesepakatan baharui dicapai.
Pemain yang paling lama berkhidmat dengan Pahang ketika ini iaitu Faisal Rosli antara yang turut angkat kaki.
Seterusnya kesemua pemain import termasuk Herold Goulon juga tidak akan bersama pasukan Pahang lagi.
Dalam kenyataannya Pahang berkata:
Sri Pahang FC merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada 14 pemain yang tidak lagi akan bersama pasukan bagi mengharungi musim baru Liga Malaysia.
Faisal Rosli yang merupakan pemain paling lama dalam pasukan dan satu-satunya anggota skuad juara Piala Malaysia 2014 yang kekal setia akan membawa haluan berbeza selepas 9 tahun menabur bakti.
Begitu juga dengan penjaga gol Helmi Eliza yang telah bersama pasukan sejak 2016, walaupun pada usia diklasifikasikan sebagai veteran Helmi tetap diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama dan telah menjadi antara tonggak di barisan belakang.
Kelibat Muslim Ahmad juga pastinya dirindui, setelah menjadi tunjang di benteng pertahanan sejak lima tahun lalu mengemudi benteng dengan penuh yakin, dan memakai lilitan kapten di lengan pada tahun ini, akhirnya tiba masa untuk Muslim mencari angin baru.
Manakala Fazly Mazlan kembali ke pangkuan Johor Darul Takzim setelah kontrak pinjamannya tamat sementara pemain muda Zazrir Naim pula telah menerima tawaran menyertai Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani, walaupun kurang membuat penampilan, terima kasih kerana telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar Sri Pahang.
Turut tidak bersama pasukan adalah lima pemain import iaitu Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenjok Wal Athiu, Manuel Hidalgo dan Aung Kaung Mann.Tiga tahun bersama pasukan, Herold Goulon telah memenangi hati penyokong dengan menjadi jantung di pertahanan pasukan malah turut menjaringkan gol-gol penting.
Manakala Hidalgo, Kaung Mann, Abubakar dan Kenny meskipun dibawa masuk pada pertengahan musim dan sempat bersama hanya untuk beberapa bulan, impak yang anda bawa untuk membantu pasukan keluar dari zon penyingkiran tetap kami hargai.
Sekali lagi, kepada semua 14 pemain ini, terima kasih diucapkan kerana telah memberi komitmen dan berjuang sepenuh hati sepanjang menyarung jersi Sri Pahang, kami ucapkan semoga terus berjaya bersama pasukan baru.
Segala keringat yang dicurahkan untuk skuad tok gajah, akan tetap terpahat selamanya dalam kenangan!
Nampaknya Dollah Salleh mungkin sudah ada barisan scouting yang mengenalpasti pemain baharu untuk menguatkan pasukan Pahang musim akan datang.