RASMI: Tan Cheng Hoe Kekal Sehingga 2023

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Seperti dijangka ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe, kekal sebagai pengendali skuad Harimau Malaya dalam menjayakan misi Malaysia meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Cheng Hoe mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai lanjutan kontrak selama dua tahun, susulan kontraknya yang akan tamat pada 31 Dis ini.

Ia sekali gus menyaksikan jurulatih berusia 52 tahun itu akan terus menggalas tanggungjawab tersebut sehingga penghujung 2022, menjelang baki tiga aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bermula Mac tahun hadapan.

Difahamkan perbincangan mengenai lanjutan kontrak itu berlangsung sejak beberapa bulan lepas, sebelum FAM memuktamadkan keputusan itu berdasarkan perubahan positif dibawa Cheng Hoe dalam pasukan, termasuk memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara.

“FAM sudah setuju untuk menyambung kontrak bagi tempoh dua tahun lagi. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran untuk saya dalam membawa pasukan kebangsaan, ke satu tahap lebih baik,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bekas pengendali pasukan Kedah itu yang kini berada di Pulau Pinang berkata, beliau telah menerima surat tawaran lanjutan kontrak itu dan akan berjumpa barisan kepimpinan tertinggi FAM, sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata walaupun 2020 menjadi tahun yang membantutkan perkembangan prestasi positif pasukan kebangsaan, tetapi FAM masih mempunyai rancangan lebih besar dan Cheng Hoe merupakan individu terpenting dalam menjayakan usaha tersebut.

Stuart berkata FAM yakin keputusan itu akan memberi kesinambungan kepada pasukan, untuk mengharungi baki beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada tahun depan dan 2022.

“Kami gembira TCH (Cheng Hoe) bersetuju untuk menyambung khidmatnya dan sekarang kami dapat memberi fokus pada beberapa perlawanan penting selepas ini. Banyak rintangan dihadapi tahun ini dan berharap situasi tidak dikehendaki itu (COVID-19) segera berakhir dan seterusnya mengembalikan semangat pasukan tahun depan,” katanya.

Musim 2019 menyaksikan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Cheng Hoe merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan, termasuk aksi persahabatan berstatus A sejak muncul naib juara Piala AFF 2018.

Empat daripada sembilan kemenangan dilakar ke atas pasukan yang berada di ranking dunia lebih tinggi daripada skuad negara, ketika perlawanan itu berlangsung.

Malaysia menumpaskan Afghanistan (ranking 147) pada Kejuaraan Piala Airmarine (Mac); Nepal (161) serta Tajikistan (116) pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 (Jun dan November); dan Thailand (109) dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 Nov lepas.

Dalam saingan kelayakan itu, Malaysia berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua, dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Layak ke Piala Asia 2023 merupakan misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM, yang juga dikenali sebagai F:30.

— BERNAMA

Baca yang lain