Razlan Razali Menyesal Lengahkan Tawaran Petronas Dan Ambil Rossi, Akhirnya Yamaha SRT Berkubur

Prinsipal Pasukan Yamaha RNF MotoGP Pasukan, Razlan Razali, terbuka mengakui kekesalannya sejak dua musim lalu dalam MotoGP.

Bercakap kepada Speedweek, Razali berkata terdapat beberapa keputusan penting yang sangat mempengaruhi masa depan pasukannya yang dahulunya dikenali sebagai Petronas Yamaha SRT.

Selepas tampil sangat kompetitif pada 2019 dan 2020, skuad kendalian Razali tiba-tiba ditinggalkan penaja utamanya, Petronas, pada 2022.

Bukan itu sahaja, Litar Antarabangsa Sepang selaku rumah rasmi Petronas turut menarik diri. Akibatnya, pasukan itu gulung tikar dari pasukan Moto3 dan Moto2, dan status pemilikan skuad dalam MotoGP diambil alih oleh Razali.

Razali telah merancang untuk berkongsi pemilikan dengan pengarah pasukan itu, Johan Stigefelt. Bagaimanapun, pada Ogos lalu, Razali dan Stigefelt dilaporkan bertelagah kerana perbezaan pandangan. Akhirnya, mereka memutuskan untuk berpisah. Kini Razali adalah pemilik tunggal pasukan itu, dan mengekalkan Wilco Zeelenberg sebagai pengurus.

Razali turut menyatakan kekesalan utamanya ialah tidak segera menerima tawaran lanjutan kontrak daripada Petronas yang dikemukakan pada Jun lalu.

Ketika itu, dia langsung tidak mengiyakan kerana mahukan nilai kontrak yang lebih tinggi. Jika dia menerimanya segera, mungkin pasukannya masih bertahan pada 2022.

“Jika saya boleh memutarkan masa, saya akan membuat keputusan berbeza pada Jun 2021 untuk menerima tawaran pertama kontrak baharu daripada Petronas.”

“Tetapi saya mahu berunding kontrak yang lebih besar. Dan sejujurnya, saya tidak sepatutnya mengambil Valentino ( Rossi)!” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Sepang itu.

Seperti yang diketahui, Rossi telah ditendang keluar daripada Monster Energy Yamaha pada penghujung 2020 dan digantikan oleh Fabio Quartararo.

Bagaimanapun, The Doctor masih mahu berlumba pada tahun 2021. Khabar angin yang bertiup di paddock menyatakan bahawa SRT telah dipaksa oleh Yamaha untuk memberi tempat kepada Rossi. Namun, Razali menafikannya.

Razali sendiri tidak pernah teragak-agak untuk menyatakan dia masih 50-50 tentang Rossi, tetapi dia akhirnya setuju mendapatkan Rossi selepas juara dunia sembilan kali itu menduduki tempat ketiga dalam MotoGP Andalusia 2020.

“Selalu ada andaian bahawa kami tidak mempunyai pilihan selain menandatangani Vale untuk 2021 . Ada spekulas bahawa kami mendapat tekanan daripada Yamaha. Namun, tidak, tidak pernah ada tekanan,” katanya.

“Saya ragu-ragu pada mulanya, sehingga akhirnya Vale naik podium bersama Fabio dan Maverick dalam perlumbaan kedua Jerez pada Julai 2020.”

“Apabila saya berada di podium bersama tiga pelumba, saya berkata, ‘okay, mungkin dia boleh melakukannya ‘. Selepas itu, prestasi Vale teruk. Malangnya, keputusan mengenai Vale ketika itu telah diambil,” kata Razali.

Sebaliknya, Razali percaya kemerosotan prestasi Rossi pada 2021 akan berlaku kerana pelumba Itali itu meletakkan dirinya di dalam tekanan. Dan Razali sangat menyesal mengambil Rossi kerana ketika itu mereka ada beberapa calon pelumba lagi yang berbakat besar.

“Saya rasa Vale meletakkan dirinya di bawah tekanan. Pelumba muda jauh lebih pantas. Vale mencatat masa lebih pantas berbanding sebelum ini, tetapi ia tidak mencukupi. Dia mahu berjaya, hati dan fikirannya bersedia untuk mencapai semua itu, tetapi badannya berkata sebaliknya,” tuntas beliau.

Ternyata pengambilan Rossi tidak memberikan manfaat jangka panjang buat SRT yang kemudian bergolak. Kerana menurut perancangan awal, pasukan Yamaha SRT mahu bekerjasama dengan Rossi untuk membangunkan kepakaran bersama.

Malang sekali pasukan tersebut berkubur dan Rossi pula bersara.

Baca yang lain