Razlan: ‘SRT Tak Tangkap Muat Pilih Pelumba Hanya Kerana Tunduk Desakan Peminat’

Prinispal Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali menegaskan bahawa pemilihan pelumba untuk mewakili pasukan mereka bukannya tangkap muat mengikut kehendak peminat.

Razlan Razali nampaknya sedar akan komen peminat di media sosial yang mempertikaikan pemilihan pelumba oleh pasukan SRT yang dilihat tidak memberikan peluang kepada bakat tempatan.

Razlan lantas memberikan pencerahan bahawa, proses pemilihan pelumba adalah rumit dan teliti.

Mereka mempertimbangkan banyak kriteria yang ketat ditetapkan oleh pengurusan mereka. Beliau turut menyatakan bahawa SRT sangat teliti dalam usaha mereka menilai bakat muda untuk dibangunkan bagi menyertai kejohanan dunia. Ini untuk memastikan bakat mereka tidak sia sia.

Razlan turut mnengesahkan bahawa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sentiasa dalam proses membangunkan pelumba muda negara. SIC turut menyenaraikan bakat bakat tempatan untuk beraksi di beberapa kejohanan seperti CEV Eropah dalam kelas Moto2 dan Moto3 sebelum dinilai untuk diserap ke pasukan SRT.

Dipetik dari Harian Metro, Razlan berkata: “Kami sentiasa membangunkan pelumba muda Malaysia tetapi tentunya mengambil masa dan kesabaran. Kita tak mahu meletakkan mana-mana pelumba begitu saja hanya kerana kehendak peminat.”

“Saya tahu, ada sesetengah peminat tak kisah mengenai bagaimana prestasi seseorang pelumba itu, ada juga sesetengah komen ‘duduk di belakang pun tak apa’.”

“Namun kita tak mahu begitu, kita mahu memastikan pelumba muda Malaysia bersedia, kompetitif, mencapai sasaran diletakkan kerana banyak data yang boleh dibandingkan dengan pelumba Eropah yang lain semasa di CEV Moto2 dan Moto3.”

“Tapi kalau meletakkan mereka hanya kerana desakan peminat, kamu hanya merosakkan karier (pelumba), mencipta perkara negatif kepada (hasil program) pembangunan dan segala-galanya. Jadi, kita mahu melahirkan seorang pelumba negara yang kompetitif dan ia mengambil masa dan kesabaran.”

Sebagai rekod, SIC ada pasukan pelapis iaitu SIC Racing Team. SIC Racing Team ada lima pelumba muda yang beraksi di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah, Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia, European Talent Cup (ETC) dan Asia Talent Cup (ATC).

Di peringkat akar umbi SIC mencari bakat bakat baharu menerusi penganjuran SIC MiniGP.

Ada beberapa pelumba muda SIC yang bakal beraksi dalam kejohanan tersebut pada musim ini.

Sharul Ezwan Sharil akan mewakili SIC di kejohanan ATC. Manakala Sharul Ezwan, Danial Syahmi Ahmad Shahril dan Muhammad Hakim Danish akan beraksi dalam kategori ATC.

Baca yang lain