Real Madrid Kecam Ejekan Perkauman Semasa El Clasico

Real Madrid dan liga Sepanyol pada hari Ahad mengecam penghinaan perkauman yang berlaku semasa perlawanan el clasico semalam.

Dalam aksi tersebut, terdapat seksyen peminat yang melaungkan ejekan rasis  terhadap Lamine Yamal.

Real Madrid berkata mereka sedang berusaha untuk mengenal pasti mereka yang menganiaya penyerang Barcelona itu.

Ini sesuai dengan ikrar kelab itu sebelum ini yang menyatakan bahawa mereka akan sentiasa menentang perkauman. Sebelum ini mahkamah Sepanyol memihak kepada Real Madrid dan Vini Jr dalam pengadilannya.

Di mana ada 3 penyokong Valencia dihukum penjara 8 bulan kerana perbuatan rasis. Real Madrid mengalu alukan keputusan mahkamah itu yang julung kalinya menghukum penyokong bola sepak kerana rasis.

Malangnya kini penyokong Real Madrid sendiri disyaki melakukan ejekan rasis ke atas Lamine Yamal. Real Madrid akui kecewa dan bertekad mahu mencari pesalah.

Madrid berkata mereka “telah membuka penyiasatan untuk mengesan dan mengenal pasti pelaku penghinaan yang menyedihkan dan keji ini supaya tindakan disiplin dan kehakiman yang sewajarnya dapat diambil.”

Liga Sepanyol berkata ia akan mengecam secara rasmi penghinaan dan gerak isyarat “perkauman yang tidak boleh diterima” terhadap pemain Barcelona di Stadium Santiago Bernabeu.

La Liga berkata ia “mengutuk sekeras-kerasnya peristiwa ini” dan “tetap teguh dalam komitmennya untuk menghapuskan sebarang jenis tingkah laku perkauman dan kebencian di dalam dan di luar stadium. Tiada tempat untuk bencana ini dalam sukan.”

Reaksi itu muncul selepas video di media sosial menunjukkan dakwaan penghinaan terhadap Lamine Yamal selepas dia menjaringkan gol ketiga Barcelona dalam kekalahan 4-0 ke atas Madrid. Pemain berusia 17 tahun itu meraikannya di sudut di hadapan peminat Madrid dan membuat beberapa gerak isyarat nampaknya menimbulkan provokasi kepada peminat.

Beberapa peminat kedengaran menjerit menghina Lamine Yamal dan pemain Barcelona yang lain.

“Real Madrid mengutuk sekeras-kerasnya sebarang jenis tingkah laku yang melibatkan perkauman, xenofobia atau keganasan dalam bola sepak dan sukan, dan amat kesal dengan penghinaan yang dilafazkan segelintir peminat malam tadi di salah satu sudut stadium,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.