Real Oviedo Akhirnya Habis Bayar Loan 20 Tahun, Ini Kisah Panjang Mereka Dan Hutang

Penyokong Real Oviedo meraikan kejayaan kelab mereka melangsaikan hutang daripada pinjaman kewangan mereka buat 20 tahun lalu untuk menyelamatkan kelab itu.

Bermakna, buat pertama kalinya, kelab itu bebas dari segi kawalan kewangan mereka sendiri.

Real Oviedo kini boleh menguruskan dan menggunakan dana yang mereka ada sepenuhnya tanpa terikat dengan pihak bank.

Sebelum ini selama 20 tahun mereka hanya boleh menggunakan 50% daripada pendapatan kelab kerana perlu membayar hutang kelab itu.

Kegigihan dan komitmen kelab tersebut selama 2 dekad telah membuahkan hasil.

Oviedo kini merancang untuk menstrukturkan semula gaji pemain pemain mereka dengan sistem siling gaji.

Bermakna mereka akan menggunakan penetapan itu bagi menawarkan kontrak baharu dan pembayaran gaji kepada pemain baharu kelab tersebut.

Bagi pemain lama, mereka tidak tertakluk kepada paras siling ini.

Oviedo turut mahu berhati hati dalam pembelian pemain. Selain cuba untuk memaksimumkan pendapatan dengan penjualan pemain di masa akan datang.

Kelab kerdil seperti mereka tiada pilihan lain selain menjadi feeder club kepada kelab besar lain.

Berita itu disambut baik peminat Oviedo yang setia dan tak pernah henti henti menyokong kelab berpangkalan di Sepanyol itu.

Ramai juga memuji langkah pengurusan kelab itu yang tidak pernah culas membayar hutang dan berjaya menguruskan kewangan mereka sebaik mungkin dalam situasi inflasi pada gaji dan harga pemain.

Oviedo berbelanja atas kemampuan dan saiz poket mereka. Jika tidak, mereka pastinya berdepan risiko menambah hutang atau gagal membayar hutang, terutama pada musim pandemik.

Kisah Ovideo melawan kemuflisan

Pada 2012, Real Oviedo berdepan masalah hutang sangat tinggi. Dan mereka tak cukup aset untuk menampung hutang tersebut.

Kelab itu dihantui oleh hutang lama mereka sebanyak €12 juta kerana cukai tertunggak. Dan mereka membuat penyelesaian dengan kerajaan.

Semuanya kerana presiden pada masa itu Alberto Gonzalez yang mengelak membayar cukai.

Akhirnya mereka membuat pinjaman bank dan berjanji akan membayar hutang tersebut kepada kerajaan Sepanyol.

Kini mereka perlu menyelesaikan dahulu hutang semasa kelab itu berkaitan dengan gaji pemain dan sebagainya sebanyak €2 juta. Bayaran perlu melalui kerajaan. Jika tidak mereka akan diiktiraf muflis kerana hutang mereka terlalu tinggi berbanding pendapatan.

Ribuan penyokong setia Oviedo melancarkan tabung bantuan derma kelab. Dan ramai menyumbang untuk mendapatkan €2 juta sebelum 17 November 2012.

Oviedo ni kelab yang tak ramai penyokong. Pada 2012, keahlian kelab mereka cuma 11,000. Mereka berpangkalan di Asturias yang cuma ada 200,000 populasi.

Mereka menderma yang mereka mampu, purata sekitar €30-40. Langkah itu dilaporkan telah berjaya menyelamatkan seketika kelab daripada disita. Namun mereka masih perlu berusaha mendapatkan lebih banyak wang.

Real Oviedo kemudian menurunkan nilai saham mereka kepada €10.75 – jauh lebih renda berbanding €60 sesaham sebelum ini.

Ramai peminat membeli saham tersebut. Dengan bantuan media sosial seperti Twitter, mereka berusaha keras menularkan perkara itu.

Paling menarik perhatian, presiden Real Madrid, kelab yang pada tahun itu memiliki pendapatan €520 juta turut bersimpati dan cuba membantu Oviedo.

Perez secara peribadi membeli saham dengan nilai €100,000.

Berita itu tak ramai yang tahu. Sehinggalah dalam satu perlawanan antara Oviedo berhadapan dengan Real Madrid C di mana mereka menang 1-0, presiden Real Oviedo pada masa itu, Toni Fildago mencapai mikrofon dan berkata: “Belum ditambah lagi sumbangan presiden Real Madrid, kita kini sudah mengumpul €1 juta.”

Peminat peminat Oviedo bersorak dan mengucapkan terima kasih kepada Real Madrid.

Beberapa bekas pemain mereka termasuk Juan Mata, Santi Cazorla dan Michu turut membeli saham kelab itu.

Kelab itu berasa terharu dan tidak sangka mereka akan mendapat sokongan sebegitu rupa daripada peminat sendiri, daripada pihak lawan dan daripada bekas pemain.

Kemudian kelab itu konsisten membayar hutang mereka daripada bank seperti biasa. Dan akhirnya kini mereka bebas dari segi hutang.

Syabas!