Reus Kembali Ke Final UCL Di Wembley Lagi Setelah 11 Tahun

Marco Reus seolah-olah bermimpi apabila dia kembali semula ke Wembley untuk aksi final Liga Juara Juara Eropah musim ini, selepas kali terakhir pada 2013.

Pemain sayap veteran berusia 34 tahun itu menjadi sorotan utama dalam kejayaan Borussia Dortmund melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara 2023-2024.

Marco Reus adalah bintang utama di sebalik kejayaan BVB mara ke final UCL buat kali pertama dalam 11 tahun.

Pada 2013, beliau merupakan ahli skuad yang dianggap generasi emas di bawah Jurgen Klopp yang penuh dengan pemain muda luar biasa.

Reus berada dalam skuad yang turut dibarisi Mats Hummels, Robert Lewandowski dan Ilkay Gundogan membawa BVB untuk aksi Der Klassiker di final Liga Juara-Juara.

Malangnya, pasukan Klopp ditewaskan 1-2 oleh Bayern Munich.

Aksi di Wembley itu adalah final pertama Reus dalam musim sulungnya bersama Dortmund.

Sebelas tahun kemudian, kitaran itu selesai. Dan kini Reus, kini menjadi pemain veteran dalam skuad Borussia Dortmund.

Mereka menewaskan PSG di separuh akhir agregat 2-0 setelah dua aksi kemenangan 1-0. Dan kini mereka berpeluang untuk membentuk final Der Klassiker sekali lagi jika Bayern berjaya menewaskan Madrid.

Ini menjadi detik istimewa buat Reus. Bersama Hummels, mereka kekal menjadi hanya dua pemain skuad utama Dortmund yang menentang Bayern 11 tahun lalu.

Bagaimanapun, status Reus lebih istimewa kerana dia terus setia bersama Dortmund selepas kejayaan itu.

Hummels kembali ke kelab asal beliau, Bayern, selama tiga musim (2016-2019) sebelum kembali ke Dortmund sekali lagi.

Ia lebih istimewa kerana perlawanan akhir Liga Juara-Juara akan menjadi penutup karier Reus bersama Die Borussen.

Pemain itu sudah mengumumkan dia akan meninggalkan BVB selepas tamat musim ini.

Perjalanannya selama 12 tahun sebagai playmaker BVB menyaksikan Reus tampil dalam 426 perlawanan.

Dan Wembley akan menjadi tempat dia menikmati final terakhirnya sama seperti final pertama UCL beliau.

Ianya pasti lebih sempurna jika mereka berjaya menjadi juara UCL.

Reus berkata: “Wembley, di situlah semuanya bermula, pada 2013.

“Gila…gila…Kembali ke final bersama Borussia Dortmund selepas lebih sepuluh tahun.

“Kami perlu menang sekarang. Jika tidak, ia akan menjadi sangat teruk,” tambahnya lagi.