Reuters: Penyokong Wanita Rasa Selamat Tengok Piala Dunia Qatar Sebab Tiada Alkohol

Reuters mengeluarkan satu video khas tentang tinjauan mereka berkenaan dengan pandangan penyokong wanita yang hadir ke Qatar.

Sebelum ini, peminat dari luar negara Islam menganggap Qatar sebagai negara yang tidak sesuai untuk peminat bola sepak dari kalangan wanita.

Lebih lebih lagi banyak laporan tidak tepat tentang Qatar yang cuma spekulasi, menuduh negara itu menindas wanita.

Namun selepas mereka hadir sendiri ke Qatar, peminat peminat wanita ini menyatakan mereka berasa lebih selamat berada di Qatar.

Salah satu sebabnya adalah tiadanya alkohol di dalam stadium dan di perkarangan luar stadium.

Ianya dianggap ‘game changer’ untuk peminat wanita yang bertandang ke Qatar.

Ternyata peminat peminat wanita ini menghargai dasar konservatif Qatar yang mengetatkan larangan alkohol di venue Piala Dunia.

Ellie Molloson sekali lagi bercakap tentang pandangannya sekali aktivis memerangi seksisme dalam bola sepak.

Dia mengakui awalnya berprasangka buruk tentang Qatar. Namun ketika tiba sendiri di Qatar, dia ternyata merasakan Qatar adalah tempat yang dia selama ini anggap cuma impian kosong seorang wanita yang mahu menyaksikan bola sepak tanpa gangguan seksual termasuk siulan gatal.

Ellie Molloson duta HerGameToo menganggap Qatar tempat paling selamat. Malah ayahnya menyatakan dia awalnya menemani anak gadisnya ketika berjalan di sekitar bandar dan lorong. Namun selepas itu dia yakin dengan keselamatan anaknya dan tidak bimbang membiarkan Ellie berjalan seorang diri, sambil dia berehat di hotel.

Maya Alba, pennyokong Australia berkata dia benar benar rasa selamat dengan petugas keselamatan ada di mana mana sedia membantu mereka.

Seterusnya, Sarah Mover dari England menyatakan dia lebih sukakan suasana di Qatar berbanding dengan Euro sebelum ini. Dia berasa jauh lebih selamat dan tenteram tanpa ada penyokong mabuk.

Qatar benar benar tegas dalam isu alkohol. Ada zon khas untuk pelancong yang mahu minum alkohol. Dan ianya biasanya jauh daripada tempat venue Piala Dunia 2022. Sudah tentunya, tempat itu hanya untuk pelancong asing. Rakyat Qatar dilarang sama sekali ke sana.

Zon alkohol itu juga dikawal ketat. Dan paling mengejutkan, rata rata peminat lebih selesa untuk berkunjung ke tempat lain di Qatar berbanding zon alkohol itu.

Masjid lebih popular berbanding zon alkohol

Malah laporan dari Qatar menyatakan, kali ini tempat ibadat, masjid dipenuhi pelancong asing yang mengambil kesempatan belajar dan mengenali fungsi masjid.

Masyarakat Eropah seringkali berpandangan serong dengan masjid kerana Islamofobia.

Namun usaha kerajaan Qatar yang menggalakkan pelancong berkunjung ke masjid dengan menyediakan sukarelawan untuk bertindak membantu mereka adalah langkah yang dianggap penting dalam memerangi Islamofobia.

Dalam video berdurasi 45 saat yang tular di media sosial, ia menggambarkan sebilangan penyokong pasukan dari pelbagai negara yang menyertai Piala Dunia 2022 berdiri di masjid untuk mendengar azan yang dikumandangkan oleh muadzin di salah sebuah masjid di Doha, Qatar. Masjid itu dipercayai Masjid Agung Katara.

Mereka sendiri tidak menyangka dibenarkan melawat tempat ibadat masyarakat Islam tersebut. Dengan mematuhi beberapa syarat tertentu yang berkaitan menghormati rumah ibadat.

Masjid Agung Katara atau Masjid Biru di Kampung Budaya Katara, Doha, Qatar merupakan antara masjid yang paling kerap dikunjungi penyokong Piala Dunia bukan Islam.

Ini selepas pengurusan masjid tersebut mengambil inisiatif mengalu alukan kedatangan pelancong walaupun mereka bukan beragama Islam.

Agensi Berita Al-Quran Antarabangsa, Iqna melaporkan, ramai warga asing khususnya bukan Islam berminat untuk mendengar laungan azan terutama sekali bagi mereka yang tidak pernah mendengar sendiri laungan azan depan mata.

Mereka rata rata terpersona dengan alunan tersebut. Malah turut bertanya maksud azan itu sendiri.

“Semasa Piala Dunia, malah menarik lebih ramai pelancong terutama warga asing bukan Islam yang ingin tahu tentang setiap azan. Ramai yang telah memasuki perkarangan masjid dan mengambil gambar peringatan,” tulis

Perkampungan Budaya Katara menerima ribuan pengunjung setiap hari. Malah, pengunjung terpaksa beratur untuk memasuki kawasan ini untuk melihat pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan di Qatar.

Malah, Perkampungan Budaya Katara di Qatar turut menyediakan ruang menunggu berhampiran masjid dengan beberapa tulisan yang memperkenalkan agama Islam dengan informasi lain tentang negara Qatar.

“Di ruang istirahat, pengunjung wanita asing boleh duduk dan minum teh dan kopi serta belajar mengenali tentang kehidupan sosial di Qatar dengan beberapa sukarelawan menjawab soalan mereka.”

“Matlamat penubuhan ruang khas berhampiran masjid ini adalah untuk memperkenalkan orang asing kepada budaya berpakaian, makanan dan minuman, adat resam dan tradisi Qatar, dan kebanyakan soalan mereka adalah mengenai hubungan sosial keluarga Qatar dan tradisi perkahwinan,” kata seorang sukarelawan Umm Ahmed yang dipetik dari Iqna.

“Persoalan sosial mereka kebanyakannya mengenai kehidupan seorang Muslim berdasarkan nilai-nilai Islam. Ramai pengunjung mengakui bahawa pandangan mereka tentang Islam dan umat Islam dicemari oleh banyak prasangka yang tidak wajar, tetapi berada di Qatar telah membantu mengubah pandangan mereka seratus lapan puluh darjah,” Umm Ahmed menambah.

Selain itu, masjid-masjid Qatar turut menyediakan beberapa pensyarah atau sukarelawan dari Pusat Tamu Qatar untuk menjawab sebarang pertanyaan pengunjung tentang Islam. Inisiatif itu benar benar dipuji oleh ramai pihak.

Ia secara tidak langsung membantu memerangi masalah Islamofobia di kalangan masyarakat barat. Terutama sekali mereka yang seringkali berpandangan serong tentang masjid sebagai pusat keganasan.

Kini mereka sendiri mengenali fungsi masjid yang ternyata sentiasa terbuka menerima pengunjung dan mereka yang memerlukan pertolongan tanpa mengenal bangsa dan agama sekalipun.

“Di pintu masuk masjid, terdapat pekerja dan pensyarah dari Pusat Tamu Qatar untuk memperkenalkan Islam. Mereka mengalu-alukan orang bukan Islam dan menjawab soalan dan pertanyaan mereka tentang masjid. Mereka juga mengatur untuk mereka masuk ke masjid selepas solat supaya orang ramai mengenali suasana di dalam masjid ,” tulis Iqna lagi.

Ramai juga peminat mulai menulis pengalaman mereka di media sosial dan menyatakan kekaguman mereka tentang keramahan masyarakat Qatar termasuk pihak masjid.