Revolusi Man United: Cabaran Rangnick Dan Ten Hag Mengubah Kelab Komersial Menjadi United Sebenar

“Jangan pergi ke sana [Manchester United], kerana mereka adalah kelab komersial. Pergi cari kelab bola sepak sebenar.”

Itulah nasihat Louis Van Gaal kepada Erik Ten Hag ketika mendengar pengurus itu dikaitkan dengan Manchester United.

Apa yang pasti dalam beberapa tahun sejak persaraan Sir Alex Ferguson, Man United sentiasa mengutamakan aspek komersial. Tak kira dalam apa juga mereka lakukan.

Ole Gunnar Solskjaer pernah terkejut ketika kelab beriya nak sign Donny Van De Beek. Kelab melakukannya kerana komersial. Ketika itu Ed Woodward sangat teruk imejnya di mata penyokong.

Dengan mendapatkan Donny Van De Beek, ianya akan menaikkan sedikit namanya. Kerana pemain itu menjadi rebutan banyak kelab.

Sebab itu setiap kali jendela perpindahan Man United akan sentiasa penuh dengan pengumuman penaja baharu. Dan sangat lambat bertindak dalam mendapatkan pemain baharu.

Berbalik kepada kes Jose Mourinho. Ketika pemain itu ditentang Paul Pogba, kelab memilih untuk menyokong Pogba dan menyingkirkan Mourinho. Kerana jika mereka simpan Mourinho dia berpotensi memeram pemain itu atau menjual murah Paul Pogba. Dekat kelab lain ok. Di Man United tidak boleh.

Dengan pertimbangan bahawa pemain ada nilai berjuta juta berbanding dengan pengurus yang biasanya tak boleh dijual, maka mereka memilih berdiri di belakang pemain.

Ed Woodward hanya melaungkan retorik kosong apabila sentiasa menyebut bahawa bola sepak sentiasa di atas perkara lain termasuk komersial.

Sedangkan hasil kerja pengurusannya sangat teruk. Ramai pemain dibeli dengan harga tak sepatutnya dan gaji terlampau tinggi. Ini kerana mereka kelab yang tidak mempunyai penilaian lebih baik di meja scouting.

Matt Judge misalnya. Dia dikenali dengan kepakarannya mendapatkan pemain ke United jika Woodward mendapatkan bantuannya. Namun Matt Judge menggunakan tawaran tak masuk akal kepada pemain yang sukar ditolak. Jadi pemain datang atas sebab duit!

Rangnick beberapa bulan lalu berkata: “Kelab ini tak sepatutnya merayu pemain untuk kekal. Sebagai kelab besar, seharusnya pemain yang rasa bangga dan mahu bermain di sini.”

Seterusnya Woodward sentiasa mampu membawa keuntungan luar biasa kepada kelab. Namun pelaburan semula wang itu sangat meragukan. Selain itu, keluarga Glazer berterusan menjadikan Man United tempat melonggokkan hutang mereka. Ya, United menjadi kelab komersial tempat berniaga keluarga Glazer semata mata.

Louis Van Gaal sendiri pernah menyatakan bahawa beza Man United dengan Bayern Munich. Di Bayern mereka ditadbir sekumpulan lelaki sebenar yang pakar dalam bola sepak. Di Man United mereka dipimpin orang yang tak tahu apa apa tentang bola sepak.

Maka tidak hairanlah dalah laporan awal Rangnick menerusi penilaiannya dalam beberapa bulan ini dia menjelaskan bahawa Manchester United perlu ada orang yang pakar seperti yang ada di Liverpool,  Manchester City dan Chelsea untuk duduk di kerusi seperti scouting ataupun bahagian lain.

Rangnick berakata: “Saya tahu Liverpool, Manchester City dan Chelsea ada orang orang yang bijak mengendalikan bahagian rekrut pemain, scouting dan perubatan.”

“Saya rasa ini juga isu yang harus diselesaikan di kelab kita, di mana mereka harus memberikan perhatian.”

Misalnya ketika aksi berdepan dengan Liverpool, Rangnick menegaskan bahawa, Liverpool ternyata memiliki barisan pengurusan kecergasan pemain yang lebih baik. Di Man United dalam beberapa musim ini mereka bergelut dengan isu kecederaan pemain.

Rangnick berkata: “Kalau saya bandingkan [Man United] dengan Liverpool, walaupun mereka masih bertanding dalam 4 pertandingan, mereka tiada masalah kecederaan langsung. Kami hanya bermain dalam Liga Perdana Inggeris dan kami ada 5 atau 6 pemain cedera. Ini adalah isu yang harus digariskan demi masa depan kelab.”

Adakah ianya satu kebetulan apabila sehari selepas Rangnick menyatakan perkara itu, ketua scout kelab termasuk ketua scout di peringkat global, kedua duanya telah meninggalkan kelab.

Kekalahan di tangan Liverpool sebenarnya digunakan Rangnick sebaik baiknya untuk menyedarkan pengurusan tertinggi kelab di mana mereka berada?

Sebelum perlawanan Rangnick menegaskan bahawa di Liverpool, Jurgen Klopp membina semula Liverpool dengan sokongan pemilik dan mendapatkan pemain yang dia mahukan yang sesuai dengan sistemnya.

Ini termasuk beberapa pemain bekas asuhan Rangnick. Rangnick juga memberitahu bahawa dia memang tahu Jurgen Klopp sukakan pemain yang dibangunkannya kerana mereka ada falsafah yang hampir sama.

Selepas tamat perlawanan Rangnick menembak pemilik kelab sekali lagi dengan terbuka menyatakan bahawa, pada ketika ini Liverpool sudah 6 tahun di hadapan mereka.

Ini yang mereka harus kejar.

Rangnick dikatakan sangat sukakan Erik Ten Hag. Walaupun ada beberapa pemain dikatakan lebih menyukai Mauricio Pochettino.

Sebelum ini, pengurus yang lantang dan idealis biasanya tidak kekal lama di Man United. Lihat sahaja Van Gaal dan Jose Mourinho. Bukan itu sahaja, pengurus yang pak turut seperti Ole Gunnar Solskjaer pun tak boleh kekal lama.

Era baru United harus dibina bermula pra musim ini. Rangnick sudah menegaskan bahawa mereka memerlukan 7 sehingga 10 pemai  baharu. Ini mengambil kira pemain yang akan tamat kontrak dan pemain baharu yang diperlukan atas kapasiti menambah kekuatan kelab.

Samuel Luckhurst beberapa hari lalu menyatakan bahawa, Ten Hag mahu menghapuskan kuasa pemain yang melampau di bilik persalinan. Perkara ini cuba dilakukan oleh Jose Mourinho sebelum ini tetapi gagal.

Pemain pemain United sudah terbiasa dengan dilayan seperti diva kerana nilai komersial mereka. Dengan pemergian Ed Woodward dari jawatan CEO, maka, United diharap akan lebih baik dari segi struktur yang kondusif menyokong pengurus mereka.

Samuel Luckhurst: Erik Ten Hag Sedia Singkir Maguire Daripada Jawatan Ketua Pasukan

Nampaknya ini  bukan berita yang bagus buat Harry Maguire. Dia kini berpotensi kehilangan lilitan kaptennya jika Erik Ten Hag menjadi pengurus.

Sebenarnya, sudah menjadi perkara biasa untuk pengurus baharu diberikan kuasa memilih kapten pasukan mengikut selera mereka.

Cuma ada ramai pengurus yang merasakan masalah kepimpinan bukan masalah utama dalam pasukan dan tak perlu disentuh.

Misalnya Jurgen Klopp yang menyatakan bahawa dia tidak perlu menyentuh isu kapten yang ada pada Henderson ketika itu. Ketika ramai merasakan Van Dijk lebih layak.

Ini kerana masalah Liverpool adalah masalah selain kapten. Lalu dia mengekalkan Henderson dan sehingga kini masih bergelar kapten.

Dalam kes Manchester United, Ten Hag mahukan kuasa sepenuhnya dalam pengurusan pasukan. Dan dia sedia untuk mengosongkan jawatan kapten bagi memilih kapten baharu.

Ini bermakna akan ada sesi temuduga ataupun sesi pemilihan khas akan dibuat oleh Ten Hag sesuai kehendaknya.

Ia juga bukan bermakna Harry Maguire akan 100% kehilangan lilitan kaptennya. Dia masih boleh mempertahankan jawatannya jika Ten Hag merasakan dia benar benar layak.

Sebelum ini Rangnick seringkali memuji Cristiano Ronaldo sebagai pemimpin yang hebat. Di mana pemain itu seringkali terus bersemuka dengannya di pejabata apabila ada isu berbangkit.

Ketika itu Rangnick sangat kecewa dengan beberapa pemain yang menggunakan media atau ejen mereka untuk bercakap tentang isu masa depan mereka.

Kes paling popular pastinya Anthony Martial. Di mana ejen pemain itu membuat kenyataan bahawa pemain itu mahu angkat kaki. Sedangkan Martial sendiri seharusnya boleh memaklumkan terus kepada Rangnick perkara itu,

Rio Ferdinand dan Gary Neville serta Roy Keane antara pundit yang seringkali kecewa dengan sikap kepimpinan di atas padang Manchester United.

Kapten bukan sekadar ketua pasukan, mereka perlu berpengaruh dan membuatkan pemain pemain lain rasa bersemangat kerana aura kapten itu.

Ramai berpendapat bahawa Harry Maguire bukan pemain yang menepati standard kapten Man United. Jika dilihat senarai panjang kapten kapten legenda mereka dalam sejarah.

Namun entah apa di fikiran Ole ketika dia melantik Maguire, sedangkan dia ada pilihan seperti De Gea pada masa itu.

Jadi Ten Hag merasakan bahawa dia perlu menilai sendiri isu kepimpinan di United ini sebelum mengesahkan sama ada Maguire akan kekal menjadi kapten ataupun ditukar ganti.

Tetapi pada masa ini Cristiano Ronaldo bukanlah pilihan tunggal selain Maguire untuk menjadi kapten.

Nama David De Gea dan Bruno Fernandes dikatakan sebagai calon yang berpotensi besar untuk menjadi kapten baharu Man United selain Ronaldo.

De Gea walaupun sudah berusia 31 tahun namun dia adalah penjaga gol dan dilihat masih memiliki peak yang panjang.

Bruno Fernandes baru sahaja melanjutkan kontrak jangka panjangnya dan menjadi pemain penting United sejak dia menyertai pasukan itu beberapa musim lalu.

Ronaldo masih menjadi nama yang kuat dikaitkan dengan jawatan kapten kerana pengaruhnya selaku legenda hidup kelab.

Maguire nampaknya masih ada beberapa bulan sahaja lagi untuk menunjukkan kepimpinannya di atas padang dan di luar padang.

Maguire bergelut dengan prestasinya musim ini walaupun agak cemerlang pada musim lalu. Namun ketika bersama England dia menjadi pemain yang berbeza.

Tekanan menjadi kapten United mungkin dirasai oleh Harry Maguire.

Tetapi adakah jika Maguire dipecat sebagai kapten, ianya akan membantu dia menaikkan semula prestasinya bersama United kerana tekanan yang lebih rendah di bahunya?

Jadi, sejauh mana Man United akan menyokong pengurus muda mereka?

Salah satu sebab kenapa Man United mahu mendapatkan Ten Hag kerana mereka tak mahu mengulangi kesilapan terlepas pengurus seperti Ten Hag yang memiliki reputasi sebagai tactician yang bagus dan mampu membangunkan bakat muda.

Ini selepas mereka pernah terlepas Pep Guardiola dan Jurgen Klopp sebelum ini.

Selamat datang ke Teater Impian untuk Erik Ten Hag.