Barcelona kini sedia mengheret La Liga dan RFEF ke mahkamah, setelah dua persatuan itu sekali lagi menghalang pendaftaran Dani Olmo dan Pau Victor.
Barca percaya bahawa mereka berhak untuk mendaftarkan pemain itu setelah berjaya menjual aset VIP Box mereka dengan nilai €100 juta.
Sebelum ini Barca menegaskan bahawa mereka boleh menggunakan peraturan dalam RFEF untuk mencabar sekatan dikenakan La Liga ke atas mereka.
Namun RFEF pula menyatakan bahawa sekatan ke atas Dani Olmo dan Pau Victor oleh La Liga adalah sah. Terutama sekali Dani Olmo yang didaftarkan atas kuota yang dimiliki oleh Christensen.
Mahkamah turut menolak permintaan Barcelona untuk mendaftarkan dua pemain ini. Kerana jelas peraturan La Liga menghalang dua pemain itu didaftarkan sebanyak dua kali untuk kelab yang sama, setelah lesen pendaftaran mereka untuk separuh musim berakhir.
Barca gagal mengemukakan penyata transaksi wang masuk ke akaun mereka untuk mendaftarkan dua pemain itu untuk separuh kedua musim ini.
Barca sekali lagi cuba mendaftarkan pemain itu semalam. Dan sekali lagi RFEF dan La Liga menyekat pendaftaran tersebut. Menerusi kenyataan bersama, dua badan itu berkata:
“Jawatankuasa pemantauan La Liga dan RFEF telah sepakat untuk memberikan penjelasan tentang permohonan lesen dan visa oleh Barcelona untuk pemain Daniel Olmo Carvajal dan Pau Víctor Delgado.
“Berikutan pematuhan oleh FCB dengan keperluan berkaitan kawalan kewangan LALIGA pada 3 Januari 2025 dan kelab perlu melengkapkan dokumentasi yang berkaitan. Badan Pengesahan Belanjawan LALIGA telah memutuskan untuk melanjutkan Had Kos Skuad Sukan FCB dari tarikh yang dinyatakan di atas.
Dalam hal ini, setelah diminta lesen untuk pemain yang dirujuk oleh FC Barcelona, selepas analisis peraturan persekutuan yang terpakai, Jawatankuasa Pemantauan bersetuju untuk tidak memberikan visa terdahulu, mahupun lesen definitif yang diminta oleh FC Barcelona untuk pemain Daniel Olmo Carvajal dan Pau Víctor Delgado.
“Ini sesuai tafsiran literal artikel 130.2 dan 141.5 Peraturan Am RFEF yang menghalang pemain yang lesennya dibatalkan, daripada mendapat lesen dalam pasukan kelab yang sama yang dia sudah bermain, sepanjang musim yang sama.”
Barcelona kecewa dengan keputusan tersebut dan mahu membawa kes ini ke mahkamah rayuan.
🚨⛔️ OFFICIAL: La Liga and Spanish Federation RFEF have jointly decided to REJECT Dani Olmo and Pau Victor's registrations for Barcelona.
Barcelona will go to court. ⚠️ pic.twitter.com/eW1Y8OHNir
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) January 4, 2025
Barcelona sebelum ini pernah memenangi kes yang hampir serupa berkaitan dengan pendaftaran pemain, melibatkan Gavi. Dan mereka yakin mereka akan berjaya sekali lagi di dalam tuntutan mereka kali ini.
Dani Olmo kini menjadi ejen bebas. Dan pemain itu boleh menyertai mana mana kelab jika dia mahu. Jika itu berlaku, Barca masih perlu membayar baki gaji pada kontraknya sehingga 2030 dan wang ansuran kepada RB Leizpig sebanyak €48 juta.
Laporan seterusnya menyatakan buat masa ini Dani Olmo kekal setia dengan Barcelona. Ejen kepada pemain itu meminta peminat Barcca jangan risau kerana mereka sentiasa menghormati Barcelona dan Joan Laporta yang benar benar berusaha membawa pemain itu ke Barca sebelum ini.
Mereka juga yakin dengan projek masa depan Barca yang dianggap salah satu projek terbaik di dunia.
Dalam pada itu, RFEF sudah memberikan amaran kepada Dani Olmo bahawa dia tidak boleh mewakili Sepanyol sebagai pemain yang berstatus ejen bebas. Ini kerana salah satu syarat seseorang pemain mewakili La Roja adalah mereka perlu bermain untuk kelab profesional.
Joan Laporta sudah memberikan jaminan kepada peminat Barcelona bahawa dia kekal optimis dua pemain tersebut akan tetap berjaya didaftarkan.
Untuk Pau Victor, Barcelona boleh meminjamkan pemain itu ke kelab lain untuk baki musim ini. Kerana klausa kontraknya tidak ada klausa menjadi ejen bebas jika dia tidak berjaya didaftarkan.