Risau Ancaman Tentera Korea Utara Punca Klinsmann Enggan Tinggal Di Korea Selatan

Jurgen Klinsmann pernah membuatkan peminat Korea Selatan bengang apabila dia memutuskan untuk mengendalikan pasukan kebangsaan dari jarak jauh atau remotely.

Klinsmann hanya kembali ke Korea Selatan apabila ada latihan pusat sahaja. Selebihnya dia mahu tinggal di California.

KFA pernah menegur Klinsmann untuk lebih kerap berada di Korea Selatan terutama sekali memantau bakat bakat di Liga Korea.

Akhbar whistleblower Der Spiegel mendedahkan bahawa Klinsmann enggan tinggal di Korea Selatan terutama sekali di Paju kerana dia risau dengan ancaman keselamatan dari Korea Utara.

Bagaimana Klinsmann boleh menjadi pengurus Korea?

Segalanya bermula apabila Klinsmann berjumpa dengan presiden KFA, Chung Mong Kyu di tempat duduk VIP di Piala Dunia Qatar.

Daripada perbualan berseloroh ini, mereka kemudian berhubung rapat. Dan akhirnya dia pun dilantik menjadi pengurus Korea Selatan.

Klinsmann sangat rapat dengan Chung Mong Kyu. Seorang usahawan dan pemilik syarikat besar. Jika Klinsmann mahukan apa sahaja, dia akan terus mesej kepada Chung secara peribadi.

Dan Chung biasanya akan membantunya. Hubungan mereka sangat rapat. Lebih dari sekadar majikan dan pekerja.

Namun masalahnya, Chung agak terkejut kerana Klinsmann mahu mengendalikan skuad Korea Selatan dari jarak jauh.

Klinsmann kemudian dituduh makan gaji buta dan banyak makan angin ketika bertugas di Korea Selatan. Di mana dia dilihat seringkali menunjukkan gambar dia bersantai di Eropah.

Pengurus asal Jerman itu ada alasan dia tersendiri untuk berbuat demikian. Kerana menurutnya, di Korea Selatan tiada ada pun sangat untuk dia lakukan ketika bukan minggu antarabangsa.

Dia tidak tahu nak pergi mana untuk membincangkan pembangunan  bola sepak di Korea Selatan. Oleh sebab itu dia pergi ke Eropah untuk menimba lebih banyak ilmu demi untuk membantu bola sepak Korea Selatan. Sambil menyatakan setiap jurulatih itu berbeza caranya.

Klinsmann berkata: “Terperap di Korea sangat tak efisien untuk kerja saya. Apabila saya tiada benda nak dilakukan di Seoul maka lebih baik saya pergi bertemu dengan orang di Eropah.”

“Ini adalah satu satunya cara untuk membangunkan bola sepak Korea. Jika kamu tak suka dengan cara saya, sila cari pengurus lain, Saya tak kisah.”

“Saya seorang yang workaholic [gila kerja] sama macam orang Krea. Di mana saya berada, saya bekerja untuk pasukan kebangsaan Korea.”

“Apa yang saya boleh katakan saya 100% fokus kepada Piala Asia. Saya juga nak tegaskan, untuk berjaya, saya harus memilih cara bekerja yang saya rasa terbaik.”

Klinsmann meminta KFA membiayai penginapannya di California. Dalam kontrak memang KFA yang akan tanggung tempat tinggal untuk pengurus mereka.

Namun situasinya sekarang, KFA terpaksa membayar sewa di California. Kerana Klinsmann ramai kawan di sana, dia masih aktif bermain bola sepak petang petang atau hujung minggu bersama rakannya.

Klinsmann juga mengutuk fasiliti pasukan kebangsaan di Paju. Dan sering mencadangkan agar pasukan kebangsaan Korea Selatan menjalani kem latihan di Eropah.

Alasan itu sukar sekali diterima oleh KFA. Di mana mereka sedia membelikan apa sahaja peralatan latihan diperlukan pengurus itu.

Klinsmann terus beralasan sambil menyatakan bahawa pusat latihan di Paju itu berdekatan dengan sempadan Korea Selatan. Bagaimana kalau ketika dia berada di sana, Korea Utara tiba tiba melancarkan misil menyerang mereka.

Chung kemudian menjadi subjek kecaman rakyat Korea kerana dianggap terlalu memanjakan Klinsmann.

Prestasi pasukan Korea Selatan di atas padang masih terumbang ambing. Walaupun mereka antara pasukan yang memiliki superstar dunia seperti Son Heung Min, Hwang Hee Chan, Lee Kang In dan Kim Min Jae.

Chung menafikan dia terlalu memanjakan Klinsmann atas dasar rakan baik. Sebaliknya dia menegaskan dia melayan mana mana pengurus Korea Selatan sama sahaja. Selain itu peminat menganggap Klinsmann dilantik kerana dia rapat dengan Chung.

Chung juga menafikan dia melantik Klinsmann atas dasar kabel kawan kawan. Kerana Klinsmann sama seperti pengurus sebelum ini, melalui tapisan dan penilaian oleh KFA.

Pada Piala Asia yang lalu, Korea Selatan bergelut untuk sampai ke separuh akhir. Dan merek turut diikat Malaysia 3-3, pasukan yang di luar ranking 100 dunia.

Akhirnya Korea Selatan turut dimalukan Jordan di separuh akhir. Klinsmann hilang kawalan di bilik persalinannya. Dengan Lee Kang In terlibat pergaduhan dengan pemain senior termasuk dengan Son Heung Min.

Lee Kang In mengamuk dengan pemain senior kerana enggan ditegur, di mana dia dan beberapa pemain muda terus meninggalkan dewan makan dengan cepat untuk bermain ping pong.

Son selaku kapten menasihati mereka kembali ke dewan makan dan menjaga adab dengan pemain senior lain. Kemudian beberapa pemain senior lain datang dan berlaku pergelutan.

Son hampir patah jarinya kerana meleraikan mereka. Kang In kemudian meminta maaf di atas sikapnya dan mengakui dia harus bersikap lebih baik.

Berita tersebut membuatkan peminat benar benar kecewa dengan pasukan Korea Selatan terutama sekali Klinsmann yang dianggap tidak cukup komited dan tak sepenuh hati bertugas di negara mereka.

KFA akhirnya memecat Klinsmann dengan kenyataan media sangat panas. Melabel Klinsmann gagal menunjukkan kemampuannya sebagai seorang pengurus, sama ada dari segi pengurusan pemain atau taktikal.

KFA Pecat Klinsmann Dengan Kenyataan Jujur Tanpa Berlapik

Dan laporan dari Jerman menyebut bahawa dia sebenarnya masih mengintai tempat untuk menjadi pengurus kebangsaan pasukan Jerman.