Risau Messi Pintas Rekodnya Di UCL Jadi Pendorong Ronaldo Mahu Keluar Dari Manchester United

Cristiano Ronaldo sekali lagi memberitahu Manchester United tentang hasratnya untuk meninggalkan kelab itu selepas pertemuan dengan Erik ten Hag pada hari Selasa.

Dalam pertemuan itu Ronaldo berterus terang menyatakan dia mahu kelab merelakan kepergiannya. Dan turut meminta agar kelab untuk mempertimbangkan untuk menamatkan kontraknya atas persetujuan bersama.

Tetapi itu bukan pilihan yang dipertimbangkan Man United. Mereka menganggap itu hanya menguntungkan satu pihak sahaja.

Faktor Messi

Menurut The Athletic, pendorong utama di sebalik rayuan perpindahan Ronaldo adalah bola sepak Liga Juara-Juara Eropah. Perkara yang tidak mampu ditawarkan Old Trafford selepas menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana musim lalu.

Pemain berusia 37 tahun itu mahu berlepas ke kelab yang bermain dalam pertandingan kelab utama Eropah untuk mengukuhkan rekod peribadinya di sana. Dia adalah pemain yang digelar Mr. Champions League dengan rekod 5 piala UCL bersamanya..

Selain itu, Ronaldo kini menduduki tangga teratas senarai penjaring Liga Juara-Juara sepanjang zaman dengan 140 gol, 15 di depan musuh utama Lionel Messi yang dua tahun lebih muda dan akan bermain dalam Liga Juara-Juara bersama Paris Saint Germain.

Ronaldo  tidak mahu menamatkan kariernya sebagai pemain penjaring kedua terbanyak di belakang Messi untuk senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam UCL selepas apa yang dia lakukan selama ini.

Bintang terkenal Portugal itu juga sedang ketinggalan tiga gol di belakang Messi dalam jumlah gol di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dan itu adalah sesuatu yang dia mahu ubah. Dipercayai memenangi trofi dan sebab kekeluargaan juga antara sebab di sebalik keputusannya mencari masa depan di tempat lain.

Ejennya Jorge Mendes telah bekerja keras sepanjang masa untuk mencari kelab baharu untuk Ronaldo. Athletic melaporkan bahawa perbincangan telah diadakan dengan kelab zaman kanak-kanak pemenang Ballon d’Or lima kali, Sporting Lisbon.

Kelab profesional pertama Ronaldo akan menyertai Liga Juara-Juara Eropah selepas menduduki tempat kedua dalam Liga Primeira.

Sporting tak cukup duit

Bagaimanapun, dari segi menyediakan dana yang secukupnya yang diperlukan untuk membawa pulang Ronaldo ke Lisbon boleh menjadi sukar bagi kelab Portugal itu. Di samping itu, pengurus Ruben Amorim juga sedar bahawa kehadiran Ronaldo akan memerlukan mereka membuat banyak perubahan dalam taktikal mereka.

Namun dari sudut positifnya, menandatangani Ronaldo akan membawa kelebihan komersial yang besar kerana dia mampu menarik publisiti yang sangat tinggi di pentas terbesar.

Ronaldo kembali menjalani latihan di pangkalan kelab Carrington minggu ini selepas terlepas jelajah pramusim United di Thailand dan Australia atas sebab keluarga.

Dia dipercayai menjalani ujian perubatan dan melakukan beberapa latihan individu di atas padang latihan. Namun laporan yang sama menyebut dia tidak mengambil bahagian dalam sesi berpasukan. Dia kemudian menyaksikan United berdepan Wrexham dalam perlawanan persahabatan tertutup pada hari Rabu – dari tempat duduk penyokong.

Di sebalik rayuan Ronaldo, pendirian United tetap tidak berubah, mereka bertegas bahawa dia bukan untuk dijual. Ten Hag sebelum ini berkata bahawa Ronaldo berada dalam perancangannya untuk musim akan datang.

Jika United berpisah dengan Ronaldo, ia akan membuatkan mereka cuma ada Anthony Martial sebagai penyerang tengah / center forward untuk kelab itu. Mujur prestasi Martial dalam pra musim sangat baik dan itu mungkin melegakan Red Devils sedikit jika mereka terpaksa kehilangan Ronaldo dalam minggu terakhir perpindahan dan tak dapat mencari pengganti.

Seterusnya, Red Devils dilaporkan berminat dengan penyerang Ajax, Antony tetapi mereka dihalang oleh tanda harga besar €100 juta yang ditetapkan oleh kelab Amsterdam itu. United berpendapat harga itu terlalu mahal untuk pemain dengan sumbangan G/A 12 sahaja dalam liga Belanda musim lalu.

Musim baru semakin hampir dan masa semakin suntuk untuk Ronaldo mencari kelab baru. Adakah dia akan dipaksa untuk kekal di United? Hanya masa akan menentukan.

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.