Rizal Ghazali Dapat Amaran Keras Daripada FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi tentang hukuman ke atas Rizal Ghazali yang menolak panggilan kebangsaan.

Dalam kenyataan rasmi menerusi Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata:

“Pemain Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali, telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi tindakannya yang enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac 2022.

Terdahulu Mohd Rizal yang diletakkan dalam Senarai Bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim, Mohd Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Berikutan keengganan Mohd Rizal untuk melapor diri, Pan Gon telah memanggil seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri pada 14 Mac 2022.

Susulan itu, surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang.”

Beberapa minggu lalu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menyatakan bahawa pemain bek sisi Sabah, Rizal Ghazali boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana menolak untuk menerima panggilan skuad kebangsaan.

Rizal dipanggil ganti Syahmi Safari

Bekas pemain Kedah, Rizal Ghazali awalnya tidak tersenarai. Namun pemain yang dipanggil iaitu pemain bek sisi JDT, Syahmi Safari terpaksa meminta pelepasan khas daripada tugasan kali ini kerana isterinya baru bersalin anak kembar 3.

Maka Kim Pa Gon memutuskan untuk memanggil Rizal Ghazali yang turut beraksi dalam Piala AFF yang lalu. Malangnya pemain itu menolak dan masih tidak memaklumkan secara rasmi sebab kenapa beliau menolak.

Sementara itu, Kim Pa Gon akhirnya memutuskan untuk memanggil Ahmad Khuzaimi Piee untuk menyertai latihan pusat Harimau Malaya. Dalam kenyataan rasmi Kim Pa-gon menerusi laman rasmi FAM, bertulis:

“Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee, yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia, dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini menjelang kunjungan ke Singapura minggu depan.”

“Ahmad Khuzaimi menggantikan Syahmi Safari, dari Johor Darul Ta’zim FC, yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.”

“Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali, menolak pelawaan. Atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri.”

“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengurusan pasukan kebangsaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syahmi seisi keluarga atas kelahiran ini.”

Ditanya mengenai bentuk hukuman terhadap pemain yang menolak menyertai skuad kebangsaan, beliau ketika itu berkata tindakan penggantungan bermain dalam liga domestik selain hukuman denda RM25,000 boleh dikenakan.