RMTV Bidas Pengadil, Syarikat Penyiaran Dan La Liga Sebagai Kelakar Benarkan Pendaftaran Dani Olmo

Real Madrid TV sekali lagi mengecam La Liga, pengadil, serta musuh ketat mereka Barcelona. RMTV yang menjadi lidah rasmi Real Madrid ​​telah mengkritik pegawai perlawanan dalam La Liga serta melepaskan tembakan ke arah Barcelona.

Kini, saluran penyiaran rasmi kelab ibu kota Sepanyol itu sekali lagi mengecam Barça dan liga, mempersoalkan pendaftaran pemain baru Blaugrana, Dani Olmo walaupun akaun FFP pasukan itu sebelum ini tidak dapat menampung pendaftaran Dani Olmo.

Tetapi Barcelona menggunakan cara dengan menyingkirkan nama Andreas Christensen terlebih dahulu yang dilaporkan perlu berehat 4 bulan sehingga Disember.

Lebih menarik apabila Dani Olmo menjadi wira kemenangan Barcelona dengan gol kemenangan pada separuh masa kedua ketika aksi debutnya bersama kelab Catalan itu.

Pendaftaran Dani Olmo dipersoalkan

Olmo telah didaftarkan pada hari Selasa dalam La Liga dengan Barça menggunakan ketidakhadiran Andreas Christensen akibat kecederaan untuk mendapatkan tandatangan baharu mereka.

Di bawah Perkara 77 peraturan La Liga, gerakan sebegitu dibenarkan hanya jika pemain yang cedera diketepikan untuk tempoh yang lama, tetapi kecederaan Christensen dikatakan menghalangnya untuk beberapa bulan sahaja. Malah ejen pemain itu menyatakan kecederaan kliennya itu hanya 2 bulan.

Barcelona membidas kenyataan itu dengan menyatakan bahawa La Liga sendiri yang menyemak laporan kecederaan pemain itu dan mengesahkan dia perlu berehat 4 bulan. Tetapi Real Madrid TV telah mempersoalkan pendaftaran Olmo menggunakan peraturan perkara 77 itu kerana Real Madrid yakin kecederaan Christensen itu sekitar sebulan setengah sahaja.

Oleh yang demikian, Athletic Club juga antara kelab yang turut mempersoalkan tindakan La Liga yang dirasakan ada terdapat sebarang ‘penyelewengan’ dan kini Real Madrid TV telah menggelar keseluruhan situasi itu sebagai sandiwara, dengan mendakwa kelab mereka perlu ‘melayari lautan najis’ dalam pertandingan ini.

“Barça dibenarkan mendaftarkan pemain dengan alasan kecederaan pemain selama sebulan atau sebulan setengah adalah jangka panjang. Mereka membenarkannya dan dia akhirnya menjadi penentu semalam di Vallecas,” kata laporan TV Real Madrid itu.

“Ia adalah pertandingan yang tidak boleh berterusan begini, semuanya sangat lucu, namun sangat biasa [untuk Real Madrid]. Real Madrid perlu mengemudi kapal di dalam lautan yang penuh dengan kekotoran ini dan jelas sekali, kami perlu teruskan.”

Tidak berhenti setakat itu, Real Madrid TV juga menimbulkan tanda tanya mengenai pengadilan, menyatakan bahawa Barcelona jelas lebih disayangi berbanding Merengues.

“Saingan terbesar kami ada insiden jelas yang patut dibuang padang melibatkan Cubarsí di Mestalla dan penalti Madrid tidak dibenarkan di Mallorca. Serta Maffeon yang patut dibuang padang telah disemak semula.

“Ia bukan salah pasukan lawan kami, ia salah mereka yang membenarkan perkara seperti ini berlaku. Jika Maffeo dibenarkan berbuat demikian dan dia tidak mendapat kad merah, dia akan terus melakukannya lagi di masa akan datang.

“Sudah tentu, jika dia melakukannya terhadap lawan lain, dia akan dibuang padang. Begitulah keadaannya.”

Kemudian RMTV juga membidas pengulas aksi Barcelona dengan Rayo Vallecano sebagai pilih kasih dan sentiasa memihak kepada Barcelona.

Dalam kesimpulannya RMTV mempersoalkan La Liga dan cara ia dikendalikan sambil menuding jari kepada MediaPro, syarikat yang mengendalikan siaran langsung La Liga, dengan menegaskan bahawa prestij dan reputasi La Liga dalam beberapa tahun ini hanya kerana prestasi kelab Sepanyol di pentas UCL. Terutama sekali Real Madrid yang banyak memenangi UCL dalam tempoh kebelakangan ini.

Jika harap pada La Liga, memang liga tersebut dah rosak, kata Real Madrid. RMTV menambah: “Liga sepatutnya lebih bernilai, dan lebih banyak merit, walaupun pada hakikatnya prestij itu datang dari Liga Juara-Juara Eropah bukannya La Liga. Ia bukan perkara biasa. Terdapat konflik kepentingan.

“Syarikat yang menyediakan imej dan bertanggungjawab ke atas VAR mempunyai kecenderungan yang jelas dan diiktiraf dalam kemenangan Barcelona. Salah seorang pengurus tertingginya berkata bahawa Negreira dibayar dengan cukup banyak. Ia tidak masuk akal. Ia adalah pertandingan dunia ketiga.”