Rodgers: “Ketika Kuarantin, Daka Tak Nak PlayStation, Dia Cuma Mahukan Buku Tentang Leicester”

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers memberikan pujian kepada Patson Daka ketika pemain muda itu meminta buku dalam tempoh kuarantin.

Penyerang asal Zambia itu beraksi dengan sangat cemerlang pada musim ini. Di mana beliau menjaringkan 5 gol dalam dua perlawanan terakhir termasuk 4 gol dalam satu perlawanan ketika aksi Europa League.

Daka menjadi pemain pertama menjaringkan hatrik dan juga yang pertama menjaringkan 4 gol dalam kempen Eropah kelab tersebut sejak 63 tahun.

Daka menyertai Leicester dari RB Salzburg pada musim panas lalu. Dan pemain berusia 23 tahun itu sudah memberikan impak yang sangat baik sejak tiba.

Antaranya, dia turut menjaringkan gol dalam kemenangan 4-2 Leicester ke atas Man United. Namun sayangnya Leicester masih bergelut dengan isu konsistensi dalam liga musim ini.

Rodgers kemudian berkongsi satu kisah menarik tentang Patson Daka. Kerana tak ramai pemain seusia dengannya pada hari ini hanya meminta buku ketika kuarantin.

Ketika Daka tiba di England untuk memeterai perjanjian dengan Leicester, beliau dikuarantin wajib 10 hari.

Kelab bertanya, apa permintaan Daka sepanjang kuarantin? Pemain itu hanya mahukan buku.

Rodgers mendedahkan: “Ketika dia tiba dan menjalankan kuarantin 10 hari, di mana dia harus terperap dalam bilik selama 10 hari. Kelab bertanya kepadanya, dia nak apa? Tv, PlayStations, atau apa sahaja dia mahukan agar tak bosan.”

“Dia tak mahu benda benda macam tu semua, dia kata cuma mahukan buku. Dia meminta buku tentang sejarah kelab Leicester. Dia mahu membaca dan belajar tentang Leicester.”

“Rasanya kelab memberikan dia buku Vardy. Daka seorang yang sangat hebat. Dia seorang yang disayangi di sini. Dan dia akan terus meningkat naik dalam permainannya.”

“Dia ada naluri menghidu peluang gol dan dia akan membuktikannya sepanjang dia di Liga Perdana Inggeris.”

“Patson sentiasa cuba berusaha untuk menyesuaikan diri dengan cara permainan kita dan juga liga ini.”

“Dia sudah pun menjaringkan gol liga pertamanya. Menjadi pemain Zambia pertama menjaringkan gol di liga ini. Dan kemudian menjaringkan 4 gol dalam aksi Eropah, adalah pencapaian individu luar biasa.”

Baca yang lain